Ahad, 26 Ogos 2012

Syiah Di Selangor: Suatu Kajian Dari Sudut Akidah Dan Ibadah.


Syiah Di Selangor:
Suatu Kajian Dari Sudut Akidah Dan Ibadah.

Oleh:
Mohd Haidhar Kamarzaman.

BAB 1. PENDAHULUAN

1.1. LATAR BELAKANG KAJIAN

Berbagai ragam dan fenomena yang berlaku dikalangan masyarakat Islam kini yang timbul disebabkan oleh pengaruh dan kesan dari keruntuhan umat Islam satu ketika dahulu. Usaha untuk meletakkan Islam di peringkat zaman kegemilangan Khulafa al-Rasyidin dan zaman selepasnya sehingga zaman kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah masih lagi diperluas sehingga kini. Berbagai-bagai usaha oleh berbagai-bagai pihak yang ingin menjadikan Islam itu sebagai agama yang syumul merangkumi keseluruhan kehidupan manusia elah diperhebat dari semasa ke semasa. Semua ini adalah fenomena yang berlaku dikalangan umat Islam kini dalam program membangkitkan semula kegemilangan Islam yang satu ketika dahulu bertapak kukuh di dunia ini.

Akan tetapi dari usaha-usaha yang dilakukan ini, kesemuanya masih mempunyai perselisihan pendapat yang begitu ketara dikalangan penganut Islam itu sendiri. Pemikir bidang Ilmu Kalam dengan masalah takfirnya, Rasul palsu dengan doktrin penipuannya, ajaran sesat berterusan dengan penyelewengannya, para reformis dengan perkembangan gerakan pembaharuannya dan Syiah dengan gerakannya yang tidak berhenti-henti dari zaman dahulu hingga kini yang mana semuanya menggunakan pelbagai metodologi untuk menarik pengikut yang ramai agar menerima doktrin-doktrin mereka dalam usaha untuk merealisasikan apa yang pernah dikecapi oleh Islam satu ketika dahulu dan masing-masing memihak pada diri sendiri dan meletakkan kesalahan pada kelompok yang lain.

Dalam kecenderungan golongan-golongan ini, tidak lari dikalangan mereka dari kesalahan dan penyelewengan sama ada dari sudut akidah mahupun dari sudut perkara furu’ yang terdapat pada penyelewengan ini kesalahan dari berbagai-bagai sudut, yang meletakkan mereka ini dalam keadaan sama ada sesat, atau maksiat, atau kufur, hanya Allah yang Maha Mengetahui segala sesuatu. Di Malaysia tidak kurang ajaran-ajaran ini diamalkan secara menyeluruh dalam masyarakat Islam di sini. Antaranya adalah ajaran Syiah.

Ajaran Syiah adalah ajaran yang telah difatwakan menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar serta terkeluar dari Akidah Ahli Sunah Wal Jamaah oleh Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak (FATWA) JAKIM dalam perbincangan mereka bil. 1/98. Fahaman Syi’ah dipercayai mula merebak di Malaysia selepas kejayaan Revolusi Khomeini di Iran pada tahun 1979. Pengaruh ajaran dan fahaman ini menular ke negara ini melalui propaganda-propaganda mereka seperti bahan cetak, teknologi internet, orang perseorangan sama ada yang berkunjung ke Iran atau yang datang dari Iran dan sebagainya. Fahaman Syi‘ah ini semakin tersebar luas apabila beberapa orang pensyarah universiti tempatan telah memainkan peranan dalam menyebarkannya secara tegas kepada para pelajar di Institut Pengajian Tinggi. Pengaruh fahaman ini semakin menular ke negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, antaranya Kedah, Kelantan, Johor, Perak, Wilayah Persekutuan, Selangor dan lain-lain.

Syiah di Malaysia ini mempunyai tiga kelompok atau mazhab yang merebak di sekitar Selangor dan negeri-negeri yang lain iaitu:

i. Syiah Tayyibi Bohra (Dawood Bohra).

ii. Syiah Ismailiah.

iii. Syiah Jaafariyah atau Imamiyah Ithna Asyarah.

Di antara sebab pengharaman Syiah di Malaysia adalah kerana doktrin-doktrin atau ajarannya yang melampau yang boleh menyebabkan terbatalnya akidah Islam seperti:

i. Menolak hadis yang diriwayatkan oleh ulama Ahli Sunah sekalipun hadis itu mutawatir.

ii. Menolak Ijmak dan Qias.

iii. Menghina Isteri-Isteri Nabi.

iv. Memfitnah sahabat dengan mendakwa mereka melakukan kezaliman seperti Saidina Abu Bakar, Omar, Uthman, Aishah, Hafsah, dan Muawiyah.

v. Begitu juga dengan dakwaan-dakwaan yang lain.

1.2. PERMASALAHAN KAJIAN

Ajaran Syiah di Malaysia telah bertapak di Selangor sejak tahun 1979 lagi. Berasaskan daripada kajian oleh Polis dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Syiah bertapak kepada:

i. Pusat Pengajian Tinggi

Beberapa buah Pusat Pengajian Tinggi telah dikenal pasti menjadi sasaran Syiah iaitu Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa dan Institut Teknologi Mara.

ii. Orang Awam

Hasil penyiasatan JAIS bersama Polis dan JAKIM didapati beberapa orang penyebar fahaman ini telah bergerak cergas dalam kelompok kecil untuk berkempen dari rumah ke rumah. Di antara individu yang telah dikenalpasti ialah Syed Jaafar bin Abdul Hamid Al-Sagof, beliau didapati menyebarkan fahaman ini di Taman Permata dan Taman Melor di Hulu Klang.

iii. Menubuhkan Persatuan

Kumpulan ini berusaha menubuhkan persatuan untuk mengembangkan fahaman Syiah kepada orang ramai yang dikenali dengan nama "Darul Husaini" tetapi pendaftaran ditolak pada 19 September 1992 atas nasihat MAIS dan JAKIM.

Pelbagai cara telah dilakukan oleh pihak Syiah untuk menyebarkan dakwah mereka dan terbukti kekuatan mereka menyebarkan dakwah sangat menakjubkan. Bermula dari tahun 1979 sehingga sekarang masih wujud golongan Syiah ini disekitar Selangor terutama di disekitar daerah Lembah Klang dan Gombak. Mereka berjaya mengekalkan ajaran mereka di Selangor begitu lama sekitar 31 tahun.

Pihak berkuasa tempatan seperti Polis, JAKIM dan JAIS telah mengambil beberapa tindakan antaranya mengharamkan ajaran ini dan menfatwakannya menyeleweng dari akidah yang sebenar. Maka usaha yang telah dilakukan oleh berbagai pihak untuk menghalang penyebarannya adalah banyak termasuk juga dari NGO-NGO Islam serta individu-individu yang bertanggungjawab terhadap masyarakat sama ada menerusi media massa, blog-blog dan risalah-risalah dan ianya sedikit sebanyak telah berhasil.

1.3. OBJEKTIF KAJIAN

Objektif kajian ini dilakukan adalah:

i. Untuk mengetahui sejarah perkembangan ajaran Syiah di Selangor.

ii. Untuk mengetahui ajaran-ajaran yang telah dibawa oleh Syiah di Selangor.

1.4. SKOP DAN BATASAN KAJIAN

Kajian ini tertumpu pada perkembangan ajaran Syiah di sekitar kawasan negeri Selangor dan analisa dibuat terhadap tiga atau empat kawasan gerakan Syiah ini berlaku. Segala maklumat dan data adalah bergantung kepada responden kalangan penganut fahaman Syiah ini. Rujukan terhadap buku-buku Syiah juga akan dirujuk sebagai rujukan untuk mengetahui sedikit sebanyak perkembangan ajaran Syiah di Selangor, tetapi ianya tidak bersifat menyeluruh kerana sudah banyak kajian berbentuk literal yang telah dilakukan oleh pengkaji-pengkaji sebelum ini. Apa yang hendak penulis dapatkan adalah bersifat realiti yang berlaku dizaman sekarang ini iaitu bagaimana bentuk penyebarannya, kepercayaan mereka, akidah mereka, ibadah mereka, syariat dan lain-lain, bukanlah sesuatu yang bersifat semata-mata penulisan yang hanya diambil dari sebelah pihak dikalangan Ahli Sunah mahupun fahaman-fahaman yang lain, kerana sesuatu yang diambil dari sudut pihak yang mengkritik hasilnya mungkin tidak sama ataupun pihak yang mengkritik mempunyai tujuan tertentu yang mungkin mengakibatkan tokok-tambah berlaku dalam penulisan mereka. Maka di sinilah peluang penulis untuk mendapatkan suatu perkara yang realiti yang memang benar-benar diamalkan dan diyakini oleh penganut fahaman Syiah itu sendiri.

1.5. KEPENTINGAN KAJIAN

Kajian ini adalah perlu dan penting kerana terdapat beberapa masalah yang wujud hasil dari berkembangnya ajaran Syiah di Selangor ini. Walaupun jika kita lihat ianya tidaklah begitu menonjol, tetapi peri pentingnya kajian ini adalah untuk mendedahkan masyarakat terhadap fahaman Syiah ini supaya tidak terjebak atau terkeliru ke dalam fahaman ini.

Antara kepentingannya lagi adalah untuk mengelakkan dari berlaku kekeliruan fahaman Syiah ini dengan fahaman Ahli Sunah supaya masyarakat tidak terikut fahaman ini dalam keadaan tidak disedari. Semua fahaman yang menyeleweng mengaku bahawa mereka ini adalah membawa ajaran Islam yang sebenar, kitalah yang menentukan kebenarannya berasaskan dari ilmu dan pengetahuan yang kita pelajari.

Antara kepentingannya lagi adalah untuk mendedahkan identiti dan mendedahkan sejauh mana Syiah ini telah berkembang di dalam masyarakat di sekitar Selangor supaya beberapa manfaat boleh diambil dari berbagai pihak seperti JAIS, iaitu dengan menghalang dan menyekat penyebarannya, dan Polis dalam membanteras dan menangkap penganut fahaman ini dan sebagainya.

Selain itu antara kepentingannya lagi adalah untuk memelihara kesucian sejarah Islam yang mana telah banyak diseleweng oleh pihak Syiah ini, juga untuk memelihara nama isteri dan Sahabat Rasulullah s.a.w dari sentiasa dicela sehingga akhirnya telah menjadi budaya dalam masyarakat barat untuk mencela dan menghina para Sahabat Nabi s.a.w.

Antara kepentingan yang lain adalah untuk mengkaji sejauh mana pengamalan dan pegangan terhadap ajaran Syiah di Selangor khususnya dan di Malaysia umumnya terhadap ajaran yang mereka anuti, kerana mungkin sebahagian atau banyak dari kajian lepas atau literal adalah menceritakan tentang apa yang dibawa oleh Syiah tentang ajaran-ajarannya yang terdahulu dan asas-asasnya. Dalam kajian ini adalah bersifat sesuatu yang realiti yang benar-benar diamalkan dan dipegang oleh golongan Syiah ini dan bukannya sesuatu yang hanya diperkatakan orang tetapi hakikatnya tidak begitu.

Kesemua kepentingan ini adalah sesuatu sangat-sangat diperlukan oleh masyarakat sekarang kerana kurangnya pendedahan terhadap ajaran ini dan kurangnya pencegahan terhadap mereka ini pada waktu sekarang. Ditambah dengan kemelut politik yang tidak sudah-sudah pertelingkahannya sehingga perkara yang usul ini diabaikan oleh pihak yang bertanggungjawab tidak kira dari mana-mana parti atau fahaman. Maka kajian ini menjadi satu kemestian bagi penulis untuk menjalankannya mudah-mudahan manfaatnya dapat dicapai oleh masyarakat di Malaysia khususnya di Selangor.

1.6. METODOLOGI KAJIAN

Metodologi kajian yang penulis gunakan untuk mendapatkan data hanyalah bergantung kepada temu bual bersama penganut-penganut fahaman Syiah itu sendiri, dan data yang terhasil adalah berbentuk pengamalan atau pengajaran yang wujud di Selangor sahaja tanpa merujuk kepada buku-buku penulisan yang berbentuk sekunder. Data ini diambil terus secara direct dari penganut fahaman Syiah itu dan bukan kepada pengkaji atau orang yang memperkatakan tentang Syiah sedangkan mereka bukan dari Syiah itu sendiri. Seramai empat responden secara formal telah penulis temu bual dan telah direkodkan segala maklumat yang diberi kepada penulis menggunakan voice recorder atau tape recorder. Selain itu, maklumat dari beberapa buah kitab Syiah juga digunakan bagi menyokong pendapat dan pandangan golongan Syiah ini bagi membuktikan apa yang mereka amalkan adalah memang benar terdapat dalam ajaran Syiah yang sebenar.

Dalam metodologi kajian ini, penulis telah menggunakan teknik bola salji dalam proses mendapatkan maklumat kedudukan penganut fahaman Syiah ini. Dalam proses ini pada mulanya penulis mendapatkan seorang penganut fahaman Syiah dan seterusnya dari beliau penulis mendapatkan tempat atau individu yang seterusnya untuk di temu bual. Walaupun proses ini agak sukar, tetapi dengan kerjasama dari individu-individu yang terlibat, penulis berjaya mendapatkan maklumat responden yang berkaitan. Penulis telah melakukan temu bual di empat kawasan atau tempat yang berlainan. Dua daripadanya adalah tenaga pengajar kepada fahaman Syiah itu sendiri yang mana salah satunya adalah Hauzah yang agak aktif di antara banyak Hauzah yang wujud di sekitar Selangor, dan satu lagi adalah tempat pembelajaran bagi golongan Syiah itu sendiri. Satu lagi pula adalah tempat penganut fahaman Syiah sahaja yang mana beliau tidak terlibat dengan mana-mana aktiviti Syiah atau apa jua bentuk pengajaran kepada fahaman Syiah yang lain. Sungguhpun begitu temu bual yang dilakukan bersama orang yang ketiga ini kurang mendapat kerjasama kerana mungkin beliau bersikap dengan apa yang fahaman beliau sebut sebagai Taqiyyah. Penulis menyebut ini kerana ketika mana penulis pergi ke Gombak untuk mendapatkan data, penganut-penganut fahaman Syiah di sana mengenali individu yang ketiga yang penulis menemu bual beliau ini. Maka pemahaman penulis adalah mungkin beliau adalah seorang penganut fahaman Syiah tetapi bersikap menyembunyikan atau Taqiyyah sahaja tanpa mahu dikenali sebagai penganut Syiah. Kemudian satu lagi penulis telah menemu bual salah seorang dari ahli akademik iaitu seorang pensyarah dari satu universiti tempatan dan pandangannya akan dibincangkan semula dalam perbahasan terhadap isu Syiah ini. Kita biarkan dahulu apa yang disebut sebagai konsep ini dalam perbincangan dapatan kajian nanti.

Tempat yang telah penulis pergi adalah pertamanya di Gombak iaitu sebuah Hauzah yang aktif di sekitar kawasan tersebut. Nama Hauzah tersebut adalah Hauzah al-Ridha bersempena dengan nama Imam Syiah yang ke 8 iaitu Ali al-Ridha bin Musa. Tempat tersebut beralamat, No 9, Jalan SG 3/16, Taman Sri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor. Kedudukan kawasan tersebut adalah agak strategik kerana ianya berada disekitar kawasan pekan. Kebiasaannya kedudukan tempat perkembangan fahaman Syiah adalah di kawasan rumah kedai, dan Hauzah ini juga bertempat di sebuah Rumah kedai di tingkat 4 iaitu tingkat teratas sekali. Waktu penulis sampai di sana adalah waktu maghrib kerana penulis dijemput hadir pada waktu itu berkebetulan dengan majlis Ghadeer Khum yang diadakan di Hauzah tersebut. Walaupun sampai pada ketika itu adalah seawal jam 7.30 petang, temu bual yang penulis lakukan adalah bermula jam 12 tengah malam dan berakhir pada pukul 2 pagi. Ini adalah kerana ada majlis yang berlangsung selama beberapa jam sebelum penulis sempat menemu bual dengan pengetua Hauzah tersebut. Temubual berlangsung sekitar 110 minit iaitu 1 jam 50 minit di dalam kelas pengajian tersebut. Penulis telah berjumpa dengan pengetua beliau yang hanya mahu dikenali dengan nama Kamil Zuhairi.

Tempat kedua yang penulis pergi adalah di kawasan Taman Permata di Hulu Klang. Tempat ini bukanlah mempunyai sebuah Hauzah tetapi hanyalah kelas pengajian mingguan yang mana tempat ini memang hanya disewa khas untuk mengajar golongan yang sudah berumur. Penulis bertemu dengan tenaga pengajar disana yang hanya mahu dikenali dengan nama Abu Dzar bin Latip. Kedudukan tempat ini adalah di sebuah rumah kedai 3 tingkat di atas sebuah restoran bernama Restoran D’ Anjung Corner. Tempat ini beralamat no 2737, Jalan Changkat Permata, 53300 Taman Permata, Selangor. Kedudukan tempat ini juga amat strategik kerana ia berada di kawasan pekan atau Bandar di Hulu Klang. Penulis sampai di sana adalah pada waktu Isyak sekitar jam 9 malam. Seperti biasa, penulis tidak melakukan temubual pada waktu tersebut kerana tenaga responden perlu mengajar dahulu sebelum dapat penulis berjumpa beliau untuk di temubual. Sekitar jam 11 baharulah bermula proses temu bual. Temu bual tersebut berlangsung sekitar 1 jam yang berlangsung di tempat tersebut bermula jam 11 malam dan berakhir sekitar jam 12 tengah malam.

Tempat ketiga yang penulis pergi untuk temu bual adalah di Ampang. Tempat ini pula bukan juga Hauzah atau tempat mengajar bagi fahaman Syiah. Malah orang yang penulis temui juga tidak mengaku bahawa beliau adalah seorang penganut fahaman Syiah. Akan tetapi beliau mengetahui agak banyak juga maklumat berkaitan dengan apa yang hendak penulis dapatkan. Tempat ketiga yang penulis pergi ini adalah sebuah syarikat persendirian iaitu AMIN Research and Culture Centre. Tempat ini beralamat No. 314, Jalan 4, Taman Ampang Utama, 68000 Ampang, Selangor. Individu ini hanya mahu dikenali sebagai Kasmawi sahaja. Waktu temu bual berlangsung sekitar 30 minit sahaja bermula jam 12 tengah hari sehingga jam 12.30 tengah hari.

Tempat ke empat pula penulis telah pergi ke sebuah Universiti tempatan. Sebagai seorang ahli akademik, beliau memberikan kerjasama dengan sangat baik dan penulis dapat mengumpul maklumat atau data yang dikehendaki. Penulis pergi ke sana tepat pada jam 10 pagi 7 Januari 2011 dan berakhir temu bual kami pada pukul 12.30 tengah hari.

Pengumpulan data yang penulis lakukan untuk mendapatkan maklumat secara terus berkaitan dengan fahaman Syiah ini berjaya dan mereka memberi kerjasama yang agak baik. Walaupun ada seorang yang kurang memberikan maklumat, tetapi kesemua maklumat lain yang diberikan adalah bermanfaat. Moga-moga dengan penulisan daripada kajian ini dapat memberikan manfaat kepada pembaca.

1.7. KAJIAN LEPAS

Antara penyelidikan yang lepas yang telah penulis kaji adalah pertamanya tesis doktor falsafah pada tahun 2003 dari Universiti Kebangsaan Malaysia bertajuk Shi’ah dan Pengaruhnya Dalam Bidang Politik dan Tasawuf Falsafah di Alam Melayu Zaman Tradisional. Kajian ini di tulis oleh Kamis bin Ismail. Kajian ini berkisar tentang sejauhmana sumbangan Syiah dalam bidang politik dan pemikiran tasawuf falsafah di alam melayu. Antara penemuan yang telah diperolehi adalah Syiah adalah paling awal datang ke alam melayu berbanding golongan Sunni. Mereka juga didapati menubuhkan kerajaan Islam yang pertama serta amat berpengaruh dalam sudut agama, politik dan sosial. Tesis ini juga ada membincangkan pertamanya berkisar tentang sejarah Syiah dari sudut epistimologi sehinggalah ke aliran dan doktrin mereka. Keduanya dari sudut kedatangan awalnya ke alam melayu. Ketiganya adalah pengaruh Syiah dalam bidang politik serta tasawuf falsafah di alam melayu, iaitu berkisar tentang konsep Wehdah Al-Wujud, Al-Insan Al-Kamil, Konsep Nur Muhammad, Dan Martabat Tujuh. Hasil kajiannya telah penulis sebutkan di atas.

Ulasan kajian lepas yang seterusnya telah penulis kaji adalah, tesis sarjana pengajian Islam (MA) dari Universiti Kebangsaan Malaysia juga, dikemukakan pada tahun 2004 oleh Rifanto bin Ridwan bertajuk Syarat Perlantikan Khalifah dari perspektif Syiah dan Sunni : Suatu Perbandingan. Kajian ini membincangkan tentang syarat perlantikan khalifah menurut perspektif Syiah dan Ahli Sunah. Ianya berkisar kepada konsep khilafah iaitu epistimologi khilafah, cara pemilihan, hukum permohonan untuk menjadi khilafah serta gelaran terhadap khilafah. Ia juga membandingkan konsep tersebut dari sudut Syiah dan Ahli sunah dari sudut-sudut yang telah disebutkan tadi. Tesis ini juga memberi penilaian terhadap syarat perlantikan khilafah menurut perspektif Syiah. Hasil kajian ini adalah bahawa slogan Cinta Ahlu al-Bayt yang selalu digembar-gemburkan oleh Syiah adalah hanya semata-mata alat untuk mendapatkan beberapa kepentingan mereka. Malah syarat perlantikan khilafah yang diletakkan oleh mereka adalah bertujuan menghalang khalifah yang lain seperti Abu Bakr, Umar, dan Uthman dari menjawat jawatan khalifah atas sebab-sebab tertentu.

Ulasan seterusnya adalah buku bertajuk Perbandingan Mazhab Syi’ah Rasionalisme Dalam Islam yang ditulis oleh Aboe Bakar Ajteh, terbitan dari Jakarta. Buku ini adalah sangat baik jika pembaca inginkan maklumat yang lebih lanjut tentang Syiah. Buku ini berkisar tentang sejarah Syiah secara terperinci dari permulaan lahirnya Islam, lahirnya aliran Islam, sehinggalah ke penamaan kepada Syiah. Kemudian perbincangnnya juga berkisar disekitar keturunan Ali dan seterusnya memberikan perincian tentang mazhab-mazhab Syiah. Setelah itu, buku ini menerangkan pula apa itu mazhab Ahlu Bait yang serig digembar-gemburkan Syiah. Kemudian akhirnya perbandingan apa yang dibawa oleh Syiah satu persatu dengan Ahli Sunah serta melihat dari perspektif bezanya dan kesalahannya.

Kemudian buku bertajuk Dedah Fahaman Syiah yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 1998 yang dikarang oleh Musa al-Musawi dan diterjemahkan oleh Udah Bin Mohsin, Mohd Zawawi Bin Abdullah, dan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia Mudasir Bin Rosder. Buku ini tidak bersifat menerangkan apa yang ada dalam Syiah ataupun dari sudut sejarah kebangkitan, atau apa-apa yang menerangkan Syiah itu, tetapi buku ini lebih kepada menolak terus fahaman-fahaman Syiah yang melampau dan menyalahi akidah umat Islam. Buku ini membincangkan beberapa perkara penting, antaranya, konsep Taqiyyah, Imam Mahdi, pukulan rantai di kepala, syahadah yang ketiga, nikah mut’ah, sujud di atas tanah Husain, sistem imam dan Khilafah dan lain-lain. Buku ini kebanyakannya menolak pandangan-pandangan dalam fahaman Syiah seperti penolakan dakwaan imam maksum dan perlantikan khilafah.

Dalam jurnal Jurnal Asy-Syir’ah Vol. 42 No. II dikeluarkan pada tahun 2009 karangan Ahmad Yani Anshori pula, bertajuk Ideologi Syi’ah: Penelusuran Sejarah, memberi penumpuan dan penekanan sejarah kebangkitan Syiah dan disebut juga padanya tentang Revolusi Iran. Selain itu beliau juga mendedahkan krisis kepimpinan Islam yang menyebabkan jatuhnya kerajaan Islam dan pernah juga naiknya kerajaan Syiah seperti kerajaan Fatimiyyah suatu masa dahulu. Kemudian penulis jurnal ini pula lagi menerangkan istilah Syiah dan menerangkan secara terperinci juga berkaitan dengan beberapa ideologi Syiah seperti maksumnya Imam mereka, dan tidak layaknya 3 orang khalifah sebelum Ali dilantik sebagai khalifah.

Dalam sebuah kertas kerja seminar pula dalam seminar Ahli Sunnah Dan Syiah Imemiyyah bertajuk Bahaya Syiah Kepada Aqidah, Syariah, Akhlak, Ummah Dan Negara hasil kerja Mohd Asri Yusof dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1992, dibawah sub-tajuk Aspek-Aspek Persamaan Dan Perbezaaan, beliau memberi pada permulaannya adalah penerangan tentang bahaya Syiah kepada umat Islam dari sudut akidah syirik. Kemudian lagi menyambung dengan bahayanya Syiah dari perspektif syariat, dari sudut solatnya, hadith palsunya, dan lain-lain. Kemudian penerangan ringkas tentang bahayanya terhadap akhlak. Kemudian diteruskan pula penerangan tentang perbuatan Syiah memaki caci sahabat dan isteri-isteri Rasulullah yang boleh menyakiti hati sesiapa yang mendengarnya. Seterusnya bahaya terhadap agama dari sudut menyeleweng dan menghancurkan agama, dan yang terakhir menjelaskan mengapa mereka ini dianggap memusnahkan imej Islam.

Ulasan yang terakhir pula adalah Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam dalam keputusannya yang bertarikh 5 Mei 1996 telah mewartakan kesesatan Syi‘ah dan mengharamkan pengamalannya di Malaysia. Antara negeri yang telah mewarta dan mengharamkan Syi‘ah adalah, Selangor pada 19 Januari 1998, Wilayah Persekutuan pada 3 April 1997, Terengganu pada 25 September 1997, Pulau Pinang pada 16 Januari 1997, Negeri Sembilan pada 12 Mac 1998, dan Kelantan pada September 1987. Dalam fatwa yang dikeluarkan oleh negeri-negeri ini, mereka mengeluarkan sebab-sebab yang menyebabkan Syiah ini menjadi sesat, antaranya adalah penghinaan terhadap isteri Nabi dan para sahabat, kerosakan akidah Syiah ini dengan mengkafirkan ramai para sahabat dan sebagainya. Pewartaan sesat ini adalah berasaskan kepada akidah Ahli Sunah Wal Jamaah dan tiada yang membantah dengan keputusan ini. Dalam muzakarah ini juga telah disebut perbincangan yang juga termasuk perbincangan tentang amalan-amalan dan ajaran syi`ah yang bertentangan dengan agama dan fitrah manusia seperti, Abu Hasan a.s. berkata: “Aurat itu ada dua iaitu qubul (kemaluan) dan dubur, dubur ditutup oleh dua papan punggung, apabila telah ditutup kemaluan dan dua telurnya maka auratnya telahpun ditutup.” Dalam kitab mereka Al-Furu’ min al-Kaafi juzuk 6 halaman 51, dan juga dalam Tahzib al-Ahkam juzuk 1 halaman 374.

BAB 2. PENYEBARAN FAHAMAN SYIAH DI SELANGOR

2.1. Pendahuluan

Nama Syiah itu pada mulanya bermaksud golongan atau firqah dalam bahasa Arab. Tetapi pada permulaan Islam nama ini digunakan untuk suatu golongan yang tertentu, iaitu golongan yang membela Ali bin Abi Thalib, khalifah yang keempat, suami dari anak junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w., bernama Fatimah dan mempunyai hubungan penuh dengan Nabi, iaitu anak bapa saudaranya Abu Talib, saudara ayahnya. Ketika zaman salaf, zaman Nabi dan sahabatnya, perkataan ini belum digunakan orang, tetapi yang digunakan adalah perkataan Ahlul Bait atau ʽAlawi atau Bani Ali atau Ba ʽAlawi. Orang-orang Syiah itu, ertinya orang-orang dari golongan Saidina Ali, mempercayai bahawa Saidina Ali itulah orang yang berhak menjadi pengganti Nabi sesudah wafatnya, begitu pula jawatan khalifah itu menurun daripadanya, sebagai orang yang berhak menjadi Imam, iaitu ketua masyarakat kaum muslimin, kerana mereka itulah, yang juga dinamakan Ahlul Bait, yang lebih mengetahui dan lebih dekat serta lebih meyakini akan ajaran Nabi Muhammad (Aboe Bakar Ajteh 1977: 1). Imam Syafi’e pernah berkata (al-Baihaqi 1980: 208):

Tidak pernah aku melihat satu golongan dari golongan ahli Ahwa’ yang bersaksi dengan saksi palsu melainkan dari kalangan golongan Rafidhah (Syiah)

Apa yang akan penulis nukilkan hanyalah sekadar apa yang telah penulis dapatkan dari golongan Syiah sendiri berkaitan dengan fahaman dan ajaran mereka sama ada dari sudut akidah mahupun ibadah dan Syariat dan sedikit sahaja dari kajian literal buku-buku tentang Syiah. Kajian yang penulis lakukan ini hanyalah berkisar kepada golongan Syiah di Selangor sahaja. Jika mahu dibesarkan lagi skopnya adalah tidak mencukupi masa dan terbatas tempatnya. Maka Syiah yang dibincangkan dalam penulisan ini hanyalah Syiah yang wujud disekitar Selangor sahaja, Ianya berkaitan pula dengan ajaran-ajaran serta fahaman-fahaman mereka yang mereka sendiri amalkan pada realitinya dan bukan hanya pada teorinya sahaja. Sebagai contoh nikah Mut’ah, kadang-kadang ada sebahagian penganut Syiah yang kita dengar hanyalah menganut dari sudut akidah sahaja dan mengenepikan beberapa Syariat yang dibolehkan terhadap mereka. Pengalaman yang penulis lalui sendiri adalah mereka-mereka yang mengamalkan majoriti dari Syariat mereka seperti Mut’ah ini secara realitinya, bukan hanya cerita kosong. Inilah antara kepentingan kajian berasaskan Temu bual kepada responden dari kalangan Syiah sendiri.

2.2. Latar Belakang Kedatangan Syiah ke Selangor

Syiah telah datang ke Selangor melalui berbagai-bagai cara. Ianya adalah satu penyebaran pemikiran yang begitu berleluasa dan meracuni pemikiran rakyat di seluruh dunia. Menurut Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), penyebaran fahaman Syiah di Malaysia datang melalui beberapa cara, antaranya seperti lawatan pembesar-pembesar Iran ke Malaysia yang di susuli dengan kempen dan penerangan fahaman mereka, lawatan pelawat-pelawat Malaysia ke Republik Iran, melalui pelajar-pelajar Malaysia yang ditawarkan belajar ke Republik Iran dengan diberi biasiswa dan kemudahan asas yang secukupnya, melalui pegawai-pegawai Kedutaan Iran di Malaysia yang membuat lawatan ke pusat-pusat pengajian tinggi di Malaysia, dan memberi hadiah berupa buku fahaman Syiah kepada perpustakaan-perpustakaan umum seperti perpustakaan universiti, masjid dan tokoh-tokoh buku yang terkenal (http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/perkembangan-fahaman-syiah-di-selangor. 14 Disember 2010).

Berdasarkan kepada Temu bual yang dilakukan terhadap beberapa orang responden pula, mereka telah memberikan jawapan yang postif tentang kedatangan Syiah ini ke Selangor. Kedatangan Syiah ke Selangor sebenarnya telah melalui berbagai-bagai peringkat. Ada sebahagian mereka mengatakan bahawa kedatangan Syiah ke Selangor adalah sebelum berlakunya Revolusi Iran dan ada juga yang mengatakan Revolusi Iran itulah punca banyaknya tersebar fahaman Syiah ini ke Selangor. Semua pandangan responden tentang kedatangan Syiah ini dapat dipecahkan kepada dua bahagian iaitu (Kamil Zuhairi 2010: Temu bual, 25 November; Abu Dzar Latip 2010: Temu Bual, 26 November; Kasmawi 2010: Temu Bual, 25 November; Wan Zailan 2011: Temu Bual, 7 Januari):

2.2.1. Kedatangan Syiah ke Selangor secara umum

Apa yang dimaksudkan dengan kedatangan secara umum adalah cara kedatangan Syiah ke seluruh dunia termasuk Malaysia dan Selangor. Kedatangannya ini bersifat umum iaitu penarikan beramai-ramai umat Islam terhadap fahaman Syiah ini, dan perkara ini bukan sahaja berlaku di Selangor sahaja tetapi berlaku di seluruh dunia termasuk Malaysia. Kedatangan ini melalui 5 cara iaitu:

i. Melalui Revolusi Iran

Revolusi Iran berlaku pada sekitar tahun 1970-an. Revolusi Iran juga dikenali sebagai Revolusi Islam yang mana kejatuhan kerajaan Shah Mohamad Reza Pahlavi digantikan dengan pimpinan oleh Ayatollah Khomeini iaitu dari sistem Monarki kerajaan Islam kepada sistem Republik Islam. Kerajaan yang jatuh ditangan Ayatollah Khomeini ini iaitu kerajaan Shah bukanlah calang-calang kerajaan kerana ianya kerajaan yang telah berumur lebih dari 2 ribu tahun bertapak di Iran. Menurut Kejatuhan kerajaan Shah ini bukanlah hanya semata-mata kejatuhan sebuah kerajaan sahaja, tapi dalam diam kebangkitan Ayatollah Khomeini ini bangkit bersama dengan kebangkitan fahaman Syiah ke seluruh dunia. Ramai umat Islam di seluruh dunia tertarik kepada Revolusi Islam ini sehingga menganggap bahawa segala apa yang dibawa oleh kerajaan Khomeini ini adalah benar termasuk fahaman tentang agama Islam yang dibawanya. Tertariknya fahaman Syiah ke seluruh dunia ini adalah kerana umat Islam sudah tidak tahan dengan berbagai-bagai tekanan dan tindakan oleh Barat yang menindas Islam pada ketika itu. Apabila kebangkitan Iran dalam menentang kerajaan Shah dalam revolusi tersebut menyebabkan mata umat Islam ketika itu terbuka dan mereka mula memahami apa itu Syiah sedikit demi sedikit.

ii. Keterbukaan Fikiran

Setelah kebangkitan Iran, iaitu revolusi Iran, umat Islam pada ketika itu mula bangkit membuka mata dan fikiran mereka. Ada sebahagian dikalangan mereka mula mengkaji fahaman Syiah ini sehingga mereka dapat memahami Syiah itu sendiri dengan lebih mendalam. Dari sudut gerakan Islam pula, ada gerakan-gerakan Islam yang pergi menghadiri conference-conference di Iran. Diantaranya adalah seperti conference Baghdad, conference sempena ulangtahun revolusi Iran, dan lain-lain. Dengan kewujudan conference ini wakil dari seluruh dunia termasuk di Malaysia dijemput untuk menghadiri conference tersebut. Apabila telah tertarik dengan pendedahan Syiah yang begitu berleluasa di Iran maka mereka mula bertanya, apa yang sedang berlaku?, apa yang berbeza di antara Iran dengan tempat-tempat atau negara-negara Islam yang lain?. Antara persoalannya adalah pegangan mazhab yang dianuti oleh penduduk di Iran. Selain itu di sana pula terdapat buku-buku dan bahan-bahan bacaan tentang fahaman Syiah yang sangat banyak, mereka yang datang ke Iran akan memperolehi sumber ilmu tentang fahaman Syiah ini dengan begitu pesat sekali. Mereka yang hadir ke Iran juga dapat bertemu dengan alim-ulama Syiah di Iran untuk bertanyakan tentang fahaman yang mereka anuti itu secara langsung tanpa ada selindung atau tapisan sama ada secara formal atau tidak formal. Mereka yang pergi ke Iran juga boleh pergi melawat ke institusi-institusi pengajian di sana dan mempelajari berbagai-bagai perkara, antara institusi pengajian yang ada disana adalah seperti kota pengajian Khum. Maka apabila mereka yang datang ke Iran dapat mempelajari apa yang terdapat di Iran dari sudut tamadun, sejarah, kebudayaan, dan kesenian mereka, lebih-lebih lagi mereka yang menuntut ilmu sendiri di Iran mereka sendiri akan mula membuka minda mereka kepada fahaman Syiah dan ini memang terbukti kepada beberapa orang Syiah yang boleh kita temui di sekitar Gombak, Selangor. Mereka juga ada diantaranya yang belajar di Iran sendiri dan akhirnya menganuti fahaman Syiah ini tanpa ada selindung sekalipun telah diharamkan di Selangor.

iii. Melalui Kajian Perbandingan

Seterusnya pula apabila mereka yang telah pergi ke Iran atau hanya sekadar mendengar-dengar sahaja dari mulut orang lain tanpa ada ilmu padanya, maka mereka mula melakukan satu yang lebih efektif dalam mencari kebenaran pada diri mereka. Manusia memang secara fitrahnya mahukan kebenaran dan kebenaran yang ingin dikecapi oleh fitrah naluri manusia itu adalah kebenaran yang benar-benar pasti tentang kebenaran. Tapi tidak kurang juga di antara mereka dalam mencari kebenaran terpesong disebabkan oleh kekurangan pemahaman mereka atau kita sebut sebagai kejahilan mereka sendiri dalam mencari kebenaran itu. Maka dari sudut ini mereka mulalah melakukan satu kajian perbandingan. Kajian demi kajian dilakukan dan ada diantara mereka yang tidak terpesong dalam kesesatan tapi tidak kurang juga ada dikalangan mereka yang melakukan kajian ini menemui Syiah sebagai pegangan hidup mereka. Mereka mula melihat kelebihan dan kekurangan antara fahaman-fahaman yang banyak dan mereka boleh memilih mana yang mereka lebih sukai. Maka ini juga adalah salah satu sumber kedatangan Syiah ke Selangor ini.

iv. Melalui Pelajar yang Menuntut Ilmu di Luar Negeri

Antara sebab yang lain pula adalah keberangkatan pelajar-pelajar Malaysia terutama pelajar Selangor ke luar negeri untuk melanjutkan pengajian. Pelajar yang melanjutkan pengajian ke Iran pula lebih mudah tertarik ke fahaman Syiah ini, terutama mereka yang tidak dapat menyembunyikan identiti Sunni mereka sendiri. Maka mereka akan lebih didekati dan dihampiri untuk didakwahkan ke dalam fahaman Syiah. Disamping pembelajaran yang didapati secara formal di dalam kelas dan kuliah, pergaulan mereka dengan pelajar-pelajar Syiah lebih mendekatkan diri mereka kepada fahaman Syiah. Itu memang satu yang tidak dapat dinafikan, dan memang, majoriti mereka yang pergi melanjutkan pelajaran ke Iran akan pasti terjebak kepada menganuti fahaman Syiah secara begitu kuat dan mendalam. Selain itu, bukan sahaja pelajar yang pergi melanjutkan pengajian ke Iran sahaja yang akan menerima tempias fahaman Syiah ini, malah mereka yang belajar di luar negeri ditempat selain Iran juga mudah ditarik ke fahaman Syiah. Caranya bukanlah dari sudut formal seperti pengajian di dalam kuliah dan kelas-kelas di tempat pengajian mereka, tetapi adalah melalui interaksi mereka antara pelajar ini dengan pelajar-pelajar dari Iran, menyebabkan terhasil satu keterbukaan dalam minda mereka untuk melakukan kajian untuk mencari sesuatu. Selain itu, terdapat kelas-kelas pengajian Syiah yang bukan formal juga wujud di negara-negara ini untuk pemahaman yang lebih mendalam terhadap fahaman Syiah ini, tidak perlu melihat jauh ke Amerika untuk melihat buktinya, cukup kita lihat situasi di Malaysia, sekalipun telah diharamkan, masih wujud kelas-kelas pengajian Syiah di merata tempat sekitar Hulu Klang. Malah terlalu banyak pelajar-pelajar di Universiti tempatan juga yang menganut malah menyebarkan fahaman ini di kalangan rakan-rakan yang terdekat mereka seperti rakan sebilik dan rakan sekelas. Melalui rakan sebilik atau rakan sekelas ini maka mulalah pertanyaan dan kemudian naik ke peringkat seterusnya iaitu diskusi ilmiah, debat dan berbagai lagi cara penularannya sehingga boleh menggoyahkan pegangan seseorang. Hakikatnya bukan kesemua mereka yang menganuti fahaman Syiah ini adalah berasaskan kebenaran yang ditemui oleh mereka, tapi kadang-kadang ada sebahagian dari mereka yang hanya mahukan kelebihan-kelebihan yang terdapat dalam Syiah seperti masalah Nikah Mut’ah dan waktu solat yang begitu fleksibel dan ringan.

v. Melalui Pelajar yang Ada di Selangor Sendiri

Seperti yang disebut di atas Syiah ini juga datang dari pelajar Malaysia sendiri yang ada di institusi-institusi pengajian tinggi seperti UKM dan UIAM yang mana mereka yang tertarik dengan apa yang berlaku di Iran iaitu revolusi Iran sehingga menyebabkan mereka bertanya kepada pelajar Iran atau pelajar yang pulang dari pengajian mereka di Iran. Maka mereka mula bertanya dan menyebarkan fahaman ini ke rakan-rakan mereka yang lain melalui interksi secara tidak formal dan seterusnya melalui pengajian diluar kampus yang tidak formal. Bagi mereka yang jahil, hujah golongan Syiah ini adalah sangat kuat dan tidak boleh dinafikan kehebatannya menurut seorang responden. Hujah Syiah ini adalah kuat dan kebiasaannya berasaskan dalil yang kefahamannya melalui akal sehingga sukar hendak membenteng iman seorang penganut Sunni yang akidahnya tidak begitu kuat.

2.2.2. Kedatangan Syiah ke Selangor secara khusus

Kedatangan melalui cara ini adalah bersifat spesifik terhadap negeri Selangor. Malah boleh dikatakan juga selangor merupakan tempat pertama yang diduduki oleh Syiah yang berasal dari hanya beberapa individu kemudian bercambah dan bertambah lebih ramai. Malah jika dilihat sekarang sukar kita hendak menghitung jumlah pengikutnya yang semakin hari semakin bertambah dinegeri Selangor ini sahaja. Kedatangan Syiah melalui cara ini pula adalah mempunyai 4 jenis iaitu (Kamil Zuhairi 2010: Temu Bual, 25 November; Abu Dzar Latip 2010: Temu Bual, 26 November; Kasmawi 2010: Temu Bual, 25 November; Wan Zailan 2011: Temu Bual, 7 Januari):

i. Melalui seorang Syeikh dari Pakistan sebelum revolusi Iran

Syiah juga masuk ke Selangor ini melalui seorang individu yang berperwatakan yang sangat soleh. Ini berlaku sebelum revolusi Iran lagi. Individu tersebut adalah Syed Muhammad Hussain atau hanya dikenali sebagai Pak Habib. Pak Habib ini berasal dari pakistan dan datang ke Malaysia sebelum revolusi Iran berlaku lagi. Beliau adalah seorang Tabib (pengamal ilmu perubatan), iaitu Tabib Ayur Vedic. Ayur Vedic ini adalah sejenis nama bagi satu jenis perubatan tradisional India yang berasaskan kepada akar-akar kayu dan sebagainya. Ketikamana beliau sambil menjual ubat, beliau juga merangkul beberapa kitab-kitab Syiah yang sentiasa mendampingi beliau, dan kitab-kitab tersebut adalah kitab ajaran dan ilmu Syiah seperti kitab-kitab tafsir dan kitab-kitab fiqh. Dikatakan bahawa beliau ini adalah seorang yang sangat warak dan kuat agamanya sehinggakan berjalan kemana sahaja beliau akan mendirikan solat. Tidak kira tempat dan tidak kira masa jika masuk sahaja waktu, beliau akan melakukan solat. Sehari semalam tidak kurang dari lima puluh jenis solat dikerjakan oleh beliau sehinggakan beliau sangat dihormati dikalangan umat Islam di Malaysia khususnya di Selangor. Disebabkan oleh perwatakan beliau sehingga dihormati orang maka ramai orang mengikuti beliau dan ajaran beliau, bukan sahaja perwatakan beliau yang menjadi tarikan, disamping beliau juga seorang yang sentiasa berkhidmat kepada masyarakat dalam mengubati orang dan ketika mana tarikan beliau itu sangat masyhur dikalangan masyarakat berkebetulan pula dengan berlakunya revolusi Iran, maka beliau disanjung dan dijadikan sebagai rujukan tempat bertanya tentang permasalahan agama dan permasalahan yang berlaku. Ini menjadikan fahaman Syiah datang dari dua arah yang sangat penting yang menjadi tunjang utama penyebaran mazhab Syiah di Selangor. Disamping itu juga Iran pada ketika itu terkenal dengan kekayaan budaya dan kekayaan ilmu agama kerana disanalah tempat munculnya banyak imam dan alim ulama dalam negaranya, malah di Iran juga dikatakan kaya sangat dengan sumber ilmu Islam dan bukan hanya ulama sahaja. Antara imam yang wujud di kawasan Iran adalah Imam Ghazali di sebelah Khurasan, Imam Bukhari yang juga dari wilayah Parsi yang telah dipisahkan dengan Uzbekistan, Imam Tarmidzi juga dari wilayah Parsi disebelah bahagian Tarmudz, Imam Nasa’ie dari wilayah Nasa’, Imam Abu Daud dari wilayah Fistan iaitu tempatnya juga bagi penganut Syiah lahirnya seorang ulama bernama Ayatollah Sayyid Ali al-Fistani, begitu juga dengan Imam Fakhr al-Din al-Razi dari Tehran, Ibnu Sina dan lain-lain. Maka menurut responden, tidak hairanlah bagi mereka-mereka yang berkunjung ke tanah Iran sudah pasti menjadi seorang penganut fahaman Syiah kerana kayanya ulama dan sumber ilmu di sana. Maka mereka-mereka yang berada di Malaysia khususnya di Selangor juga menjadi mudah untuk tertarik dengan fahaman ini kerana kekayaan ulama dan sumbernya di sana. Kerana itu apabila pelajar-pelajar atau mereka-mereka yang melakukan penyelidikan dan perbandingan terhadap fahaman Syiah ini tidak hairanlah mereka akan tersangkut dan terjebak terhadap fahaman ini. Maka kelompok yang mula-mula dan paling awal yang menganut fahaman Syiah ini adalah kelompok yang mana mereka mengikuti Pak Habib ini sendiri, kerana pada ketika menularnya fahaman Syiah oleh Pak Habib ini, Revolusi di Iran ini masih lagi belum berlaku, dan kelompok pertama yang menjadi Syiah di Selangor ini adalah melalui Pak Habib sendiri. Kelompok ini sebenarnya pada peringkat awalnya tidaklah ramai, mereka hanyalah sekitar 10 sehingga 15 orang sahaja yang mengikuti Pak Habib, tetapi apabila mereka ini digabungkan dengan pelajar-pelajar Selangor dari Luar Negeri yang sudah menjadi Syiah seperti Amerika, London dan lain-lain, maka bertambah ramailah kelompok dan kumpulan Syiah.

ii. Melalui Gerakan Islam

Disamping mereka yang sudah terlibat dengan fahaman Syiah ini sama ada melalui Pak Habib dan sumber-sumber yang lain, maka satu lagi cara kedatangan Syiah ke Selangor ini adalah melalui gerakan-gerakan Islam yang bergerak secara aktif seperti PAS dan ABIM yang mana sebahagian dari mereka ini terpengaruh dengan Syiah kerana pernah pergi ke Iran atau dari sumber-sumber yang lain seperti conference-conference di Iran dan lain-lain. Maka di sana mereka dapat bahan-bahan bacaan yang penting tentang ajaran dan fahaman Syiah berbentuk buku-buku, majalah dan lain-lain menyebabkan mereka mula melakukan perbandingan dan berbagai-bagai kajian lagi. Malah terdapat salah sebuah buku oleh Imam Khomeini (pencetus revolusi Iran) sendiri iaitu bertajuk Hukumah Islamiyyah adalah pertama sekali diterjemahkan sendiri oleh gerakan ABIM.

iii. Melalui Mahasiswa dan Pensyarah di Universiti di Selangor

Dengan cara ini adalah penyebab kepada berkembangnya Syiah yang paling pesat di sekitar Selangor kerana golongan-golongan terpelajar ini adalah golongan yang sangat berautoriti tinggi dalam penyebaran apa jua bentuk fahaman yang wujud pada mereka. Secara realitinya kita sendiri dapat lihat betapa berkuasanya golongan Universiti ini di mata masyarakat kerana suara mereka adalah sangat dipercayai oleh orang awam. Maka melalui mereka ini sama ada pensyarah mahupun pelajar di Universiti-Universiti tempatan, mereka melakukan kajian-kajian yang begitu banyak sekali sehingga menjadi penyebab utama dalam penyebaran fahaman Syiah ini di sekitar selangor. Dari hujah-hujah Syiah yang sudah kuat disamping penyelidikan mereka yang terpengaruh dikalangan golongan Universiti ini, maka bertambah kuatlah pegangan mereka terhadap Syiah ini dan suara mereka pula menjadi pegangan pula terhadap masyarakat di Selangor khususnya.

iv. Melalui Sumber Dari Dalam Negeri Selangor

Masyarakat mula mengenali Syiah sedikit demi sedikit melalui penyebaran terhadap fahaman Syiah ini di akhbar. Di akhbar bukanlah mereka menyebarkan Syiah dengan mengajarkan masyarakat tentang ajarannya, tapi sumber dari akhbar ini adalah berbentuk penghentaman terhadap pandangan-pandangan Syiah. Bagi mereka yang jahil atau kurang ilmu akidah adalah mudah terpengaruh. Masyarakat yang jahil ini mula cuba mengkaji apa itu Syiah berdasarkan dari hentaman-hentaman yang dilakukan di dalam akhbar dan majalah atau risalah-risalah itu. Maka apabila mereka mula mengkaji lebih mendalam, tidak kurang juga dikalangan mereka mula sedikit demi sedikit terjebak dan sangat tertarik dengan fahaman-fahaman Syiah. Secara tidak langsung hakikat sebenarnya cara ini lebih banyak membantu dalam memberikan propaganda yang sangat besar dan penyebab yang sangat besar dalam memberikan peluang kepada masyarakat untuk lebih memahami Syiah dan seterusnya menganut fahaman Syiah. Pada mata penulis sendiri, tidak kurang ramai juga penganut Syiah ini bukanlah penganut yang benar-benar faham tentang ajaran yang dibawa dan permasalahan akidahnya, tapi hanyalah semata-mata mahukan keuntungan dunia seperti boleh melakukan Nikah Mut’ah atau kerana mudah hendak melakukan ibadah seperti solat, yang mana waktunya sangat fleksibel. Ini dibuktikan melalui kenyataan yang disebut oleh Tuan Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dalam akhbar Harian Metro bertarikh 17 Disember 2010 ketika serbuan dilakukan terhadap Hauzah al-Ridha di Sri Gombak. (Harian Metro. 2010. 17 Disember) Beliau menyatakan bahawa

“Bagi lelaki, tarikan seks dipercayai menjadi antara sebab utama mereka mudah mengikuti fahaman Syiah kerana fahaman ini menghalalkan nikah mutaah”

Berasaskan kepada sumber-sumber kedatangan Syiah ke Selangor ini, dapat kita bayangkan berapa ramai pengikutnya yang wujud di sekitar Selangor tanpa kita sedari. Malah sebenarnya sumber-sumber kedatangan ini adalah berlaku di zaman revolusi Iran. Dapat kita bayangkan berapa ramai pengikutnya lagi di zaman sekarang, dimana generasi-generasi yang wujud setelah revolusi Iran itu berlaku adalah lebih berkembang dari generasi yang awal. Dari 15 orang berubah menjadi 30. Dari 30 menjadi 90 dan seterusnya. Cuba kita bayangkan generasi yang pertama seramai 100 orang. Kemudian seratus orang tersebut berubah menjadi 200 disebabkan perkahwinan. Dari 200 pergi ke generasi anak mereka, katakan generasi anak mereka, setiap seorang dari 200 tersebut mempunyai 3 orang anak, ianya berubah menjadi 600. Dari 600 apabila berkahwin berubah menjadi 1200, dan generasi anak mereka pula berubah menjadi 1200 x 3, berjumlah 3600 pengikut dan seterusnya sehinggalah sekarang. Walaupun telah difatwakan haram oleh Jabatan Agama Islam Selangor, yang mana pengikutnya boleh didakwa dan didenda, tetapi masih ramai jumlah pengikutnya sehingga sekarang. Anggaran perkembangan ini dinyatakan oleh Kamil Zuhairi dalam temu bual penulis bersamanya (Temu Bual. 25 November 2010)

2.3. Bilangan hauzah dan jumlah pengikut disekitar selangor

Hauzah adalah pusat pengajian bagi golongan Syiah. Ia boleh dinisbahkan bagi golongan Sunni sebagai tempat pengajian asas fardhu ain atau disebut sebagai KAFA. Hauzah Syiah yang wujud di sekitar Selangor adalah banyak, dan bilangan ahli Syiah dalam setiap Hauzah adalah ramai. Anggarannya disebut oleh Kamil Zuhairi dalam temu bual bersamanya.Menurut Kamil Zuhairi (2010: Temu Bual, 25 November), anggaran bilangan Hauzah yang wujud disekitar selangor bagi penganut fahaman Syiah ini adalah sekitar sepuluh buah Hauzah yang masih wujud dan aktif. Sebenarnya Hauzah ini memainkan peranan penting dalam pergerakan Syiah ini dan dakwah mereka. Hauzah yang dianggarkan disekitar Selangor ini hanyalah sepuluh buah Hauzah, tetapi sebenarnya bagi golongan Syiah ini, bukan hanya Hauzah yang menjadi penggerak utamanya sahaja, malah terdapat kelas-kelas pengajian yang sangat banyak disekitar Selangor ini. Antara kelas pengajian yang terdapat di Selangor adalah di sebuah tempat di Taman Permata yang mana penulis dijemput untuk menghadiri kelas pengajiannya. Mereka mengajarkan beberapa buah kitab Syiah yang menjadi rujukan utamanya dari sudut fiqh, akidah, dan syariat yang lainnya. Disamping itu juga wujud kelas pengajian terhadap kitab-kitab tafsir dan hadith yang dikarang oleh pemimpin-pemimpin mereka seperti kitab Tafsir al-Mizan karangan Allamah Tabatabai dan kitab Fiqh berjudul Lum’ah karangan Syahid Awal.

Menurut Kamil Zuhairi (2010: Temu Bual, 25 November) lagi , Hauzah yang paling aktif disekitar selangor yang mana ianya juga boleh dikatakan menjadi pusat dan tunjang utama pergerakan fahaman Syiah ini adalah Hauzah al-Ridha yang terletak di Seri Gombak, Selangor. Hauzah ini bukan sahaja memainkan peranannya hanya ketika ada majlis-majlis kebesaran Syiah, tetapi ianya juga wujud kelas-kelas pengajian agama disemua peringkat umur dari sekolah rendah sehinggalah golongan yang berumur. Kelas-pengajian agama mereka ini berlangsung setiap hari yang mana mereka mengajarkan segala ajaran fahaman Syiah dari asas sehinggalah ke peringkat tinggi. Jika kita di sekolah rendah dahulu, dan sekolah sekarang juga, pada waktu pagi, kita akan menghantar anak ke sekolah akademik, dan disebelah petangnya kita akan menghantar anak ke sekolah agama, sekolah agama itulah yang dihantar oleh golongan Syiah, anak-anak mereka yang masih muda ke sekolah yang terdapat di Hauzah al-Ridha ini dan juga di Hauzah-Hauzah yang lain.

Pandangan Kamil Zuhairi ini tentang Hauzah yang paling aktif dan menjadi pusat utama penyebaran Syiah ini disokong oleh kenyataan akhbar dari Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi. Katanya:

“Jais percaya daerah Gombak menjadi pusat utama penyebaran Syiah di Selangor sedangkan fahaman itu sudah diwartakan sebagai ajaran sesat di Selangor mengikut Seksyen 12 (C) 1995”.

Katanya lagi:

“JAIS sudah melakukan intipan selama dua tahun bagi mengumpul bukti mencukupi sebelum melakukan serbuan ini dan penahanan lebih 100 orang terbabit menjadikan ia tangkapan ajaran sesat terbesar di Selangor pada tahun ini”.

Kenyataan ini dibuat pada hari serbuan dilakukan di Hauzah al-Ridha oleh JAIS dengan kerjasama Polis, Majlis Perbandaran Selayang dan lain-lain (Harian Metro. 2010. 19 Disember).

Menurut Kamil Zuhairi dan Kasmawi, Anggaran bilangan pengikut disekitar selangor ini adalah sukar untuk dibayangkan kerana Syiah ini berkembang sangat pesat. Malah menurut Kamil Zuhairi (2010: Temu Bual, 25 November) dan Kasmawi (2010: Temu Bual, 29 November), seorang ulama Wahabi iaitu Ibn Baz, Mufti Mekah, menyuruh umat Islam lebih berhati-hati dengan perkembangan gerakan Syiah yang sentiasa bergerak begitu laju. Mereka yang menjadi Syiah ini pula sentiasa merahsiakan bahawa mereka adalah penganut fahaman Syiah. Diluar mereka tiada beza dengan golongan Sunni, tetapi di Hauzah mereka adalah penganut Syiah yang taat. Dari sudut ibadahnya mereka juga mereka rahsiakan di luar kerana tidak mahu dikenal orang.

Anggaran bilangan pengikut ini yang diberikan oleh responden hanyalah anggaran berdasarkan Hauzah yang wujud di sekitar Selangor. Anggaran yang diberikan sebenarnya adalah lebih sedikit berbanding hakikatnya yang berada diluar yang mana pengikutnya lebih ramai dari jangkaan. Anggaran yang dibuat adalah bilangan Hauzah yang wujud disekitar Selangor iaitu sebanyak sepuluh buah Hauzah. Pengikut bagi setiap Hauzah puratanya adalah seramai 50 orang pengikut. Maka setiap Hauzah yang ahlinya tetap menghadiri kelas setiap hari adalah 500 orang. Tetapi apabila ada majlis pengikutnya berubah mendadak bilangannya. Seperti yang berlaku sendiri di Hauzah al-Ridha ketika mana penulis sendiri pergi ke Majlis Ghadeer Khum, iaitu majlis yang disambut sempena perlantikan Ali r.a yang sepatutnya menjadi Khalifah setelah Rasulullah s.a.w tetapi Abu Bakr mengambil tempat sebagai Khalifah selepas Rasulullah s.a.w. Ketika majlis tersebut berlangsung, dianggarkan seramai 200 orang pengikut yang menghadiri majlis tersebut tidak termasuk pelajar-pelajar yang menghadiri kelas setiap hari. Anggaran ini tidak termasuk juga dengan majlis yang berlangsung selain dari majlis di Hauzah-Hauzah, seperti yang terdapat di Taman Permata di Wangsa Maju, majlis Ghadeer Khum berlangsung bukanlah di Hauzah, tapi di tempat mereka melakukan kelas pengajian. Maka anggaran mudah yang boleh dilakukan secara umumnya tentang bilangan pengikut Syiah disekitar selangor adalah bermula pada peringkat awal iaitu anggaran seramai 5000 orang diseluruh semenanjung Malaysia dibahgaikan dengan 12 buah negeri 5000 ÷ 12 jumlahnya 420 orang secara purata pengikutnya diperingkat awal. Setelah 40 tahun berlalu mengikut perkiraan berkembang pesatnya penganut Syiah dari satu generasi ke generasi yang dibawahnya kita anggarkan 420 orang darab dengan perkahwinan 420 x 2 = 840, ditambah pula dengan generasi kedua iaitu anak-anak mereka dan anggaran purata anak-anak mereka 3 orang satu keluarga. Maka 840 + (420 x 3) dengan 420 buah keluarga darab dengan 3 orang anak satu keluarga. Jumlahnya 840 + 1260 hasilnya 2100 orang dalam satu generasi. Anggarkan pula dalam 40 tahun kita wujud tiga generasi menjadikan pengikut Syiah disekitar Selangor sahaja adalah 6300 orang pengikut. Maka inilah anggaran sebenar pengikut Syiah yang wujud pada sekarang ini tidak termasuk dengan generasi keempat yang sekarang ini semakin berkembang pesat disamping teknologi yang canggih. Anggaran ini juga adalah tidak termasuk mereka yang terpengaruh dibawah ajakan rakan mahupun guru-guru mereka dan sebagainya. Maka jumlah anggaran inilah yang agak tepat pada masa sekarang (Kamil Zuhairi. 2010: Temu Bual, 25 November).

2.4. Bagaimana Penerimaan Syiah di Selangor

Sebelum kita membincangkan tentang ajaran-ajaran yang terdapat dalam Syiah yang diamalkan oleh masyarakat di Selangor, terlebih dahulu penulis mahu menyentuh tentang pegangan Syiah bagi individu itu sendiri. ini merujuk kepada bagaimana penerimaan setiap individu di Selangor terhadap fahaman Syiah. Dalam membincangkan Syiah terhadap individu ini, penulis memilih 3 orang responden dalam menentukan cara penerimaan Syiah di Selangor ini, bagaimana boleh terlibat dengan Syiah itu sendiri, sejauh mana pemahaman mereka terhadap pegangan dan anutan Syiah ini, apakah penyebab utama yang menjadikan mereka sangat tertarik dengan fahaman ini, berapa ramai yang mengikuti Syiah dibawah mereka sama ada dalam kelas yang formal mahupun secara tidak formal, adakah mereka ini memang asalnya Syiah atau mereka ini asalnya Sunni tapi sudah berubah kepada Syiah dan kenapa mereka memilih Syiah sebagai pegangan.

Menurut responden-responden ini, secara individunya mereka memang berasal dari kalangan keluarga Sunni dan mendapat didikan dalam suasana Ahli Sunah, tetapi mereka kemudiannya berubah menjadi Syiah disebabkan kerana tertarik terhadap apa yang wujud dalam fahaman Syiah. Menurut Kamil Zuhairi dan Abu Dzar, majoriti masyarakat Syiah di Malaysia memang mereka semua adalah berasal dari pegangan akidah Ahli Sunnah tetapi kemudian mereka semua berubah menjadi Syiah berdasarkan faktor diri masing-masing (Kamil Zuhairi. 2010: Temu Bual, 25 November; Abu Dzar. 2010: Temu Bual, 26 November). Seperti responden kedua, Abu Dzar, beliau menganut fahaman Syiah adalah disebabkan oleh faktor beliau berhijrah ke Iran dalam menuntut ilmu. Selain itu beliau memberitahu lagi kepada penulis bahawa sebenarnya penyebab kepada beliau ini menganut fahaman Syiah adalah kerana sikap masyarakat yang sangat jahil dalam ilmu agama. Beliau memberikan contoh, ketika beliau masih kanak-kanak, beliau pergi ke surau dan mahu solat kerana niat ikhlas mahu menunaikan solat tetapi selalu beliau dikatakan sebegini, “datang ke surau nak main sahaja, pegi jauh-jauh” oleh pakcik-pakcik di surau. Selain itu apabila ada majlis-majlis yang ada disediakan makanan apabila beliau datang untuk menunaikan solat, ada mulut yang berbunyi “datang surau nak melantak la tu”. Sikap-sikap sebegini menyebabkan beliau mula mencari kebenaran dan akhirnya menemui Syiah (Abu Dzar. 2010: Temu Bual, 26 November). Menurut responden ketiga pula iaitu Kasmawi (2010: Temu Bual, 29 November), beliau terlibat dengan fahaman Syiah adalah kerana beliau adalah seorang penuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan beliau amat berminat dengan Iran. Disini mungkin wujud sikap al-Taqiyyah pada diri ustaz tersebut kerana apabila ditanya namanya pada penganut Syiah yang lain disekitar Gombak, mereka mengenali ustaz Kasmawi sebagai seorang yang berfahaman Syiah, begitu juga di Bangi. Beliau juga tidak terlibat dengan mengajar atau mana-mana Hauzah di sini. Selain itu menurut beliau lagi beliau menjadi tertarik dengan Syiah ini adalah kerana terdedah dengan suasana Syiah dan kesedaran Islam di Universiti tersebut.

Menurut Kamil Zuhairi (2010: Temu Bual, 25 November), penganut Syiah di Malaysia ini adalah kebanyakannya penganut Syiah setelah revolusi Iran berlaku dan bukan berasal dari memang Syiah pure (asli). Orang yang benar-benar berasal dari Syiah asli adalah Pak Habib dan pengikutnya itu sendiri yang memang beliau sendiri menganut fahaman Syiah sebelum revolusi Iran berlaku. Bagi responden-responden ini, mereka menjadi tertarik kepada fahaman Syiah ini adalah kerana revolusi Iran tersebut yang menyebabkan mereka sendiri berminat untuk meneliti apa itu fahaman Syiah. Revolusi Iran adalah penyebab utama yang terbesar dalam penarikan umat terhadap Syiah. Menurut responden bukan sahaja di Selangor ianya menjadi tarikan terbesar, malah diseluruh dunia termasuk di Arab Saudi sendiri yang majoritinya berfahaman Wahabi. Malah menurutnya lagi tidak kira orang Sunni atau bukan Sunni juga malah orang bukan Islam juga menjadi tertarik dengan keistimewaan yang terdapat pada revolusi Iran itu. Kerana, bukan mudah untuk orang percaya tentang kejatuhan kerajaan Shah Iran pada ketika itu ditangan Ayatollah Khomeini, kerana kerajaan Shah Iran itu sangat berkuasa yang mana kuasanya juga mempunyai back up dari Amerika sendiri, kuasanya sudah hampir 2 ribu tahun menguasai Iran sehingga dikatakan bahawa giginya juga adalah satu senjata bagi beliau atau dalam bahasa Parsinya disebut “ho dan don musallah” yang membawa maksud orang yang sehinggakan giginya juga adalah senjata.

BAB 3. JARAN-AJARAN DALAM FAHAMAN SYIAH DARI SUDUT AKIDAH

3.1. Khilafah Adalah Pemilihan Dari Allah Bukan Syura

Sebelum dibawa pandangan golongan Syiah tentang konsep Khalifah dalam Islam, penulis membawa pandangan tentang metodologi Khalifah dalam Islam menurut perspektif Sunni. Dalam metodologi pemilihan Khalifah, Islam menggunakan 3 cara iaitu: Bai’ah, Istikhlaf dan rampasan kuasa (Abdul Rahim al-Dahlawi 1995: 271). Ketiga-tiga cara ini adalah disepakati oleh Islam dalam penentuan untuk memilih Khalifah. Apabila telah terpilih melalui tiga cara ini, rakyat perlu taat kepada pemerintahan tersebut. Bagi Syiah, mereka menambah satu lagi cara pemilihan iaitu melalui nas. Melalui cara nas ini ada sebahagian ulama Ahli Sunah yang menyokong pandangan ini, antara mereka adalah Ibn Hazm, Hasan al-Basri dan Ahmad bin Hanbal (Ibn Taimiyyah 1322: 35). Tetapi Syiah menggunakan cara ini untuk mempertahankan pandangannya bahawa Ali adalah pemilihan dari Allah.

Mengenai perlantikan khalifah secara nas ini juga disentuh oleh pemimpin Syiah iaitu Syeikh Muhamad Redha dalam kitabnya Aqaid Imamiyyah (al-Muzaffar 1961: 78) :

نعتقد أن الإمامة كالنبوة لا تكون إلا بالنص من الله تعالى على لسان الإمان المنصوب بالنص إذا أراد أن ينص على الإمام من بعده، وحكمها في ذلك حكم النبوة بلا فرق، فليس للناس أن يتحكموا فيمن يعينه الله هاديا ومرشدا لعامة البشر، كما ليس لهم حق تعيينه أو ترشيحه أو انتخابه. لأن الشخص الذي له من نفسه القدسية استعدادا لتحمل أعباء الإمامة العامة وهداية البشر قاطبة يجب ألا يعرف إلا بتعرف الله ولا يعين إلا بتعيينه

Kami beriktiqad bahawa imam-imam seperti Nabi, tidak berlaku melainkan apa yang didatangkan oleh nas daripada Allah s.w.t atau lisan Rasul atau lisan imam yang dilantik secara nas apabila ia hendak menentukan imam selepasnya. Hukum imamah sama seperti nabi, tiada perbezaan. Orang ramai tidak boleh membuat hukum lain terhadap orang yang telah ditentukan oleh Allah sebagaimana mereka tidak mempunyai hak penentuan, pencalonan dan pemilihan kerana orang yang telah dilantik, telah mempunyai persediaan yang cukup untuk menanggung bebanan imam dan memimpin masyarakat yang sudah pasti tidak boleh diketahui kecuali dengan ketentuan Allah.

Menurut Kamil Zuhairi (2010: Temu Bual, 25 November) pula, bagi pengikut Ahlul Bait (Syiah) mereka sentiasa berpegang kuat dalam hati bahawa konsep khilafah dalam pemerintahan Islam selepas kewafatan Nabi s.a.w adalah konsepnya melalui pemilihan Allah yang dinaqalkan oleh Nabi s.a.w. Bagi mereka tiada konsep Syura dalam pemerintahan Islam. Menurut mereka lagi Syura yang digunakan dalam pemilihan Saidina Abu Bakar r.a setelah kewafatan Nabi adalah tidak sah. Malah ianya bersalahan dengan konsep Syura yang selalu disebut Sunni dalam agama Islam. Mereka juga menentang pemilihan Saidina Umar r.a dan Uthman r.a dengan mengatakan bahawa kedua mereka ini dipilih bukan melalui pemilihan Syura, malah ianya ditentukan oleh Khalifah sebelumnya sehingga saidina Ali r.a terpaksa mendiamkan diri demi menjaga kemaslahatan umat dari berpecah pada ketika itu.

Pegangan mereka (Syiah) juga Menurut Kamil Zuhairi (2010: Temu Bual, 25 November) lagi, meletakkan Saidina Ali r.a adalah sepatutnya pemerintah Islam yang pertama selepas kewafatan Nabi kerana berasaskan pemahaman dari sabda Nabi s.a.w di dalam khutbah haji wida’ atau wada’ iaitu khutbah terakhir Nabi s.a.w pada ketika itu yang mengangkat saidina Ali r.a sebagai walinya iaitu pada 10 Hijrah (Nabi wafat pada 11 Hijrah). Mereka memahami maksud wali pada khutbah Nabi s.a.w tersebut adalah sebagai pengganti Nabi selepas kewafatan beliau. Mereka menentang keras terhadap penafsiran atau pemahaman terhadap kalimah مولى dalam khutbah Nabi s.a.w tersebut kepada makna selain dari pengganti atau khilafah selepas kewafatan beliau. Khutbah Nabi s.a.w pada ketika ini adalah dianggap oleh pengikut Syiah sebagai peristiwa Ghadeer Khum yang mana peristiwa khutbah ini berlaku di sebuah tempat bernama Ghadeer Khum. Pada ketika ini, setelah selesai jemaah haji yang ada pada ketika, Nabi s.a.w mengarahkan jemaah haji supaya berhenti dahulu kerana beliau mahu menyampaikan satu khutbah yang penting. Nabi mengumpulkan umat Islam seramai 120 ribu orang dan menahan mereka dari pergi dahulu sebelum mendengar khutbah baginda. Di tengah panas yang terik Nabi memberi khutbah, antara khutbah beliau yang mengangkat saidina Ali sebagai مولى baginda adalah dengan Nabi mengangkat tangan saidina Ali r.a sambil berkata (al-Kulaini 1992: 355):

من كنت مولاه فعلي مولاه

“Siapa yang menjadikan aku maulanya (pelindung), maka ali adalah maulanya”

Kamil Zuhari (2010: Temu Bual, 25 November) mengatakan bahawa, Pemahaman isi kandungan maksud Nabi s.a.w terhadap ayat ini menurut pandangan Syiah adalah dengan maksud pengganti beliau sebagai Khalifah. Tetapi menurut ulama Ahli Sunah adalah مولى tersebut bermaksud sahabat sahaja. Golongan Syiah beralasan bahawa adakah logik pada akal manusia yang mana ketika peristiwa tersebut berlaku, Nabi s.a.w mengumpulkan 120 ribu orang jemaah haji yang sudah bergegas mahu pulang ke tempat masing-masing yang mana sebahagiannya mahu ke Syam, sebahagian lain mahu ke Iraq dan sebagainya, hanyalah semata-mata mahu mengatakan bahawa Ali r.a adalah مولى dengan maksud sahabat baginda sahaja. Malah hadith ini juga adalah banyak diriwayatkan oleh ulama Ahli Sunah sendiri tanpa khilaf. Maka masalah berlaku atau tidak berlakunya peristiwa ini tidak timbul kerana tiada khilaf antara Sunni dan Syiah tentang peristiwa yang disebut dalam hadith.

Menurut Kamil Zuhairi (2010: Temu Bual, 25 November) lagi, Sunni berpegang bahawa sebelum kewafatan Rasulullah s.a.w, baginda tidak pernah mewasiatkan bahawa takhta khalifah itu adalah terletak pada orang-orang yang dipilih atau tertentu. Tetapi bagi Syiah mereka berpegang bahawa banyak hadith selain dari peristiwa Ghadeer Khum tadi yang meletakkan bahawa Ali r.a adalah sebagai pengganti baginda yang sebenar yang telah dipilih oleh Allah dan disampaikan oleh Nabi s.a.w, bukan dipilih oleh Nabi s.a.w. Sekiranya Nabi tidak menyampaikan apa yang telah disuruh oleh Allah, maka bermaksud risalah yang sebelum ini juga tidak disampaikan oleh Nabi s.a.w. Maka apa yang disampaikan oleh Nabi terhadap peristiwa Ghadeer ini juga adalah sesuatu yang disampaikan oleh Allah melalui Rasulnya tanpa ada perselindungan. Nabi disuruh menyampaikan sahaja, bukan melantik Ali r.a sebagai khalifah kerana perlantikan Ali boleh ditetapkan oleh Allah sahaja.

Hujah golongan Syiah lagi menurut Kamil Zuhairi (2010: Temu Bual, 25 November), ialah tentang perlantikan Abu bakar, Umar dan Uthman r.a. Menurut Syiah, Sunni berpendapat bahawa setelah kewafatan Rasulullah, beliau tidak mewasiatkan apa-apa atau kepada siapa-siapa pun tentang masalah khalifah. Maka Syura adalah satu pemilihan khalifah yang paling perlu digunakan kerana terdapat dalil dari al-Quran dan hadith padanya. Tetapi menurut beliau, golongan Syiah berpendapat, Sunni menggunakan sistem pemilihan demokrasi, jika begitu Abu Bakar r.a tidak benarlah perlantikannya mengikut apa yang telah ditetapkan, malah perlantikan Umar r.a dan Uthman r.a adalah tidak sah kerana dalam pandangan Syiah, Umar r.a telah dilantik oleh Abu Bakar r.a dan Uthman telah dilantik oleh Umar r.a. Perlantikan Abu Bakar pula tidak sah adalah kerana ianya bukan demokrasi kerana demokrasi adalah suara rakyat yang paling ramai sedangkan pada ketika itu, Abu Bakar r.a dipilih hanya oleh sebilangan sahabat besar yang lain.

Syiah juga menurut Kamil Zuhairi (2010: Temu Bual, 25 November), berhujah menggunakan dalil al-Quran yang disebut dalam khutbah haji terakhir tersebut bahawa apa yang dimaksudkan oleh Allah pada ketika itu adalah perlantikan saidina Ali r.a sebagai khalifah. Ayat tersebut adalah:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإسْلامَ دِينًا فَمَنِ اضْطُرَّ فِي مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍ لإثْمٍ فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Menurut pandangan Syiah lagi, disebut oleh Kamil Zuhairi (2010: Temu bual, 25 November), kesempurnaan agama yang telah disebutkan oleh Allah pada ketika itu adalah kesempurnaan keseluruhan agama Islam dengan melantik Ali r.a sebagai khalifah yang pertama selepas Rasulullah s.a.w. Maka apabila Rasulullah telah wafat maka kesemuanya telah tersedia dengan kesempurnaan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.

3.2. Mazhab Dalam Syiah

Mazhab Syiah yang wujud disekitar Selangor antaranya adalah Syiah Tayyibi Bohra (Dawood Bohra) Kumpulan ini berasal dari India dan di Malaysia dikenali sebagai golongan yang memiliki kedai Bombay. Kumpulan yang berpusat di sekitar daerah Klang ini mempunyai tanah perkuburan dan masjid sendiri dengan jumlah pengikut dianggarkan 200 hingga 400 orang, Syiah Ismailiah. Kumpulan ini dikenali dengan nama kedai Perbhai yang bergerak di Lembah Klang. Bilangan pengikutnya lebih kecil dari kelompok Bohra. Syiah Jafariyah atau dikenali juga dengan Imamiah Ithna Asyariah. Kumpulan ini dipercayai mula bertapak di Malaysia pada tahun 1979. Pengaruh ajaran dan fahaman ini menular melalui bahan bacaan dan individu seperti pensyarah Institusi Pengajian Tinggi. Beberapa buku utama Syiah telah dijadikan rujukan dan telah diterjemah dalam Bahasa Melayu. Pengikut kumpulan ini dianggarkan 300 hingga 500 orang. Maklumat ini adalah berdasarkan kepada Laporan yang dikemukakan kepada Ahli Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak (FATWA) Negeri Selangor (http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/perkembangan-fahaman-syiah-di-selangor).

Pandangan di atas adalah berbeza dengan pandangan dari penganut Syiah itu sendiri. Menurut seorang responden yang hanya mahu dikenali dengan panggilan Aji sahaja berpendapat bahawa dalam Syiah sebenarnya tidak wujud mazhab (2010: Temu bual, 25 November). Menurut Kamil Zuhairi juga begitu (2010: Temu bual, 25 November), Syiah sebenarnya tidak wujud mazhab dalam ajarannya. Akan tetapi ada sebahagian golongan Syiah yang terkeluar atau berpecah dari kalangan Syiah yang disebut sebagai Ahlul Bait. Antara Syiah yang wujud adalah Syiah Ismaili dan lain-lain. Menurut Kamil Zuhari lagi dalam membuktikan hujahnya, Syiah ini ada bermacam jenis ragam dan pandangan. Apa yang jelas Syiah ini hanyalah satu mazhab sahaja, mereka itulah yang disebut sebagai Ahlul Bait. Syiah yang lain adalah sebenarnya menyeleweng dari ajaran Syiah sebenar. Ada sebahagiannya berpendapat bahawa Ali r.a adalah tuhan. Syiah ini memang jelas terkeluar langsung dari mazhab Ahlul Bait yang sebenar. Malah Ahlul Bait sendiri menganggap mereka yang mengatakan Ali r.a adalah tuhan, maka mereka adalah golongan kafir yang bukan dari kalangan Syiah.

Mereka yang menganggap Ali r.a sebagai imam atau khalifah pengganti Rasulullah s.a.w, adalah Ahlul Bait yang sebenar. Malah jika mereka berpegang dengan mazhab Syiah yang sebenar, Ali r.a itu juga tidak sampai apatah lagi menyamai dengan taraf Rasulullah s.a.w itu sendiri, maka Syiah yang sebenar adalah Syiah yang berpegang dengan pandangan ini. Syiah yang selain dari pandangan ini adalah Syiah yang menyeleweng dari mazhab Ahlul Bait sebenar. Malah mereka juga dianggap kafir oleh golongan yang bermazhab Syiah yang sebenar iaitu Ahlul Bait. Mereka yang mengatakan bahawa taraf Ali r.a lebih tinggi sedikit dari Rasulullah juga sebenarnya adalah sudah sesat dalam pemikiran dan pandangannya. Mereka ini semua digelar atau diistilahkan oleh Ahlul Bait sebagai Ghulat, iaitu bermaksud golongan pelampau dari kalangan Syiah sendiri, pandangan ini telah diberikan oleh Kamil Zuhairi selaku penganut fahaman Syiah Ahlul Bait (Kamil Zuhairi 2010: Temu bual, 25 November).

Sebagai contoh yang lain pula menurut Kamil Zuhairi (2010: Temu bual, 25 November), antara mazhab Syiah yang menyimpang adalah seperti Syiah Ismaili dan Syiah Bohra. Syiah Ismaili ini juga menyeleweng dari ajaran Syiah yang sebenar kerana bagi Syiah Ismaili, mazhabnya tidak cukup imamah atau kepimpinan dari 12 imam yang disebut oleh Nabi tersebut. Syiah yang sebanar adalah Syiah dari kalangan orang yang berpegang terhadap kepimpinan 12 imam (sila rujuk lampiran) yang telah ditetapkan tersebut iaitu dari kalangan keluarga Rasulullah s.a.w sendiri. Mereka yang tidak cukup imamah bukanlah dari kalangan Syiah Ahlul Bait dan mereka terkeluar dari mazhab Syiah yang sebenar. Kepimpinan atau imamah bagi 12 imam ini adalah datangnya dari hadith Nabi yang telah disebut dalam banyak kitab-kitab Syiah dan sebahagian dalam kitab Sunni. Maka mereka yang mengurangi imamah dari kalangan 12 imam ini, mereka adalah tidak mengikuti apa yang telah disebut oleh Nabi s.a.w iaitu bermaksud:

Dari Aun bin Abi Juhaifah dari ayahnya berkata; “Saat itu aku bersama bapa saudaraku di tempat Nabi s.a.w, lalu beliau bersabda; “senantiasa umatku dalam perkara kebaikan selama ada 12 orang khalifah”. Lalu beliau s.a.w menyampaikan kalimah yang samar dan aku berkata pada bapa saudaraku, “apa yang disabdakan wahai bapa saudaraku? Dia menjawab; “Wahai anakku Rasulullah bersabda; “Semuanya dari Quraisy”.( al-Naisaburi 1986: 618)

Kesemua imam dalam Syiah adalah dari kalangan Quraisy iaitu dari keturunan keluarga Nabi sendiri, dan imam selain dari saidina Ali r.a (Sepupu Nabi dan suami Fatimah) dari Hasan bin Ali r.a hingga yang terakhir mereka iaitu Imam Mahdi adalah dari keturunan Fatimah al-Zahra r.a (Kamil Zuhairi 2010: Temu bual, 25 November).

Perumpamaan yang diberi Kamil Zuhairi bagi Syiah ini dalam bahasa mudahnya adalah sebegini. Seorang guru atau syeikh, mempunyai ramai anak murid. Maka Syiah pada zaman Nabi dahulu juga begitu, mempunyai ramai anak murid atau pengikut. Maka dikalangan anak murid tersebut, ada sebahagian mereka yang menyimpang dan tersasar laluannya dalam menuruti Syiah yang sebenar. Tapi ada juga anak muridnya yang berpegang teguh terhadap apa yang diturunkan oleh gurunya. Maka mereka inilah yang berpegang dan menyimpan khazanah gurunya kepada susur galur yang beul untuk disampai kepada pengikut Syiah yang seterusnya.

Menurut Kamil Zuhairi (2010: Temu bual, 25 November), Syiah berpendapat, dalam al-Quran, golongan yang mengikut laluan susur galur yang sebenar tanpa menyimpang ini disebut sebagai Ahlul Bait. Mereka adalah Syiah yang berpegang dengan apa yang disampaikan dan tidak menyeleweng atau berhenti di mana-mana imam, atau mengakui Ali r.a sebagai tuhan dan sebagainya. Mereka inilah yang digelar sebagai Ahlul Bait yang sebenar. Bukan semua pengikut Syiah (termasuk yang menyimpang) adalah digelar sebagai Ahlul Bait kerana mereka ini telah menyeleweng dan terkeluar dari Syiah yang sebenar. Maka khazanah Rasulullah ini akan disimpan oleh satu golongan yang digelar sebagai Ahlul Bait. Ahlul Bait yang dimaksudkan dalam ini adalah bukan keluarga atau kaum kerabat Nabi sahaja, kerana jika mahu dikira kaum kerabat atau keluarga Nabi s.a.w, Abu Jahal dan Abu Lahab juga adalah keluarga dari keluarga Nabi s.a.w. Malah mereka ini juga bukan keluarga yang jauh dari Nabi s.a.w. Mereka adalah bapa saudara Nabi s.a.w sendiri. Ahlul Bait adalah satu istilah yang khusus atau Syiah sebut sebagai عترة. Dalam hadith Nabi juga ada menyebut:

حدثنا نصر بن عبد الرحمن الكوفي حدثنا زيد بن الحسن هو الأنماطي عن جعفر بن محمد عن أبيه عن جابر بن عبد الله قال : رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم في حجته يوم عرفة وهو على ناقته القصواء يخطب فسمعته يقول يا أيها الناس إني قد تركت فيكم ما إن أخذتم به لن تضلوا كتاب الله وعترتي أهل بيتي

“Aku tinggalkan dua perkara yang bernilai bagi kamu, iaitu Kitab Allah dan Ahlul Baitku”

Maka kedua perkara ini tidak boleh dipisahkan antara keduanya. Jika berpegang pada al-Quran sahaja maka akan hanyut dan rosak. Mereka yang akan menafsirkan al-Quran adalah mereka yang disebut sebagai Ahlul Bait. Ahlul Bait adalah golongan yang istimewa yang disucikan oleh Allah ke atas mereka. Ahlul Bait yang dimaksudkan Syiah ini juga sering disebut dalam khutbah jumaat iaitu:

إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيراً

Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu Dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu wahai "AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji)

3.3. Imam-Imam Dalam Mazhab Syiah Adalah Maksum

Dalam pegangan Syiah, Imam mereka yang 12 orang yang akan disebutkan penulis dibawah nanti adalah maksum. Kemaksuman para Imam ini adalah sama dengan kemaksuman Nabi s.a.w yang mana mereka terpelihara dari sebarang dosa kecil mahupun besar yang boleh mencacatkan kemaksuman mereka. Bagi golongan Syiah, mereka mempunyai 14 orang yang maksum iaitu 12 orang imam mereka, Fatimah al-Zahra dan Nabi s.a.w.

Pandangan mereka tentang Imam mereka yang 12 orang itu adalah maksum termasuk Rasulullah dan Fatimah al-Zahra dapat dibuktikan dalam kitab karangan Muhamad Jawad dan Muhammad Redha. Kemaksuman Imam mereka ini adalah dengan maksud suci dari sebarang dosa sama ada dosa kecil mahupun besar. Dakwaan tentang kemaksuman para imam ini tercatat dalam beberapa buah kitab Syiah lain antaranya adalah Awail al-Maqalat yang mana isinya dipetik oleh Muhammad al-Jawad dalam kitabnya Syiah fi al-Mizan (Muhammad Jawad 1979: 38):

العصمة قوة تمنع صاحبها من الوقوع في المعصية والخطأ، حيث لا يترك واجباً، ولا يفعل محرَّماً مع قدرته على الترك والفعل، وإلاّ لم يستحق مدحاً ولا ثواباً، وإن شئت قلت: إنّ المعصوم قد بلغ من التقوى حدّاً لا تتغلَّب عليه الشهوات والأهواء، وبلغ من العلم في الشريعة وأحكامها مرتبةً لا يخطأ معها أبداً...

Maksum adalah satu kekuatan yang menghalang tuannya dari melakukan maksiat dan kesalahan dimana ia tidak boleh meninggalkan yang wajib dan melakukan yang haram sekalipun mampu berbuat demikian. Jika tidak bersifat dengan yang demikian nescaya ia tidak berhak mendapat pujian dan balasan. Dengan kata lain, maksum itu ialah mencapai had ketaqwaan yang tidak boleh dicapai oleh syahwat dan nafsu dan telah mencapai ilmu syariat sehingga ke maratabat tidak melakukan kesalahn sama sekali. Syiah Imamiyah mensyaratkan dengan makna tersebut kepada imam-imam secara sempurna sebagaimana yang disyaratkan kepada wali. Berkata Syeikh Mufid dalam Awail Maqalat, bab perbincangan mengenai imam-imam itu maksum. Imam-imam memiliki sifat-sifat maksum sama dengan makam nabi dalam melaksanakan hukum-hukum dan menegakkan hudud dan memelihara syariat serta mendidik masyarakat. Mereka itu maksum sepertimana Nabi yang bersifat maksum yang tidak harus melakukan dosa besar dan kecil dan tidak harus bersifat lupa terhadap sesuatu berhubung agama bahkan tidak lupa sesuatu tentang hokum. Sifat ini wujud dalam mazhab Syiah Imamiah kecuali sedikit sahaja yang bersifat ganjil daripada mereka.

Dalam kitab Aqaid Imamiah karangan Syeikh Muhamad Redha al-Muzafar juga ada menyebut (al-Muzaffar 1961: 72):

ونعتقد أن الامام كالنبي يجب أن يكون معصوما من جميع الرذائل والفواحش ما ظهر منها وما بطن من سن الطفولة إلى الموت عمدا وسهوا،كما يجب أن يكون معصوما من السهو والخطأوالنسيان لأن الائمةحفظة الشرع،القوامون عليه، حالهم في ذلك حال النبي والدليل الذي اقتضانا أن نعتقد بعصمة الأنبياء هو نفسه يقتضينا أن نعتقد بعصمة الائمة بلا فرق

Kami mempercayai bahawa imam-imam itu seperti Nabi-nabi, ia wajib maksum dan terpelihara dari sifat-sifat yang keji dan buruk yang nyata dan tersembunyi, sejak kecil hinggalah mati, sengaja atau lupa sebagaimanam mereka terpelihara dari sifat lupa, tersalah dan lain-lain. Kerana imam-imam adalah pemelihara syariat dan orang yang menegakkan hokum Syariat. Keadaan mereka seperti Nabi. Bukti yang mendorong kami berpegang bahawa Imam itu maksum adalah dalil yang mengatakan Nabi itu maksum. Tiada perbezaan antaranya.

Senarai imam mereka sebenarnya boleh didapati di mana-mana buku atau laman web di internet. Akan tetapi sengaja penulis bawakan kerana kisah disebalik imam-imam ini mahu penulis cungkilkan menurut pandangan Syiah. Walaupun tidak seberapa banyak kisah yang dapat beliau ceritakan, akan tetapi sedikit sebanyak ada ilmu yang sebelum ini mungkin belum kita ketahui menurut pandangan kacamata Syiah. Walaupun hakikatnya imam-imam ini bukanlah dari kalangan Syiah sebenarnya, kerana imam-imam ini adalah antara imam-imam yang warak dan alim di sisi Ahli Sunnah. Akan tetapi golongan Syiah sahaja yang mengakui bahawa mereka ini imam mereka dan bermazhab mereka. Menurut Kamil Zuhairi (2010: Temu bual, 25 November) dan Wan Zailan (2011: Temu bual, 7 Januari), imam-imam mereka adalah:

1. Imam Saidina Ali r.a

Saidina Ali r.a adalah seorang sahabat Nabi s.a.w. Menurut pandangan Syiah (Ahlul Bait), Saidina Ali r.a adalah pengganti Rasulullah s.a.w sebagai khalifah pertama setelah kewafatan baginda berasaskan dari hadith tentang peristiwa Ghadeer Khum yang telah diterangkan di atas tadi. Akan tetapi kuasa Saidina Ali iaitu khazanah Ahlul Bait telah dirampas oleh Abu Bakar r.a yang menjadi khalifah pertama setelah kewafatan Nabi s.a.w. Ada sebahagian Syiah yang telah menyeleweng mendakwa bahawa Ali adalah Tuhan. Ini jelas telah berpegang dengan iktiqad atau akidah Yahudi dan Nasrani dan golongan Syiah Ahlul Bait juga mengkafirkan mereka. Ada sebahagian yang lain mendakwa Ali r.a adalah nabi. Tetapi ini juga ditentang oleh golongan Syiah sebenar.

2. Imam Hasan bin Ali r.a

Beliau adalah anak kepada saidina Ali r.a dan imam kedua mazhab Syiah. Beliau adalah sepatutnya menjadi pengganti kepada khalifah Ali r.a selepas kewafatan baginda, akan tetapi menurut Syiah, kuasanya dirampas oleh Muawiyah bin Abi Sufyan dengan direlakan oleh Hasan bin Ali r.a. Akan tetapi lepasan kuasa oleh Hasan ini adalah bersyarat iaitu dengan syarat setelah Muawiyah beliau perlu menyerahkan kembali kuasa khalifah tersebut kepada tangan adiknya iaitu Hussain bin Ali r.a. Akan tetapi Muawiyah melanggar syarat tersebut dengan menyerahkan kuasa kepada anaknya iaitu Yazid bin Muawiyah.

3. Imam Hussain bin Ali r.a

Beliau adalah anak kepada Ali r.a juga dan cucu kepada Rasulullah s.a.w. Beliau adalah imam yang ketiga dalam mazhab Syiah. Menurut Syiah kuasa khalifah adalah jatuh kepada beliau sekiranya Hasan r.a abangnya tiada. Akan tetapi Khalifah terus silih berganti dari kalangan keluarga Muawiyah. Menurut pandangan Syiah lagi, sebelum Muawiyah meninggal dunia, beliau telah berpesan kepada anaknya Yazid iaitu apabila beliau meninggal janganlah memaksa Hussain r.a mengangkat bai’ah kepada Yazid sekiranya Hussain tidak mahu. Akan tetapi Yazid juga tidak mengikuti perintah bapanya maka terjadilah peristiwa Karbala’, iaitu peristiwa dimana Yazid bin Muawiyah menghantar skuad pembunuh untuk membunuh Hussain yang mana ketika itu Hussain sedang melakukan haji. Saidina Hussain bersama dengan 72 orang pengikut beliau berhadapan dengan 30 ribu tentera Yazid di Karbala’. Kesemua pengikut Hussain wafat termasuk berliau sendiri yang kepalanya dipancung. Seramai 27 orang keturunan saidina Ali dalam perang tersebut wafat.

4. Imam Ali Zainal Abidin bin Hussain

Beliau adalah imam keempat dalam penganut Syiah. Beliau mengikuti perang menentang Yazid bin Muawiyah yang berpihak kepada Hussain. Ketika perang sudah tamat, beliau adalah salah seorang yang sedang nazak yang meminta air berkali-kali dari tentera Yazid. Akan tetapi yang datang kepada beliau bukanlah air, tetapi anak panah. Beliau digelar sayyid al-sajidin iaitu orang yang kuat bersujud.

5. Muhamad Baqir bin Ali

Beliau adalah bapa kepada Imam Jaafar al-Sadiq. Beliau menjadi saksi ke atas keseluruhan perang di Karbala yang berlaku antara tentera Yazid dan pengikut Hussain bin Ali. Beliau adalah berumur 4 tahun pada ketika itu yang menyaksikan kematian bapanya.

6. Imam Jaafar al-Sadiq bin Muhamad Baqir

Beliau antara Imam yang terkenal dikalangan Syiah dan umat Islam dengan kefaqihan beliau. Berkata Imam Malik:

“Tidak pernah telinga aku mendengar, mata aku melihat seorang yang lebih faqih dari Jaafar al-Sadiq” (Kamil Zuhairi 2010: Temu bual, 25 November)

7. Imam Musa al-Kazem bin Jaafar

Beliau adalah anak kepada Imam Jaafar al-Sadiq. Beliau dibunuh oleh Khalifah Harun al-Rasyid pada tahun 1019 hijrah di Baghdad setelah beberapa tahun dipenjara dari satu penjara ke penjara yang lain dipindahkan.

8. Imam Ali Ridha bin Musa

Hidup pada zaman ketika anak kepada Harun al-Rasyid menjadi Khalifah iaitu Khalifah al-Makmun zaman Abasiyyah. Beliau seorang yang sangat kuat pengaruhnya. Disebabkan takut tergugat oleh pengaruh Ali Ridha, maka khalifah terpaksa berlakon untuk melantik Ali menjadi Khalifah. Beliau dari Madinah dibawa ke Khurasan iaitu ibu negeri yang dipindahkan dari Baghdad ke Khurasan. Pada ketika itu beliau ditipu kononnya hendak dijadikan Khalifah dan beliau telah dilantik menjadi putera mahkota. Akan tetapi disebabkan pengaruh beliau masih tidak berkurang dan disebabkan takut maka beliau akhirnya dibunuh.

9. Imam Muhammad al-Jawad

Beliau dijadikan imam ketika masih kecil lagi iaitu pada umur 8 tahun. Beliau sangat ditakuti kerana kehebatannya walaupun ketika masih kecil. Pernah Khalifah al-Makmun memanggil segala alim ulama, pendeta, rahib dan sebagainya yang paling pandai dan bijaksana menentang hujah beliau, tetapi kesemuanya kalah. Disebabkan kepandaian beliau ini maka beliau dibunuh juga oleh al-Makmun.

10. Imam Ali al-Hadi bin Muhammad al-Jawad

Beliau juga diangkat menjadi imam berumur sekitar 7-8 tahun. Beliau anak kepada imam Muhammad al-Jawad. Tetapi kerana kuat juga pengaruhnya, maka beliau juga dibunuh.

11. Imam Hasan al-Askari bin Ali al-Hadi

Beliau seorang yang juga sangat berpengaruh. Beliau terpaksa dikawal keluar masuknya dan siapa yang menemuinya. Beliau diletakkan dikawasan tentera yang dikawal dengan sangat rapi.

12. Imam al-Mahdi al-Muntazar

Akan diterangkan tentang sedikit sebanyak perkara berkenaan dengan imam Mahdi dalam tajuk konsep Raj’ah, iaitu kebangkitan sesudah mati. Kerana perkara berkaitan dengan Imam Mahdi adalah sangat berkait rapat dengan konsep tersebut. Menurut Wan Zailan, Imam Mahdi adalah orang yang dinamakan oleh Rasulullah sebagai Muhammad sebagaimana nama Rasulullah sendiri. Beliau dinamakan sebagai Muhammad bin Hasan al-Askari iaitu anak kepada Imam Hasan al-Askari (Wan Zailan 2011: Temu bual, 7 Januari).

Kesemua imam yang dua belas ini (sila rujuk lampiran) adalah imam yang dipegang oleh golongan Syiah sebagai imam yang memimpin umat setelah kewafatan beliau. Imam-imam ini adalah imam-imam yang disebut dalam hadith menurut kepercayaan mereka sebagai imam yang memang sudah ditentukan oleh Allah sebagai pemimpin dan ianya telah dinaqalkan melalui hadith Rasulullah s.a.w. kesemua imam ini adalah dianggap maksum oleh peganut fahaman Syiah ini tanpa ada khilaf. Akan tetapi bukanlah semua imam ini sahaja yang maksum malah ada juga sebilangan manusia yang lain maksum seperti Fatimah al-Zahra iaitu puteri Rasulullah sendiri. Kedudukan maksum puteri Rasulullah ini adalah lebih tinggi kemaksumannya dari para 12 imam ini.

Menurut Abu Dzar bin Latip (2010: Temu bual, 26 Disember), para maksum yang dimaksudkan adalah Rasulullah s.a.w, Fatimah al-Zahra dan dua belas imam yang disebutkan di atas. Apa yang dimaksudkan dengan maksum adalah suci dari sebarang dosa. Ayat yang menyebut tentang kemaksuman mereka adalah dari surah al-Ahzab ayat 33 berbunyi:

إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيراً

Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu wahai "Ahlul Bait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).

Suci yang dimaksudkan dengan ayat ini adalah suci dengan sesuci-sucinya dari sebarang apa jua dosa. Siapa yang dimaksudkan dengan Ahlul Bait pula adalah Rasulullah dan ahli keluarga beliau.

3.4. Konsep Raj’ah

Dalam mazhab Syiah juga ada disebut satu konsep yang dinamakan dengan konsep Raj’ah. Konsep ini adalah kepercayaan bahawa kembalinya Imam Mahdi ke dunia setelah dimatikan dan akan dibangkitkan oleh Allah ketika kiamat hampir dekat. konsep ini dibuktikan wujud dalam fahaman Syiah berdasarkan dari kitab karangan penganut Syiah sendiri iaitu Muhammad Redha bertajuk Aqaid Imamiah.

Dalam konsep Raj’ah, Syiah mempercayai bahawa setiap manusia yang telah diberi autoriti oleh Allah untuk kembali semula seperti imam Mahdi beserta mereka yang lain akan dibangkitkan semula ketika kiamat hampir menjelang. Ini telah dijelaskan dalam kitab Aqaid Imamiah karangan Muhamad Redha. (al-Muzaffar 1961: Hlm. 83):

إن الذي تذهب إليه الإمامية أخذا بما جاء عن البيت عليهم السلام أن الله تعالى يعيد قوما من الأموات إلى الدنيا في صورهم التي كانوا عليها، فيعز فريقا ويذل فريقا آخر، ويديل المحقين من المبطلين والمظلومين منهم من الظالمين، وذلك عند قيام مهدى آل محمد عليه وعليهم أفضل الصلاة والسلام. ولا يرجع إلا من علت درجته في الإيمان أو من بلغ الغاية من الفساد، ثم يصيرون بعد ذلك إلى الموت، ومن بعده إلى النشور وما يستحقونه من الثواب أو العقاب، كما الله تعالى في القرآن الكريم تمنى هؤلاء المرتجعين الذي لم يصلحوا بالارتجاع فنالوا مقت الله أن يخرجوا ثالثا لعلهم يصلحون: (قالوا ربنا أمتنا اثنتين وأحييتنا اثنتين فاعترفنا بذنوبنا فهل إلى خروج من سبيل) (المؤمن: 11)

Sesungguhnya pendapat Syiah tentang Raj’ah itu ialah kerana mengambil dari Ahli Bait di mana Allah akan mengembalikan sesuatu kaum yang telah mati ke dunia ini dalam bentuk yang asal lalu sebahagian dari golongan yang memuliakan suatu puak yang lain dan menghina satu puak yang lain dan ia menunjukkan golongan yang melakukan kezaliman. Peristiwa ini berlaku ketika bangunnya Mahdi keluarga Nabi Muhammad dan tidak kembali ke dunia kecuali orang yang tinggi darjat imannya atau orang yang paling jahat. Kemudian mereka akan mati semula. Begitulah dengan orang yang selepasnya sehinggalah dibangkitkan semula dan mereka akan menerima pahala atau siksaan sebagaimana yang disebut oleh Allah dalam firmannya, di mana orang yang akan dikembalikan di dunia ini bercita-cita untuk kembali ke dunia, sedangkan mereka tidak boleh kembali lagi. Mereka akan mendapat kemurkaan Allah bahawa mereka akan kembali kedunia ini kali ketiga dengan harapan mereka dapat berbuat kebaikan. Firman Allah: “Mereka menjawab: "Wahai Tuhan kami! Engkau telah menjadikan Kami berkeadaan mati dua kali, dan telah menjadikan Kami bersifat hidup dua kali, maka Kami (sekarang) mengakui akan dosa-dosa kami. oleh itu Adakah sebarang jalan untuk (Kami) keluar (dari neraka)?"

Selain itu pegangan ini dibuktikan dari kenyataan penganut Syiah sendiri iaitu Kamil Zuhairi. Dalam temu bual bersamanya (2010: Temu bual, 25 Disember) beliau berpendapat, Imam Mahdi adalah imam yang ditunggu-tunggu oleh kaum muslimin seluruhnya akan kebangkitannya ketika mana hari hampir kiamat. Syiah menganggap bahawa Imam Mahdi ini telah lama lahir iaitu pada tahun 256 hijrah. Akan tetapi manusia tidak mengenalinya dan tidak mengetahui bahawa beliaulah yang akan bangkit ketika hampir kiamat kelak. Beliau dianggap sebagai anak kepada Imam Hasan al-Askari. Beberapa ulama Sunni mempunyai pandangan yang sama dengan Syiah bahawa Imam Mahdi adalah anak kepada Hasan al-Askari. Malah menurut Kamil Zuhairi lagi, Syiah berpegang bahawa imam Mahdi ini adalah masih hidup, cuma tidak dizahirkan lagi sehingga hampir tiba kiamat nanti. Akan tetapi hidupnya Imam Mahdi ini tidak diketahui dimana dan tidak dikenali. Antara mereka lain yang akan muncul bersama imam Mahdi pada ketika kiamat sudah hampir adalah antaranya Nabi Khidir yang dikatakan masih hidup lagi sehingga ke hari ini, sebahagiannya mengatakan Nabi Ilyas, Nabi Isa yang mana Islamnya dunia Eropah adalah di tangan Nabi Isa a.s, dan lain-lain.

Menurut Abu Dzar bin Latip (2010: Temu bual, 26 Disember) pula, konsep Raj’ah adalah konsep pengembalian semula. Apabila disebut Raj’ah, maka ianya bermaksud mengembalikan mereka yang telah mati semula. Menurutnya lagi, Allah membawa banyak cerita berkenaan dengan konsep Raj’ah ini antaranya yang paling terkenal adalah cerita Ashab al-Kahfi dan Nabi Uzair. Allah berfirman dalam surah al-Kahfi:

أَمْ حَسِبْتَ أَنَّ أَصْحَابَ الْكَهْفِ وَالرَّقِيمِ كَانُوا مِنْ آيَاتِنَا عَجَبًا إِذْ أَوَى الْفِتْيَةُ إِلَى الْكَهْفِ فَقَالُوا رَبَّنَا آتِنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا فَضَرَبْنَا عَلَى آذَانِهِمْ فِي الْكَهْفِ سِنِينَ عَدَدًا ثُمَّ بَعَثْنَاهُمْ لِنَعْلَمَ أَيُّ الْحِزْبَيْنِ أَحْصَى لِمَا لَبِثُوا أَمَدًا نحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُمْ بِالْحَقِّ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى وَرَبَطْنَا عَلَى قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ لَنْ نَدْعُوَ مِنْ دُونِهِ إِلَهًا لَقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا هَؤُلاءِ قَوْمُنَا اتَّخَذُوا مِنْ دُونِهِ آلِهَةً لَوْلا يَأْتُونَ عَلَيْهِمْ بِسُلْطَانٍ بَيِّنٍ فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَى عَلَى اللَّهِ كَذِبًا وَإِذِ اعْتَزَلْتُمُوهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ إِلا اللَّهَ فَأْوُوا إِلَى الْكَهْفِ يَنْشُرْ لَكُمْ رَبُّكُمْ مِنْ رَحْمَتِهِ وَيُهَيِّئْ لَكُمْ مِنْ أَمْرِكُمْ مِرفَقًا وَتَرَى الشَّمْسَ إِذَا طَلَعَتْ تَزَاوَرُ عَنْ كَهْفِهِمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَإِذَا غَرَبَتْ تَقْرِضُهُمْ ذَاتَ الشِّمَالِ وَهُمْ فِي فَجْوَةٍ مِنْهُ ذَلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ مَنْ يَهْدِ اللَّهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَنْ تَجِدَ لَهُ وَلِيًّا مُرْشِدًا وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِ وَكَلْبُهُمْ بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا وَكَذَلِكَ بَعَثْنَاهُمْ لِيَتَسَاءَلُوا بَيْنَهُمْ قَالَ قَائِلٌ مِنْهُمْ كَمْ لَبِثْتُمْ قَالُوا لَبِثْنَا يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍ قَالُوا رَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثْتُمْ فَابْعَثُوا أَحَدَكُمْ بِوَرِقِكُمْ هَذِهِ إِلَى الْمَدِينَةِ فَلْيَنْظُرْ أَيُّهَا أَزْكَى طَعَامًا فَلْيَأْتِكُمْ بِرِزْقٍ مِنْهُ وَلْيَتَلَطَّفْ وَلا يُشْعِرَنَّ بِكُمْ أَحَدًا إِنَّهُمْ إِنْ يَظْهَرُوا عَلَيْكُمْ يَرْجُمُوكُمْ أَوْ يُعِيدُوكُمْ فِي مِلَّتِهِمْ وَلَنْ تُفْلِحُوا إِذًا أَبَدًا وَكَذَلِكَ أَعْثَرْنَا عَلَيْهِمْ لِيَعْلَمُوا أَنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ وَأَنَّ السَّاعَةَ لا رَيْبَ فِيهَا إِذْ يَتَنَازَعُونَ بَيْنَهُمْ أَمْرَهُمْ فَقَالُوا ابْنُوا عَلَيْهِمْ بُنْيَانًا رَبُّهُمْ أَعْلَمُ بِهِمْ قَالَ الَّذِينَ غَلَبُوا عَلَى أَمْرِهِمْ لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيْهِمْ مَسْجِدًا

Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah "Ashabul Kahfi" dan "ar-Raqiim" itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami? (Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami". Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya. Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu). Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar, sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi, kami tidak sekali-kali akan menyembah tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran." (mereka berkata pula sesama sendiri): "Kaum kita itu, menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah, sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah itu? (tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian); maka tidak ada yang lebih zalim dari orang-orang yang berdusta terhadap Allah. Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmatnya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna". Dan engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh allah, maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan, dan sesiapa yang disesatkannya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya. Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka. Dan demikianlah pula kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: "Berapa lama kamu tidur?" (sebahagian dari) mereka menjawab: "Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari". (sebahagian lagi dari) mereka berkata: "Tuhan kamu lebih menengetahui tentang lamanya kamu tidur; sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar); dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu. "Sesungguhnya, kalaulah mereka mengetahui hal kamu, tentulah mereka akan merejam dengan membunuh kamu, atau mereka akan mengembalikan kamu kepada agama mereka (secara paksa); dan jika berlaku demikian, kamu tidak sekali-kali akan berjaya selama-lamanya". Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya orang-orang itu mengetahui bahawa janji allah menghidupkan semula orang mati adalah benar, dan bahawa hari kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya; pendedahan itu berlaku semasa orang-orang itu berbantahan sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati. Setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata: "Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka". Orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: "Sebenarnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka".

Allah berfirman dalam Surah al-Taubah ayat 30:

وَقَالَتِ الْيَهُودُ عُزَيْرٌ ابْنُ اللَّهِ وَقَالَتِ النَّصَارَى الْمَسِيحُ ابْنُ اللَّهِ ذَلِكَ قَوْلُهُمْ بِأَفْوَاهِهِمْ يُضَاهِئُونَ قَوْلَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ قَبْلُ قَاتَلَهُمُ اللَّهُ أَنَّى يُؤْفَكُونَ

Dan orang-orang Yahudi berkata: "Uzair ialah anak Allah" dan orang-orang Nasrani berkata: "Al-Masih ialah anak Allah". Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (Iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu, semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?

Dari kedua contoh ayat yang disebutkan, menurut Abu Dzar bin Latip (2010: Temu bual, 26 Disember), Allah s.w.t mahu menerangkan tentang sebenar-benar konsep Raj’ah. Ini juga adalah salah satu corak Raj’ah yang mana Allah mengizinkan dikalangan hambanya yang mulia yang hatinya sentiasa terpaut kepada Allah s.w.t untuk kembali ke dunia untuk bersama dengan Imam Mahdi. Salah satu sebab mereka semua dikembalikan oleh Allah adalah kerana untuk mengenali Allah s.w.t dan hendak melihat dunia itu aman. Bila imam Mahdi dizahirkan, maka imam Mahdi memerlukan pengikut-pengikut yang mana mereka kesemuanya bersama imam Mahdi untuk menegakkan keadilan yang mana ianya sangat-sangat dikehendaki oleh semua makhluk di muka bumi ini. Maka keamanan ini akan dikembalikan sendiri oleh imam Mahdi dan pengikut-pengikut yang bersama-sama dengan beliau.

Menurut Wan Zailan (2011: Temu bual, 7 Januari) pula, Imam Mahdi yang dipercayai oleh penganut Syiah akan dibangkitkan bersama dengan orang yang terpilih dan yang terbaik sahaja dari kalangan mereka. Ini berdasarkan apa yang terdapat dalam kitab-kitab Syiah yang telah ditulis oleh penganut Syiah sendiri. Mengikut daripada ideologi Syiah memang benar bahawa akan ada manusia yang dibangkitkan bersama Imam Mahdi menjelang hari Kiamat nanti untuk menyelamatkan umat Islam. Mereka adalah orang yang benar-benar mengenali siapa Imam Mahdi dan mempunyai hubungan yang sangat rapat dari sudut rohani dan jasmani dan orang yang tidak mengenali beliau adalah mustahil untuk dibangkitkan bersama dengan beliau.

3.5. Masalah Sifat Allah

Mengenai Sifat Allah pula, ada antara pegangan Syiah ini yang menyeleweng dari ajaran Islam sebenar. Ianya jelas terbukti dalam kitab karangan al-Kulaini. Beliau berhujah dengan mengatakan bahawa Ilmu Allah berubah-ubah mengikut sesuatu peristiwa yang berlaku kepada manusia. Dari segi bahasa Al-Bada' bermaksud lahir sesudah tersembunyi. Menurut akidah Syiah, al-Bada' ialah peristiwa berkenaan yang sebelum ini dianggap tersembunyi daripada-Nya. Perkara ini jelas menganggap Allah itu jahil atau tidak mempunyai ilmu yang meliputi. Ini jelas seperti yang disebutkan oleh Al-Tabatabai dalam kitab al-Usul Min al-Kafi oleh Al-Kulaini (al-Kulaini 1992: 146).

فالبداء ظهور ما كان خفيا من الفعل لظهور ما كان خفيا من العلم بالمصلحة ثم توسع في الاستعمال فأطلقنا البداء على ظهور كل فعل كان الظاهر خلافه"

Al-Bada adalah zahir perbuatan yang tersembunyi disebabkan ternyata tersembunyi ilmu kerana adanya maslahah. Kemudian diluaskan penggunaannya, maka kami maksudkan dengan al-Bada itu ialah lahirnya setiap perbuatan yang sebelumnya itu adalah tersembunyi daripada Allah s.w.t.

Mengikut akidah Syiah, Ilmu itu akan berubah dan bersesuaian dengan fenomena baru. Tuhan akan berubah kehendak-Nya terhadap sesuatu perkara sesuai dengan keadaan yang berlaku. Hal ini dijelaskan dalam Kitab al-Usul Min al-Kafi (al-Kulaini 1992: 146):

محمد بن يحيى، عن أحمد بن محمد بن عيسى، عن الحجال، عن أبي اسحاق ثعلبة، عن زرارة بن أعين، عن أحدهما عليهما السلام قال: ما عبد الله بشيء مثل البداء. وفي رواية ابن أبي عمير، عن هشام بن سالم، عن أبي عبدالله عليه السلام ما عظم الله بمثل البداء.علي بن إبراهيم، عن أبيه، عن أبي عمير، عن هشام بن سالم وحفص بن البختري وغيرهما، عن أبي عبدالله عليه السلام قال في هذه الآية: يمحو الله ما يشاء ويثبت.

Muhammad bin Yahya dari Ahmad bin Muhamad bin Isa, dari al-Hajjal dari Abu Ishak Tha’labah dari Zararah bin A’yun, dari salah seorang antara keduanya, katanya: Tidak ada ibadat yang paling utama seperti al-Bada. Dalam riwayat Ibn Abu Umair dari Hisyam bin Salim dari Abdullah, “tidak ada perkara yang paling agung disisi Allah seperti al-Bada”. Ali Ibrahim dari bapanya dari Ibnu Umar dari Hisyam bin Salim dan Hafs bin al-Bukhturi dan selain dari keduanya, dari Abdullah katanya mengenai ayat ini maksudnya “Allah menghapuskan apa yang ia kehendaki dan menetapkan apa yang ia kehendaki”.

Dalam Syiah pandangan mereka mengenai Sifat Allah juga menghampiri dengan pandangan Muktazilah. Mereka menafikan sifat yang ada pada Allah sebagai satu tambahan atau dalam bahasa mudahnya disebut sebagai bukan Zat atau tambahan pada Zat Allah. Mereka mengatakan bahawa Sifat Zatiyyah yang wujud pada Allah adalah Zat Allah sendiri dan bukan sifat. Sekiranya sifat itu adalah penambahan pada Zat Allah maka terjadilah berbilangnya Qadim kerana sifat Allah ada banyak. Setiap Sifat adalah Qadim, maka satu sifat adalah satu Qadim. Ini menyebabkan wujudnya berbilang Qadim dan ini adalah mustahil wujud pada Alam ini.

Ini dibuktikan oleh Kamil Zuhairi dalam kenyataannya ketika diTemu bual penulis. Beliau mengatakan bahawa, Syiah berpendapat bahawa Tuhan mempunyai sifat Zat dan sifat perbuatan (fi’liyyah). Syiah mengatakan bahawa, dalam masalah sifat Allah, bagi Allah tiada sifat yang berbeza dari ZatNya. Sekiranya dikatakan bahawa sifat itu berbeza dengan Zat maka ianya sudah jadi berbilang Qadim. Apakah ilmu Allah berbeza dengan Zat Allah? Menurut mereka tidak kerana ilmu Allah ada pada diri Allah itu, bukan diluar dari diri Allah itu sendiri. Maka ilmu Allah adalah Zat Allah, bukannya ilmu Allah itu adalah lain dari Allah. Beliau memberi contoh, jika Allah mempunyai Zat yang lain dari sifat, bermakna Allah menyerupai manusia kerana seperti contoh manusia, bagi diri manusia, zat diri dengan sifat ilmu adalah lain. Manusia adalah dari jahil kemudian menjadi alim dengan pergi belajar di sekolah dan institusi yang lain. Manusia juga dari lemah kemudian berubah menjadi kuat, itu adalah satu sifat yang mendatang. Ianya ada perbezaan antara zat diri manusia dengan sifat yang ia miliki secara mendatang, dan sifat itu adalah sesuatu yang menjadi tambahan kepada zat. Bagi Allah tidak, menurut Syiah, صفاته عبن ذاته وذاته عين صفاته maka ianya bukanlah satu yang lain atau tambahan pada zat. Allah berkuasa dengan kuasanya dan kuasanya itulah zatnya, bukan kuasa itu selain dari Zat. الله عالم بعلمه هو هو اي بذاته. Jika sifat Allah itu adalah berbeza maka ianya menyebabkan terhasil تعدد القدماء iaitu berbilang-bilangnya Qadim dan itu mustahil bagi Allah kerana menjadikan Allah itu lemah (Kamil Zuhairi 2010: Temu bual, 25 Disember; Abu Dzar 2010: Temu bual, 26 Disember).

Dalam sifat perbuatan (sifat fi’liyyah) pula menurutnya lagi, Syiah tidak bercanggah dengan Asya’irah yang mengatakan bahawa ianya adalah sifat yang mendatang iaitu satu sifat yang bukan sifat yang azali yang ada pada Zat Allah. Sebagai contoh sifat Takwin. Sifat Takwin atau menjadikan ini adalah sifat yang hanya wujud pada Allah apabila datang IradahNya ketika mahu mencipta sesuatu benda. Sifat Takwin ini wujud hanya apabila wujudnya Qudrah dan Iradah Allah pada hendak mencipta sesuatu benda (Kamil Zuhairi 2010: Temu bual, 25 Disember).

3.6. Rukun Iman Dalam Mazhab Syiah

Dalam mazhab Ahli Sunah, rukun iman kita terbahagi kepada enam perkara iaitu, keyakinan dan kepercayaan kepada Allah, Malaikat-Malaikat, Kitab-Kitab yang diturunkan Allah, Rasul-Rasul yang diutuskan oleh Allah, Hari Akhirat dan Qadha serta Qadar. Ini berdasarkan dari hadith Rasulullah s.a.w yang berbunyi:

قال عمر بن الخطاب : كنا عند رسول الله صلى الله عليه وسلم فجاء رجل شديد بياض الثياب شديد سواد الشعر لا يرى عليه أثر السفر ولا يعرفه منا أحد حتى أتى النبي صلى الله عليه وسلم فألزق ركبته بركبته ثم قال : يا محمد ما الإيمان ؟ قال أن تؤمن بالله وملائكته وكتبه ورسله واليوم الآخر والقدر خيره وشره

Akan tetapi dalam mazhab Syiah, rukun iman kepada mereka adalah berbeza dari Ahli Sunah. Menurut Abu Dzar (2010: Temu bual, 26 Disember), Kamil Zuhairi (2010: Temu bual, 25 Disember) dan Wan Zailan (2011: Temu bual, 7 Januari), rukun Iman dalam mazhab Syiah ada lima perkara iaitu:

1) Tauhid. Iaitu keesaan kepada Allah.

2) Keadilan Allah s.w.t.

3) Kenabian Nabi-Nabi yang diutuskan Allah

4) Imamah atau kemimpinan. Iaitu imam yang ditentukan Allah iaitu imam yang 12.

5) Hari Kebangkitan. Iaitu dipanggil juga sebagai ma’ad, Hari Pengembalian.

3.7. Syahadah dalam Mazhab Syiah

Dalam mazhab Syiah, Kalimah Syahadah mereka juga adalah berlainan dengan mazhab Ahli Sunah. Syahadah mereka wujud penambahan di akhirnya. Bagi Ahli Sunah, Syahadah adalah:
أشهد ان لا إله الاالله وأشهد أن محمداً رسول الله

Ini berdasarkan dari hadis Nabi s.a.w yang berbunyi:

عن ابن عمر رضي الله عنه قال سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول بني الإسلام على خمس شهادة أن لا إله إلا الله وأن محمدا رسول الله وإقام الصلاة وإيتاء الزكاة وحج البيت وصوم رمضان

Bagi mazhab Syiah, mereka mempunyai syahadah yang sama dengan Ahli Sunah, akan tetapi perbezaannya adalah wujud penambahan di akhir kalimah Syahadah tersebut iaitu:

أشهد ان لا إله الاالله وأشهد أن محمداً رسول الله وأشهد أن عليا ولي الله

Kalimah Syadah ini dibacakan oleh Kamil Zuhairi ketika penulis menemubual beliau. Menurutnya lagi, kalimah Syahadah ini adalah untuk membuktikan bahawa Islam sangat mementingkan masalah kepimpinan atau Imamah, dan Ali r.a adalah bukti kepimpinan mereka, begitu juga dengan Imam-Imam mereka yang lain. Tanpa Imamah, Islam akan hancur dan rosak (Kamil Zuhairi 2010: Temu bual, 25 Disember). Menurut Abu Dzar (2010: Temu bual, 26 Disember), dan Wan Zailan (2011: Temu bual, 7 Januari) juga begitu, ada terdapat penambahan dalam Syahadah menurut fahaman Syiah seperti yang terdapat dalam kitab mereka.
Penambahan dalam Syahadah ini juga sangat jelas disebut oleh pemimpin-pemimpin Syiah dalam penulisan mereka. Antara kitab yang terkenal yang menyebut bahawa ada penambahan pada Syahadah adalah kitab Usul min al-Kafi (al-Kulaini 1992: 441). Al-Kulaini menyatakan dalam kitab tersebut:

سهل بن زياد: عن محمد بن الوليد قال : سمعت يونس بن يعقوب، عن سنان بن طريف، عن أبي عبدالله عليه السلام يقول : قال : إنا أول أهل بيت نوه الله بأسمائنا إنه لما خلق السماوات والأرض أمر مناديا فنادى أشهد أن لا إله إلا الله. - ثلاثا- أشهد أن محمد رسول الله- ثلاثا- أشهد أن عليا أمير المؤمنين حقا- ثلاثا-

Sahal bin Ziyad, dari muhamad bin walid, aku mendengar dari Yunus bin Yakub, dari sinan bin tariff dari Abu Abdullah a.s berkata. Sesungguhnya kami ialah Ahli Bait yang pertama yang disebutkan oleh Allah nama-nama kami. Sesungguhnya Allah mencipta langit dan bumi seraya menyeru malaikat dengan kalimah ”Aku naik saksi tiada tuhan melainkan Allah” sebanyak tiga kali, kemudian “Aku naik saksi bahawa Muhamad pesuruh Allah” sebanyak tiga kali, dan “Aku naik saksi bahawa Ali adalah Amir Mukminin” sebanyak tiga kali.

Penambahan dalam syahadah ini juga disebut oleh Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dalam ahkbar Harian Metro bertajuk Tatu Kalimah Allah. Antara kesalahan yang dilakukan oleh Syiah adalah membuat penambahan dalam kalimah Syahadah (Harian Metro. 2010. 17 Disember).

3.8. Pegangan Syiah terhadap hadith yang diriwayatkan oleh Ahli Sunah

Hadith yang diriwayatkan oleh ulama Ahli Sunah adalah dianggap tidak berautoriti kepada penganut fahaman Syiah. Bagi mereka hadith yang diriwayatkan oleh ulama Ahli Sunah adalah kurang berautoriti berbanding ulama mereka sendiri. Dalam permasalahan setiap perkara, Syiah akan merujuk kepada hadith yang diriwayatkan oleh ulama mereka sendiri dahulu berbanding dengan hadith yang diriwayatkan dari ulama Ahli Sunah yang lain. Walaupun pada anggapan golongan Ahli Sunah, hadith satu-satu hadith itu mempunyai darjat mutawatir sekalipun, jika tiada ulama Syiah yang merekodkan hadith tersebut maka ianya dianggap tertolak. Ini dibuktikan oleh Wan Zailan ketika ditemu bual.

Menurut Wan Zailan (2011: Temu bual, 7 Januari), memang benar golongan Syiah menolak hadith yang diriwayatkan dari ulama Ahli Sunah. Tetapi perlu kita fahami bahawa, autoriti terhadap sesuatu perkara adalah perlu dalam mewujudkan keyakinan terhadap kepercayaan seseorang. Sebagai contohnya, seseorang meriwayatkan satu-satu hadith dan kita mengenali beliau sebagai seorang seorang yang tidak thiqah. Maka hadith tersebut adalah dianggap sebagai dhaif kerana sikapnya yang telah lama kita kenali. Akan tetapi bagi orang yang kurang mengenali beliau, beliau mungkin dianggap thiqah dan hadith tersebut dihukumkan sebagai hasan oleh orang yang kurang mengenali tersebut. Begitu juga sebagai contohnya, kita mahu berdakwah kepada orang Kristian, akan tetapi kita menggunakan ayat al-Quran dalam mengajaknya memeluk Islam, sudah tentu bagi penganut Kristian tersebut akan menganggap al-Quran sebagai tidak berautoriti langsung berbanding Bible yang diimani beliau. Begitu juga dengan penganut fahaman Syiah. Mereka meyakini tentang kesahihan satu-satu hadith hanya berdasarkan kepada ulama mereka. Malah begitu juga dengan penganut fahaman Sunni yang hanya berpegang kepada autoriti hadith yang diriwayatkan oleh ulama yang dipercayai Ahli Sunah sebagai thiqah. Setiap kelompok mempunyai autoriti masing-masing dan kita tidak boleh memecahkan tradisi autoriti kelompok yang lain sebagaimana mereka tidak boleh berbuat demikian pada kita. Maka dalam permasalahan ini golongan Syiah tidak harus dipersalahkan dalam masalah keyakinan mereka terhadap autoriti hadith sekalipun hadith tersebut bertaraf mutawatir.

Pegangan Syiah yang menolak hadith yang diriwayatkan oleh ulama Sunni ini juga disebut oleh Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Pengarah JAIS ketika diwawancara wartawan akhbar Harian Metro. Beliau menyatakan bahawa antara kesalahan golongan yang berfahaman Syiah ini adalah menafikan kesahihan dan menolak hadith yang diriwayatkan oleh ulama Ahli Sunah sekalipun hadith tersebut bertaraf mutawatir (Harian Metro. 2011. 17 Januari).

BAB 4. AJARAN-AJARAN DALAM FAHAMAN SYIAH DARI SUDUT IBADAH DAN SYARIAT

Dalam perbahasan mengenai ibadah dan syariat dalam mazhab Syiah, ianya merangkumi beberapa perkara antaranya seperti rukun Islam, solat, puasa, nikah dan lain-lain. Ibadah dan syariat dalam mazhab Syiah ini juga adalah berdasarkan dari hadith Rasul s.a.w dan sebahagian pandangan dari ulama Syiah itu sendiri. Jadi, bagi mereka tidak timbul isu bahawa satu-satu ibadah yang disyariatkan adalah rekaan semata-mata. Kesemuanya juga di ambil berdasarkan hadith dan athar yang diriwayatkan dari kalangan ulama mereka dan sebahagiannya diriwayatkan juga dari ulama di kalangan mazhab selain dari mereka.

Persoalan mengenai ibadah menurut Syiah ini dapat dijelaskan dalam dua bentuk. Dalam mazhab Syiah mereka menyebut fiqh sebagai akidah Furu’ al-Din. Bentuk-bentuk fiqh (akidah Furu’ al-Din) ini adalah pertamanya permasalahan fiqh terhadap diri sendiri, dan keduanya adalah permasalahan fiqh yang berkaitan dengan orang lain. Permasalahan fiqh terhadap diri sendiri adalah seperti solat, puasa, sedekah, zakat, haji, dan lain-lain. Permasalahan fiqh berkaitan dengan orang lain pula adalah seperti Nikah, Talak, Jual Beli, Muamalat dan lain-lain. Perkara ini disebut oleh Abu Dzar ketika ditemu bual. Katanya:

Furu’ al-Din atau fiqh ini kita dapat bahagikan kepada dua perkara. Pertamanya bersifat persendirian dan keduanya adalah berkaitan dengan orang lain. Fiqh yang bersifat persendirian ini adalah seperti solat, puasa, zakat, haji, tawalla dan tabarra. Fiqh yang berkaitan dengan orang lain pula adalah seperti nikah, talak, muamalat, jual beli, amar makruf nahi mungkar dan jihad di jalan Allah.

4.1. Rukun Islam menurut Syiah

Rukun Islam dam mazhab Ahli Sunah mempunyai lima perkara. Ini berdasarkan dari hadith Rasul s.a.w yang berbunyi:

عن ابن عمر رضي الله عنه قال سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول بني الإسلام على خمس شهادة أن لا إله إلا الله وأن محمدا رسول الله وإقام الصلاة وإيتاء الزكاة وحج البيت وصوم رمضان

Terbinanya Islam di atas lima perkara iaitu bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhamad adalah pesuruh Allah, mendirikan solat, puasa di bulan Ramadhan, membayar Zakat dan haji di Mekah.

Akan tetapi bagi Syiah, mereka ada berbeza pandangan mengenai rukun Islam dalam mazhab mereka. Menurut Kamil Zuhairi:

Rukun Islam di dalam Islam menurut Ahlul Bait adalah pertamanya solat, keduanya puasa, ketiganya amar makruf nahi mungkar, keempatnya berzakat, kelimanya khumus iaitu seperlima dari pendapatan yang diperolehi untuk Allah dan Rasul serta kaum kerabat Nabi, keenam tawalla dan ketujuh tabarra. Tawalla dan tabarra adalah bermaksud menyokong orang yang dizalimi, dan menentang orang yang menzalimi orang lain iaitu kita perlu sentiasa bersama dengan yang haq dan menentang yang batil. Jika kita hidup di zaman saidina Hussain ketika mana beliau dikepung bersama tenteranya seramai 72 orang sahaja dan menghadapi 30 ribu orang tentera Yazid, maka kita perlu menyokong Hussain berdasarkan kepada konsep tawalla dan tabarra ini. Kelapan adalah wilayah iaitu kepimpinan.

Menurut Abu Dzar (2010: Temu bual, 26 Disember):

Furu’ al-Din atau rukun Islam ini kita dapat bahagikan kepada dua perkara. Pertamanya bersifat persendirian dan keduanya adalah berkaitan dengan orang lain. Fiqh yang bersifat persendirian ini adalah seperti solat, puasa, zakat, haji, tawalla dan tabarra. Fiqh yang berkaitan dengan orang lain pula adalah seperti nikah, talak, muamalat, jual beli, amar makruf nahi mungkar dan jihad di jalan Allah.

4.2. Konsep Taqiyyah

Berpura-pura dalam akidah Syiah adalah al-Taqiyyah. Al-Taqiyyah ialah menunjukkan sesuatu yang boleh membahayakan diri atau harta bendanya dengan melahirkan yang bukan hakikat sebenar dari kandungan hatinya. Al-Taqiyyah ini diamalkan dalam setiap perkara kecuali dalam masalah Arak dan menyapu Khuf. Perkara ini dijelaskan dalam kitab Usul Min Al-Kafi (al-Kulaini 1992: 217):

ابن أبى عمير، عن هشام بن سالم عن أبي عمر الأعجمي قال: قال لي أبو عبدالله عليه السلام يا أبا عمر إن تسعة أعشار الدين في التقية ولا دين لمن لا تقية له والتقية في كل شيء إلا في النبيذ والمسح على الخفين

Dari Ibn Abu Umair daripada Hisyam bin Salim, dari Abu Umar al-A’jami katanya Abu Abdullah berkata kepadaku, “wahai Abu Umar, sesungguhnya sembilan persepuluh daripada agama itu terletak pada taqiyyah dan tidak ada agama bagi orang yang tidak mempunyai taqiyyah dan taqiyyah itu ada pada semua perkara kecuali dalam masalah arak dan menyapu dua khuf.

Konsep taqiyyah adalah konsep yang hanya terdapat dalam mazhab Syiah. Dalam mazhab Syiah, taqiyyah adalah satu konsep yang mana para pengikutnya diizinkan untuk menyembunyikan identiti mereka ditengah-tengah kelompok yang dianggap oleh Syiah sebagai menyeleweng dari ajaran Ahlul Bait yang sebenar atau jika disebut dengan lebih umum ianya adalah konsep ‘tipu sunat’ sebagaimana yang digunakan oleh masyarakat sekarang tidak kira sama ada digunakan untuk menyembunyikan identiti mahupun menipu dalam perkara yang lain. Dengan itu mereka akan terhindar dari segala bentuk ancaman mahupun penindasan dan mereka tidak akan merasa takut dengan menganut fahaman Syiah. Taqiyyah ini boleh juga disebut dalam bahasa mudahnya sebagai berpura-pura atau menipu.

Dalam Temu Bual bersama Abu Dzar bin Latip, beliau memberikan satu contoh mudah dalam memahami maksud taqiyyah. Katanya:

Seorang suami memakan masakan isteri yang tiada garam dan kurang enak rasanya. Akan tetapi oleh kerana disebabkan sayangnya suami tersebut kepada isteri, suami akan tetap mengatakan bahawa masakan tersebut enak. Jadi inilah yang dinamakan taqiyyah, iaitu menyembunyikan sesuatu perkara yang benar walaupun bercanggah dengan kehendak hati kerana kebenaran itu tidak dapat difahami oleh orang lain. Maka Syiah menyembunyikan kebenaran (menurut pandangan mereka), supaya kebenaran itu tidak didedahkan secara mengejut (Abu Dzar 2010: Temu bual, 26 Disember).

Menurut Kasmawi (2010: Temu bual, 29 Disember) pula:

Konsep taqiyyah adalah satu konsep yang wujud di dalam Islam yang ianya bertujuan untuk menjaga akidah Islam dalam diri seseorang manusia supaya keimanan kita itu tetap boleh dipertahankan dalam apa jua keadaan sekalipun. Syiah mengambil konsep taqiyyah ini berasaskan dari kisah sejarah iaitu Ammar bin Yasir yang terpaksa menipu dalam akidahnya walaupun hakikatnya dalam hati beliau masih lagi beriman kepada Allah. Bagi Syiah, ianya tidak timbul isu penipuan apabila kita terpaksa bertaqiyyah, ianya dilakukan demi untuk menjaga kemaslahatan akidah mereka

Menurut Wan Zailan (2010: Temu bual, 7 Januari) pula:

Dalam sehari-hari hidup manusia pasti wujud taqiyyah. Kita akan menyembunyikan sesuatu perkara yang kita sendiri rasakan patut disembunyikan tidak kira sama ada berbentuk identiti kita, atau dalam perkara lain. Seperti contoh kita lewat ke kelas dan guru meminta alasan, maka kita menipu dengan mengatakan jalan sesak dan sebagainya sedangkan kita tidur. Ianya adalah menyembunyikan apa yang orang lain tidak perlu tahu melainkan kita sahaja.

Jadi konsep taqiyyah menurut fahaman Syiah adalah satu konsep yang mana mereka menyembunyikan akidah mereka demi menjaga akidah mereka itu sendiri. Sikap mereka ini adalah boleh diumpamakan seperti golongan munafiq di zaman Rasululah yang menyembunyikan kekafiran mereka dihadapan orang Islam demi menjaga kemaslahatan mereka dan akidah kafir mereka.

4.3. Solat Menurut Syiah

Dalam permasalahan solat, ada terlalu banyak perbahasan yang perlu dibincangkan. Jika mahu dibahaskan adalah terlalu besar skopnya seperti permasalahan Taharah, Wudhu’, waktu solat, rukun solat dan lain-lain. Akan tetapi disini penulis hanya menyentuh beberapa perkara berkaitan dengan solat dalam mazhab Syiah yang mana ianya terlalu jelas bercanggah dengan hadith dan athar. Menurut Abu Dzar Bin Latip, waktu solat dalam mazhab Syiah adalah seperti berikut (Abu Dzar 2010: Temu bual, 26 Disember):

Pertama: Dari sudut waktunya. Solat dalam Syiah adalah sangat berbeza waktunya dengan Ahli Sunah dan ulama terdahulu tetapkan. Bagi Syiah waktu subuh adalah bermulanya timbul Fajar Sadiq. Ini tidak bercanggah dengan mana-mana mazhab Islam. Akan tetapi penentuan bila waktu Fajar Sadiq adalah berbeza dengan mazhab Ahli Sunah. Menurut Abu Dzar, Fajar Sadiq bagi Syiah di Malaysia adalah berlainan dengan Ahli Sunah yang bermazhab Syafie di Malaysia. Azan di seluruh Malaysia pada waktu Subuh itu sudah menandakan masuknya waktu Subuh di kawasan yang sewaktu dengannya. Akan tetapi bagi Syiah di Malaysia, azan yang berkumandang menurut Ahli Sunah itu bukanlahlah waktu Subuh yang sebenar. Waktu Subuh yang sebenar adalah bermulanya Fajar Sadiq yang mana menurut perkiraan Syiah di Malaysia ini adalah 15 minit selepas berkumandangnya azan di satu-satu kawasan. Mereka berpendapat bahawa di Malaysia, mereka melaungkan azan adalah pada ketika waktu fajar Kazib dan bukan fajar Sadiq.

Waktu Zuhur pula adalah ketika gelincirnya matahari. Ini tidak berbeza dengan mazhab Syafie di Malaysia, iaitu ketika bayang-bayang sebatang tiang yang dipacak di tengah satu dataran sudah muncul menghala ke sebelah Timur. Apa yang peliknya adalah waktu Asarnya. Syarat masuknya waktu Solat Asar adalah 4 rakaat setelah waktu Zohor. Sekiranya tidak melakukan lagi solat Zohor, maka tidak boleh melakukan Solat Asar. Waktunya adalah bermula setelah 4 rakaat solat Zohor sehinggalah terbenamnya matahari iaitu apabila cahaya merah di ufuk barat sudah hilang sepenuhnya. Akan tetapi waktu Asarnya boleh dilakukan tanpa melakukan solat Zohor apabila waktu Mabghrib hampir tiba, iaitu sekadar sempat mengerjakan 4 rakaat sebelum masuknya waktu Maghrib.

Waktu Maghrib pula adalah bermula dari hilangnya cahaya kemerahan di kaki langit akibat dari terbenamnya matahari. Apabila terbenamnya matahari, ianya meninggalkan kesan cahaya yang kemerahan di ufuk Barat. Akan tetapi pada waktu kemerahan ini masih wujud, ianya bukanlah waktu maghrib sebagaimana yang digunakan oleh mazhab Syafie. Masuk waktu Maghrib adalah ketika mana hilangnya cahaya kemerahan di kaki langit sehingga langit kelihatan gelap sepenuhnya. Bagi Mazhab Syafie, apabila hilang cahaya kemerahan ini sepenuhnya, itu menandakan waktu Isyak sudah masuk, tetapi bagi Syiah, ianya adalah waktu Maghrib. Bagi solat Isyak pula, ianya bermula setelah 3 rakaat waktu maghrib. Sekiranya tidak melakukan solat Maghrib maka solat Isyak tidak boleh dilakukan. Akan tetapi waktunya hanyalah sehingga tengah malam, iaitu pertengahan antara terbenamnya matahari, sehinggalah terbit matahari.

Dalam masalah waktu solat ini ianya sekarang lebih dikenali dengan bahasa mudahnya iaitu menjamakkan waktu Zohor dan Asar dan waktu Maghrib dengan Isyak. Perkara ini dijelaskan oleh Lutpi Ibrahim dalam buku beliau Minhaj Kebenaran dan Pendedahan (Fiqh Lima Mazhab di antara Nas dan Ijtihad) (Lutpi Ibrahim 1993: 36):

Ja'fari: Harus menjamakkan di antara sembahyang Zahor dan Asar, Maghrib dan Isyak sama ada di dalam musafir ataupun hadir tanpa sebab.

Perkara ini juga telah disentuh oleh Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dalam akhbar Harian Metro bahawa golongan Syiah ini menjamakkan atau mengumpulkan waktu Zohor dan Asar serta Maghrib dan Isya’ pada setiap waktu dalam semua keadaan tanpa memerlukan sebab seperti musafir atau dalam keadaan hujan (Harian Metro. 2010. 17 Disember).

Kedua: Dari sudut tempat solat. Dalam mazhab Syiah, apabila seseorang hendak melakukan solat, maka baginya perlu sujud di atas tanah, batu atau sesuatu hasil dari tanah yang tidak dijadikan makanan dan pakaian. Ianya cukup sekadar meletakkan dahi sahaja, tetapi lebih baik jika dapat meletakkan dahi beserta hidung. Jika kita bersujud dengan dahi diatas sesuatu yang boleh dibuat pakaian atau makanan maka ianya tidak sah. Dengan ini, jika kita bersujud di atas karpet atau sesuatu yang berupa kain yang boleh dibuat pakaian, maka tidak sah solat. Bagi Syiah lagi, sujud yang paling afdhal adalah bersujud di atas tanah Karbala’ (turbah), iaitu tanah tempat wafatnya Saidina Hussain r.a. Menurut Kamil Zuhairi (2010: Temu bual, 25 Disember), katanya:

Jika kita bersujud di atas tanah Karbala’ iaitu tempat wafatnya saidina Hussain r.a. maka sujud kita itu akan terpancar cahayanya sehingga ke langit. Makhluk yang menyaksikannya adalah para Malaikat dan wali-wali Allah yang menjadi saksi kepada sujud kita. Itu adalah di antara kelebihan bersujud diatas tanah Karbala’. Andaikata sekiranya tidak terdapat tanah Karbala’, maka kita boleh bersujud di mana-mana tempat asalkan ianya bukan dari pakaian ataupun makanan, dan sebenarnya menurut Imam Syafie juga,” tempat sujud yang paling baik adalah di atas tanah”

Menurut Abu Dzar bin Latip (2010: Temu bual, 26 Disember) pula:

Nabi bersabda:

جعلت لي الارض مسجدا وطهورا

Kita perlu sujud di atas sesuatu yang sah sujud di atasnya, iaitu sesuatu yang tidak dijadikan pakaian mahupun makanan. Contohnya seperti kain yang dibuat dari benang yang asli iaitu kapas, kertas yang diperbuat daripada kayu, dan lain-lain contoh yang mana sumbernya berasal dari tanah. Sebaik-baik sujud pula adalah di atas tanah Karbala’, ini adalah kerana kesemua imam-imam Syiah lebih suka bersujud diatas tanah Karbala’.

Menurut Kasmawi (2010: Temu bual, 29 Disember):

Solat Syiah yang dilakukan di atas tanah itu hanyalah perbahasan dari sudut persediaan solat itu sendiri. Tidak menjadi jika solat di atas jalan sekalipun, ianya hanyalah perbahasan dari sudut persediaan.jika bersolat diatas tanah itu hanyalah sebagai lambing yang menunjukkan kerendahan hati mereka. Ianya bukanlah persoalan yang besar, kerana mereka berpegang dengan hadith-hadith yang berkaitan dengan solat di atas tanah.

Ketiganya: Dari sudut rukun solat, Syiah tidak bercanggah dengan solat yang dilakukan dalam mazhab Syafie, kesemuanya sama dengan mazhab Syafie dari sudut rukunnya iaitu rukun qauli, fi’li, dan qalbi.

4.4. Nikah Mut’ah

Nikah Mut’ah adalah perkahwinan bagi tempoh masa tertentu. Nikah jenis ini telah dihalalkan oleh golongan Syiah berdasarkan dari Hadith Rasul s.a.w dalam kitab Ibnu Babawaih (Ibn Babawaih 1985: 358):

وأما المتعة فإن رسول الله صلى الله عليه وسلم أحلها ولم يحرمها حتى قبض

Adapun Mut’ah maka Rasul telah menghalalkannya dan tidak mengharamkannya sehinggalah baginda wafat.

Ibnu Babawaih juga meriwayatkan bahawa imam al-Sadiq pernah berkata:

قال الصادق عليه السلام: ليس منا من لم يؤمن برجعتنا، ولم يستحل متعتنا

Bukan dari kalangan kami mereka yang tidak mempercayai al-Raj’ah dan tidak menggap halal kepada mut’ah kita.

Menurut Kamil Zuhairi (2010: Temu bual, 25 Disember), dalam mazhab Syiah, Mut’ah adalah perkahwinan bagi masa yang telah ditetapkan, dan selepas itu, ikatan perkahwinan tersebut terlerai. Ianya adalah salah satu bentuk perkahwinan dalam mazhab Syiah yang diharuskan. Syiah mengharuskan nikah jenis ini dengan berdalilkan ayat al-Quran surah al-Nisa, ayat 24:

وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ النِّسَاءِ إِلا مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ كِتَابَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَأُحِلَّ لَكُمْ مَا وَرَاءَ ذَلِكُمْ أَنْ تَبْتَغُوا بِأَمْوَالِكُمْ مُحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَافِحِينَ فَمَا اسْتَمْتَعْتُمْ بِهِ مِنْهُنَّ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ فَرِيضَةً وَلا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا تَرَاضَيْتُمْ بِهِ مِنْ بَعْدِ الْفَرِيضَةِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا

Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan isteri orang, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki. (haramnya segala yang tersebut itu) ialah suatu ketetapan hukum allah (yang diwajibkan) atas kamu. Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu, untuk kamu mencari (isteri) dengan harta kamu secara bernikah, bukan secara berzina. Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah ia menjadi isteri kamu), maka berikanlah kepada mereka mas kahwinnya (dengan sempurna), sebagai suatu ketetapan (yang diwajibkan oleh Allah). dan tiadalah kamu berdosa mengenai sesuatu persetujuan yang telah dicapai bersama oleh kamu (suami isteri), sesudah ditetapkan mas kahwin itu (tentang cara dan kadar pembayarannya) sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Menurut beliau lagi, Syiah juga berdalilkan dengan hadith Rasul iaitu hadith yang diriwayatkan oleh Imran bin Hasin yang berkata:

“Ayat mengenai Mut’ah telah diturunkan dalam al-Qur’an dan kami melakukannya di masa Rasulullah s.a.w dan tidak diturunkan ayat yang memansuhkan atau membatalkannya dan Nabi pula tidak melarangnya sehingga beliau wafat”.

Menurut Kamil Zuhairi (2010: Temu bual, 25 Disember) lagi, katanya:

Nikah itu terbahagi kepada dua bahagian. Pertamanya nikah yang mempunyai satu tempoh tertentu. Umar al-Khatab pernah berkata:

متعتان كانتا على عهد رسول الله ، أنا أنهى عنهما، وأعاقب عليهما: متعة النساء ومتعة الحج

“Mut’ah itu ada dua pada zaman Rasul s.a.w, pertamanya Mut’ah pada haji iaitu Haji Tamatuk, dan mut’ah pada nikah, dan akulah yang mengharamkannya”.

Keduanya pula adalah nikah selamanya (da’im). Maka dalam Syiah tidak berlaku apa-apa pengharaman dalam masalah nikah Mut’ah. Nikah Mut’ah mempunyai tempoh tertentu, dan di waktu zaman Nabi sendiri memang wujud nikah Mut’ah ini berdasarkan dari kata-kata Umar al-Khatab. Berdalilkan ayat al-Quran surah al-Nisa ayat 24:

فَمَا اسْتَمْتَعْتُمْ بِهِ مِنْهُنَّ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ فَرِيضَةً وَلا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا تَرَاضَيْتُمْ بِهِ مِنْ بَعْدِ الْفَرِيضَةِ

Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah ia menjadi isteri kamu), maka berikanlah kepada mereka mas kahwinnya (dengan sempurna), sebagai suatu ketetapan (yang diwajibkan oleh Allah). dan tiadalah kamu berdosa mengenai sesuatu persetujuan yang telah dicapai bersama oleh kamu (suami isteri), sesudah ditetapkan mas kahwin itu (tentang cara dan kadar pembayarannya).

Dalam mazhab Syiah lagi, nikah Mut’ah ini tidak memerlukan wali dan saksi. Malah ianya adalah rahsia diantara tiga orang pelakunya iaitu pasangan yang hendak bernikah dan juga orang yang menikahkan mereka. Ini dibuktikan dari kata-kata Abu Dzar. Menurut Abu Dzar bin Latip (2010: Temu bual, 26 Disember) pula:

Nikah Mut’ah memang wujud dalam mazhab Syiah. Malah sebenarnya ianya adalah dari al-Quran sendiri, bukan apa yang direka oleh mazhab Syiah. Dari sudut istilah Mut’ah itu sendiri, sebenarnya bukan hanya Ahlul Bait sahaja yang mengamalkan Mut’ah,di negara-negara Arab sendiri mengamalkannya, tetapi dengan satu istilah yang lain yang disebut sebagai Misyar (berasal dari perkataan Sir bermaksud senyap atau rahsia). Nikah Mut’ah tidak mempunyai sijil nikah dan tidak mempunyai saksi. Ianya adalah kontrak di antara suami dan isteri. Misyar ini dihalalkan di negara-negara Arab yang lain. Misyar adalah perkahwinan seperti perkahinan yang biasa akan tetapi ianya mempunyai syarat seperti pihak lelaki tidak perlu memberi nafkah dan lain-lain.

Bagi golongan Syiah, nikah Mut’ah tidak memerlukan saksi atau wali sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Abu Dzar bin Latip di atas. Ini juga bertepatan dengan apa yang disebut oleh Abu Jaafar Muhamad bin al-Hasan bin Ali al-Tusi dalam kitabnya al-Nihayah fi Mujarrad al-Fiqh wa al-Fatawa (al-Tusi 1980: 489):

وأما الاشهاد والاعلان، فليسا من شرائط المتعة على حال، اللهم إلا أن يخاف الرجل التهمة بالزنا، فيستحب له حينئذ أن يشهد على العقد شاهدين.

Adapun saksi dan pengisytiharan nikah kedua-dua mereka, bukanlah daripada syarat Mut’ah dalam apa keadaan sekalipun. Kecuali jika seseorang itu dituduh berzina, maka disunatkan pada ketika itu ia mengadakan dua orang saksi ketika akad.

Sebagaimana yang telah penulis sebutkan sebelum ini bahawa sebenarnya nikah Mut’ah ini adalah menjadi satu tarikan utama bagi golongan laki-laki dalam mencapai tuntutan nafsu sehingga menjual akidah mereka untuk mendapatkan nikmat yang sedikit. Nikah Mut’ah ini memang benar wujud dan berlaku dikalangan para penganut Syiah di Malaysia sendiri. Ianya adalah sesuatu yang dirahsiakan dari sesiapa pun kerana ianya tidak memerlukan wali dan saksi sebagaimana yang disebutkan oleh Abu Dzar bin Latip. Daya tarikan terhadap Syiah dalam permasalahan nikah Mut’ah ini disebut oleh Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dalam akhbar Harian Metro (Harian Metro. 2010. 17 Disember). Katanya:

“Bagi lelaki, tarikan seks dipercayai menjadi antara sebab utama mereka mudah mengikuti fahaman Syiah kerana fahaman ini menghalalkan nikah mut’ah”

4.5. Sumber perundangan Syiah

Dalam sumber perundangan Islam, ulama-ulama fiqh telah bersepakat bahawa terdapat empat sumber perundangan utama iaitu al-Quran, Sunah, Ijmak, dan Qias. Dan terdapat lapan sumber perundangan yang lain yang tidak disepakati oleh para ulama seperti masalih mursalah, uruf, qaul sahabat dan lain-lain. Sumber perundangan dalam mazhab Syiah adalah berbeza sedikit dengan Ahli Sunah. Bagi Syiah mereka ada empat sumber perundangan iaitu:

1) Al-Quran

2) Sunah

3) Akal

4) Ijmak

Pemahaman terhadap Sunah dan Ijmak mereka adalah seperti dibawah adalah seperti yang diterangkan oleh Abu Dzar. Menurut Abu Dzar Syeikh al-Mufid, al-Imam Abi Abd Allah bin Muhamad bin Muhamad bin al-Nu’man. 413H. al-Irsyad. Beirut: Muassasah al-‘Alami li al-Matbu’at.:

Dalam mazhab Ahlul Bait, sumber perundangannya ada beberapa perkara, pertamanya adalah al-Quran, keduanya Sunah. Apa yang dimaksudkan dengan Sunah adalah qaul maksum atau ucapan para maksumin (iaitu orang yang dianggap maksum dalam mazhab Syiah), perbuatan para maksum, dan taqrir para maksum. Ketiganya pula adalah aqal dan yang keempat adalah ijmak. Apa yang dimaksudkan dengan ijmak pula adalah segolongan ulama yang sependapat dalam mengeluarkan sesuatu hukum. Ulama menurut Syiah adalah jauh berbeza dengan ulama dalam Ahli Sunah. Ulama Syiah adalah orang yang mampu berijtihad, berilmu, warak, dan tidak mengikuti hawa nafsu mereka.

Menurut Kasmawi (2010: Temu bual, 29 Disember):

Menurut Ahlul Bait, mereka mempunyai sumber perundangan yang sama dengan Ahli Sunah. Akan tetapi padanya ada penambahan dari sudut akal. Ahlul Bait meletakkan akal juga sebagai sumber perundangan mereka. Asas yang menjadi dalil kepada sumber perundangan ini adalah merujuk juga kepada hadith Rasul s.a.w. Mereka juga mengambil sesuatu perkara melalui hadith sepertimana dalam solat dan perkara yang lain. Mereka mengambil logik-logik tertentu dalam menentukan sesuatu hukum. Maka akal memainkan peranan sebagai salah satu daripada sumber perundangan bagi mereka dalam mengistinbat satu-satu hukum.

Ini Juga disebut dalam akhbar Harian Metro oleh Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi bahawa golongan Syiah ini menolak Ijmak Ulama (Ahli Sunah) sebagaimana yang telah diketahui tentang prinsip-prinsip ajaran Syiah (Harian Metro. 2010. 17 Disember). Tetapi apa yang dapat penulis simpulkan di sini adalah dari konteks Syiah, autoriti terhadap ulama mereka adalah penting sebagaimana yang disebutkan oleh Abu Dzar bin Latip di atas yang mana mereka mengakui tentang Ijmak Ulama, tetapi ulama yang dimaksudkan bukanlah ulama dari kalangan Ahli Sunah melainkan ulama dari kalangan Syiah sendiri.

4.6. Ganjaran Syurga Bagi Mereka Yang Menziarahi Kubur Saidina Hussain

Dalam mazhab Ahli Sunah, menziarahi kubur seseorang tidaklah menjadi suatu kesalahan. Malah ianya digalakkan lagi supaya orang yang masih hidup ini mengambil iktibar terhadap kematian saudaranya. Akan tetapi mazhab Ahli Sunah tidak pernah mengatakan bahawa menziarahi kubur seseorang dijanjikan balasan Syurga padanya. Ini tiada bukti yang menunjukkan wujudnya nas yang menjanjikan Syurga kepada mereka yang menziarahi kubur seseorang. Malah menziarahi kubur Nabi s.a.w sendiri juga tidaklah dijanjikan Syurga pada mereka yang menziarahinya, cuma apa yang ada dalam hadith Rasul s.a.w adalah sesiapa yang menziarahi kubur baginda akan mendapat Syafaat. Nabi s.a.w bersabda:

عن أنس بن مالك رضي الله عنهما قال قال رسول الله " من زارني في المدينة محتسبا كان في جواري وكنت له شفيعا وشهيدا يوم القيامة"

" Sesiapa yang menziarahiku di Madinah dengan tulus ikhlas, nescaya aku akan menjadi saksi dan pemberi syafaat kepadanya pada hari kiamat." ( Dari Anas bin Malik)

Tidak terdapat hadith atau athar yang mengatakan sesiapa yang menziarahi kubur selain dari kubur Nabi akan mendapat syafaatnya, lebih-lebih lagi dijanjikan Syurga terus. Ini seolah menafikan perkara ibadah yang lain seperti solat puasa zakat dan lain-lain yang mana jika kita tidak melaksanakannya pun tidak mengapa. Tetapi bagi Syiah, mereka menganggap bahawa menziarahi kubur saidina Hussain maka dijanjikan Syurga padanya. Adakah Saidina Hussain lebih mulia dari Nabi?. Berkata Syeikh Mufid dalam kitabnya al-Irsyad (Syeikh al-Mufid 413H: 252):

وقال رسول الله صلى الله عليه وآله من زار الحسين "ع" بعد مونه فله الجنة

Barangsiapa yang menziarahi Hussain setelah kewafatannya nescaya ia akan masuk ke Syurga

Menurut Abu Dzar bin Latip (2010: Temu bual, 26 Disember):

Dalam masalah mendapat ganjaran Syurga bagi mereka yang menziarahi kubur saidina Hussain ini adalah kembali kepada konsep tawalla dan tabarra. Ianya merujuk kembali kepada ayat al-Quran surah al-Nisa ayat 59 yang berbunyi:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلا

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada allah dan taatlah kamu kepada rasulullah dan kepada "ulil-amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) allah (al-quran) dan (sunnah) rasulnya - jika kamu benar beriman kepada allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Siapakah yang dimaksudkan dengan ulil-amri itulah yang menjadi perbahasannya. Ini ada mempunyai perkaitannya dengan sejarah yang tidak dapat diringkaskan dalam masa yang singkat. Tetapi ianya ada dalam mazhab Syiah.

Menurut Kasmawi (Temu Bual. 29 November 2010):

Ini adalah sama pandangan dengan mazhab Ahli Sunah. Sebenarnya tidak kira menziarahi kubur sesiapa pun sama ada kubur Nabi atau orang lain juga akan mendapat pahala. Jika menziarahi dan menydekahkan al-Fatihah kepada si mati beserta mendoakan mereka akan mendapat pahala. Ianya sama sahaja dengan kita menziarahi kubur orang tua kita yang meninggal dunia. Cerita berkaitan dengan masalah fiqh ini boleh dirujuk melalui mana-mana rujukan sama ada berbentuk buku ataupun internet.

Menurut Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi pula, Syiah sememangnya menganggap bahawa mereka yang menziarahi kubur saidina Husain adalah mendapat ganjaran Syurga. Ini adalah antara pegangan mereka sehingga menyebabkan apabila tiba hari perayaan Imam Husain mereka akan menziarahi kuburnya dan meratap serta menangis-nangis demi mendapat ganjaran Syurga. Mereka juga seolah-olah mendewa-dewakan saidina Ali serta melebihkan martabat saidina Husain berbanding Nabi Muhammad s.a.w, padahal Nabi s.a.w adalah lebih mulia dari keduanya. Sekiranya menziarahi kubur Saidina Husain mendapat ganjaran syurga, maka menziarahi kubur Nabi s.a.w adalah terlebih aula dari Husain. Kata Mohammed Khusrin (Harian Metro. 2010. 17 Disember):

“Selain itu, mereka turut mendewa-dewakan Saidina Ali berbanding Nabi Muhammad s.a.w. Malah, ganjaran syurga menanti juga pengikut Syiah yang melawat makam Saidina Husain”.

4.7. Perayaan Dalam Mazhab Syiah

Dalam mazhab Syiah, wujud beberapa jenis sambutan atau perayaan. Ada antara perayaan mereka berbentuk sambutan terhadap kelahiran dan kematian para Imam mereka, sambutan terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku terhadap imam mereka, sambutan terhadap hari-hari dan tarikh-tarikh yang penting dalam mazhab mereka dan lain-lain. Perayaan-perayaan ini ada sebahagiannya sama dengan perayaan diamalkan oleh Ahli Sunah di Malaysia ini sendiri. Dalam Ahli Sunah walaupun ada antara perayaan ini yang tidak wujud nasnya dari mana-mana sumber perundungan Islam, tetapi ianya mengikut uruf sesuatu keadaan selagi tidak bercanggah dengan Syariat, umpanya sambutan Maulid Rasul. Bagi Syiah pula, menurut Abu Dzar Bin Latip, perayaan mereka mempunyai banyak jenis, antaranya perayaan sempena sambutan Hari Ghadir Khum, bersempena dengan peristiwa Ali diiktiraf sebagai pengganti Rasul sebagai Khalifah, perayaan kelahiran para maksumin mereka seperti hari kelahiran dan kematian Fatimah al-Zahra, kelahiran dan kematian saidina Ali r.a dan lain-lain. Sungguhpun begitu ada juga perayaan mereka yang menyamai dengan perayaan mazhab Ahli Sunah seperti Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha,Nuzul al-Quran dan lain-lain. Tetapi perbezaannya adalah dari sudut tarikhnya yang mana akan dijelaskan di bawah nanti (Temu Bual. 26 November 2010).

Dalam Ahli Sunah, ada sebahagian perayaannya adalah bersumberkan dari Syariat seperti perayaan Aidiladha yang mana umat Islam digalakkan melakukan korban kerana Allah demi mendapat keredhaan dari Allah s.w.t. Perayaan ini dikira sebagai satu Ibadah di dalam Islam seperti mana Firman Allah Taala dalam surah al-Kauthar ayat 2 dan surah al-Hajj ayat 36:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُمْ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ كَذَلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Mekah itu) sebahagian dari Syiar agama Allah untuk kamu, pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu, oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.

Dalam mazhab Ahli Sunah di Malaysia pula ada juga perayaan-perayaan yang tidak mempunyai nas secara khusus seperti sambutan Maulid Rasul, akan tetapi ianya tidak bercanggah dengan Syariat jika menyambutnya kerana ianya adalah sempena memperingati hari kelahiran penghulu kita iaitu Nabi Muhamad s.a.w.

Mazhab Syiah mempunyai beberapa perayaan dalam ajaran mereka. Menurut Kamil Zuhairi (2010: Temu bual, 25 Disember), Di antara perayaan-perayaan dalam mazhab Syiah adalah, pertamanya, Hari Raya Ghadeer Khum yang berlangsung pada 18 Zulhijjah. Hari Raya Ghadeer Khum ini adalah sempena memperingati hari Ali r.a diangkat menjadi khalifah di Ghadeer Khum di mana sabda Nabi s.a.w di dalam khutbah haji wida’ atau wada’ iaitu khutbah terakhir Nabi s.a.w pada ketika itu yang mengangkat saidina Ali r.a sebagai walinya iaitu pada 10 Hijrah. Mereka memahami maksud wali pada khutbah Nabi s.a.w tersebut adalah sebagai pengganti Nabi selepas kewafatan beliau. Mereka menentang keras terhadap penafsiran atau pemahaman terhadap kalimah مولى dalam khutbah Nabi s.a.w tersebut kepada makna selain dari pengganti atau khilafah selepas kewafatan beliau. Khutbah Nabi pada ketika ini adalah dianggap oleh pengikut Syiah sebagai peristiwa Ghadeer Khum yang mana peristiwa khutbah ini berlaku di sebuah tempat bernama Ghadeer Khum. Pada ketika ini, setelah selesai jemaah haji yang ada pada ketika, Nabi s.a.w mengarahkan jemaah haji supaya berhenti dahulu kerana beliau mahu menyampaikan satu khutbah yang penting. Nabi mengumpulkan umat Islam seramai 120 ribu umat Islam dan menahan mereka dari pergi dahulu sebelum mendengar khutbah baginda. Di tengah panas yang terik Nabi memberi khutbah, antara khutbah beliau yang mengangkat saidina ali sebagai مولى Baginda adalah dengan Nabi mengangkat tangan saidina Ali r.a sambil berkata:

“Siapa yang baginya ada maula, maka Ali adalah maula ku”

Pemahaman isi kandungan maksud Nabi terhadap ayat ini menurut Syiah adalah dengan maksud pengganti beliau sebagai khalifah. Tetapi menurut Sunni adalah مولى tersebut bermaksud sahabat. Mereka beralasan bahawa adakah logik pada akal manusia yang mana ketika peristiwa tersebut berlaku, Nabi s.a.w mengumpulkan 120 ribu orang jemaah haji yang sudah bergegas mahu pulang ke tempat masing-masing yang mana sebahagiannya mahu ke Syam, sebahagian lain mahu ke Iraq dan sebagainya, hanyalah semata-mata mahu mengatakan bahawa Ali r.a adalah مولى dengan maksud sahabat baginda sahaja.

Keduanya adalah Hari Raya Aidilfitri dan ketiganya AidilAdha. Kedua-dua Hari Raya ini, Syiah tidak bercanggah dengan pendapat ulama yang lain. Mereka juga menyambut kedua-dua Hari Raya ini sama seperti umat Islam yang lain. Hari Raya Aidilfitri adalah hari yang mana kita kembali semula kepada fitrah iaitu suci dan bersih dari segala kekotoran. Keeempat adalah Hari Raya Jumaat. Menurut Syiah setiap hari Jumaat adalah satu peryaan bagi penganut mereka kerana hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan banyak peristiwa yang berlaku pada hari Jumaat. Imam Ali r.a pernah menyebut, “pada hari ini, kita ada dua hari raya, iaitu Hari Raya Ghadeer dan Hari Raya Jumaat”.

Selain itu antara hari kebesaran dalam mazhab Syiah adalah peristiwa Karbala’, iaitu hari pembunuhan Saidina Hussain pada 10 Muharram dan disebut juga sebagai Hari Asyura. Pada hari ini penganut mazhab Syiah akan meratapi menyesali diri mereka kerana kematian Saidina Hussain. Ada sebahagian dari penganut Syiah ini memukul dan menyiksa badan mereka serta meratapi diri mereka seolah-olah melakukan kesalahan di atas kematian Saidina Hussain. Menurut fahaman Syiah, Hari Karbala’ itu sangat penting kerana tanpa pengorbanan Saidina Hussain ketika itu, maka tidak sampailah Islam sehingga ke hari ini.

Selain itu mereka juga menyambut Nisfu Sya’ban iaitu pada 15 Sya’ban. Pada 15 Sya’ban ini penganut fahaman Syiah percaya bahawa ianya adalah hari kelahiran Imam Mahdi, iaitu imam yang akan dibangkitkan ketika hari Kiamat hampir tiba. Pada 15 Sya’ban ini juga adalah malam yang sama tarafnya dengan malam lailatul qadar yang mana pahala Ibadah umat Islam pada malam itu adalah sama darjatnya dengan beribadah di malam lailatul qadar di bulan Ramadhan. Maka Nisfu Sya’ban juga adalah lailatul qadar bagi fahaman Syiah. Malam lailatul qadar di bulan Ramadhan menurut Syiah adalah antara 19, 21, atau 23 Ramadhan. Salah satu dari ketiga-tiga malam tersebut adalah pasti malam lailatul qadar. Tapi pendapat yang paling kuat bagi mereka adalah pada malam ke 23 Ramadhan.

Seterusnya sambutan yang lain adalah pada malam 21 Ramadhan. Malam ini adalah sempena dengan Syahidnya Imam Ali r.a pada malam itu. Kemudian hari kebesarannya lagi adalah pada 28 Safar. Menurut Syiah, Rasulullah tidak wafat pada 12 Rabiul Awal sebagaimana pandangan sebahagian ulama Ahli Sunah, tetapi Rasulullah yang sebenarnya wafat pada 28 Safar tahun 11 Hijrah. Pada 27 Rejab pula adalah hari Nuzul Quran, iaitu hari turunnya al-Quran secara sedikit demi sedikit atau beransur-ansur. Pada malam lailatul qadar adalah hari turunnya Quran secara keseluruhan. Seterusnya adalah hari syahidnya Fatimah al-Zahra pada 3 Jamadil Akhir dan hari kelahiran Fatimah al-Zahra pada 20 Jamadil Akhir. Seterusnya lagi adalah Hari Maulid Rasul s.a.w iaitu pada 17 Rabiul Awal, berbeza dengan Ahli Sunah yang mengatakan Rasul lahir pada 12 Rabiul Awal.

Banyak lagi sambutan-sambutan dan perayaan dalam mazhab Syiah termasuk juga hari kelahiran dan kematian para Imam dan Maksumin yang lain. Boleh dikatakan sepanjang tahun adalah perayaan bagi mazhab Syiah kerana di sana wujud hari-hari kebesaran bagi pandangan mereka.

4.8. Kitab-kitab dan sumber rujukan Syiah

Antara kitab-kitab dan rujukan-rujukan yang digunakan oleh fahaman Syiah di Malaysia ini adalah:

1. Al-Quran

2. Kutub al-Arba’ah

3. Al-Ushul min Al-Kafi karangan al-Kulaini

4. Man la Yahdhurhu al-Faqih karangan Abu Ja'far Muhammad ibn 'Ali ibn Babawaih al-Qummi atau dikenali dengan nama Syeikh al-Saduq

5. Majma’ al-Bayan karangan Sheikh Tabarsi

6. Tafsir al-Mizan karangan Allamah Tabatabai

7. Nahju al-Balaghah iaitu himpunan kata-kata imam Ali r.a. kata-kata ini dikumpul oleh Syed Syarif Radhi

8. Masadir Nahj al-Balaghah wa asaniduh karangan Abd az-Zahra' al-Husayni al-Khatib

9. Shahifah sajadiah karangan imam Ali Zainal Abidin.

10. Al-Irsyad karangan Muhammad bin Muhammad bin Nu’man atau dikenali dengan nama Syeikh Mufid.

11. Lum’ah karangan Syahid Awal, kitab ini ditulis di penjara menggunakan darah.

Menurut Kamil Zuhairi (2010: Temu bual, 25 Disember):

“Antara kitab-kitab yang terkenal yang dirujuk oleh Syiah adalah antaranya al-Quran sebagai sumber utama, kemudian kitab-kitab hadith seperti Al-Ushul min Al-Kafi karangan al-Kulaini, Man la yahdhurhu al-Faqih karangan Abu Ja'far Muhammad ibn 'Ali ibn Babawaih al-Qummi atau dikenali dengan nama Syeikh al-Saduq. Seterusnya kitab-kitab Tafsir seperti Majma’ al-Bayan karangan Sheikh Tabarsi, Nahju al-Balaghah iaitu himpunan kata-kata imam Ali r.a. kata-kata ini dikumpul oleh Syed Syarif Radhi, Masadir Nahj al-Balaghah wa asaniduh karangan Abd az-Zahra' al-Husayni al-Khatib. Kemudian Syiah juga mempunyai kitab-kitab doa seperti Shahifah sajadiah karangan imam Ali Zainal Abidin, Al-Irsyad karangan Muhammad bin Muhammad bin Naman atau dikenali dengan nama Syeikh Mufid. Kemudian seterusnya Syiah juga mempunyai kitab-kitab fiqh, antaranya yang terkenal adalah kitab Lum’ah karangan Syahid Awal, kitab ini ditulis di penjara menggunakan darah. Beliau mengarang kitab ini ketika dipenjara tanpa sebarang pen dan ditulis menggunakan darah beliau sendiri”.

BAB 5. KESIMPULAN

Gerakan Syiah memang telah lama wujud di Selangor jika dilihat dari pandangan 3 orang responden yang telah ditemu bual. Hasilnya, gerakan Syiah yang masih berterusan di Selangor sehingga ke hari ini adalah sesuatu yang memberangsangkan. Penyelewengan yang berlaku dalam Syiah ini sebenar bukanlah dari sudut ibadah dan syariat sahaja, malah akidah mereka juga. Kedatangan fahaman Syiah ini diakui dan dipercayai oleh sebilangan besar penganut fahaman mereka adalah ketika selepas revolusi Iran. Tetapi jika kita lihat dalam kajian yang dilakukan oleh Kamis bin Ismail, bertajuk Shi’ah dan Pengaruhnya Dalam Bidang Politik dan Tasawuf Falsafah di Alam Melayu Zaman Tradisional, beliau membincangkan secara mendalam tentang kedatangan Syiah ke Tanah Melayu dan menurut pendapat dan penemuan-penemuan dari kajian yang beliau lakukan, sebenarnya Syiah telah datang ke Tanah Melayu sejak awal kerajaan Melayu Melaka lagi, malah lebih awal dari itu. Tetapi perbahasan mengenainya begitu panjang, dan pendapat-pendapat yang beliau kemukakan adalah terlalu banyak. Malah pandangan Kamis ini disokong juga oleh salah seorang responden penulis yang mana beliau merupakan pensyarah di salah sebuah universiti tempatan.

Hakikatnya, seawal mana kedatangan Syiah ke alam Melayu, tidaklah dapat dipastikan secara putus, tetapi apa yang dapat kita simpulkan wujudnya Syiah di alam Melayu sehingga ke hari ini adalah satu kebenaran yang tidak dapat dinafikan oleh kita sendiri, malah perkembangan gerakan Syiah di alam Melayu dari dahulu sehingga ke hari ini memang sesuatu yang memberangsangkan. Ini dapat dibuktikan di dada-dada akhbar bertarikh 17 Disember 2010 yang mana mereka membuat liputan tentang serbuan terhadap salah sebuah markas terbesar Syiah yang lokasinya terletak di Sri Gombak, dan ketika serbuan dibuat, seramai dua ratus orang telah ditahan untuk membantu siasatan. Dalam temu bual penulis bersama golongan Syiah ini pula, mereka juga bersetuju bahawa perkembangan Syiah ini di tahap yang tinggi kerana mereka sebenarnya telah lama bertapak di alam Melayu.

Dari sudut ajaran-ajaran yang digunapakai oleh Syiah di Selangor pula, mereka memang sebenarnya mengamalkan ajaran-ajaran asas yang telah diketahui oleh kita dalam kitab-kitab mereka seperti memuja-muja saidina Ali r.a, menafikan kepimpinan 3 orang khalifah sebelum Ali r.a dan lain, bersolat menggunakan batu dari tanah Karbala’ dan sebagainya, dan terbukti, memang mereka melakukan apa yang terdapat dalam kitab-kitab Syiah. Malah mereka juga beriktiqad dengan apa yang diberitahu oleh mereka dari tuan-tuan guru Syiah sendiri seperti mengkafirkan para sahabat Nabi s.a.w, beriktiqad bahawa al-Quran sekarang telah diubah oleh saidina Uthman, dan yang lebih teruk lagi menafikan hadith yang diriwayatkan oleh golongan Ahli Sunah seperti Bukhari dan Muslim sekalipun hadith tersebut adalah bertaraf mutawatir. Penyelewengan yang mereka lakukan adalah sesuatu yang sangat berat terhadap Islam. Malah sesuatu yang boleh membawa kepada kesesatan dari sudut Akidah dan Syariat. Mereka begitu mudah menafikan hadith mutawatir kerana mengikut pandangan mereka golongan yang meriwayatkan hadith ini di sisi mereka bukanlah seorang yang thiqah. Malah dengan mudah mereka beralasan, hadith yang dipegang oleh mereka adalah hadith sahih berasaskan dari Imam mereka yang dianggap mereka sebagai seorang yang thiqah, malah taraf Imam mereka adalah lebih tinggi dari taraf Imam yang dianggap thiqah oleh golongan Sunni. Dengan itu tiada hujah yang boleh diguna pakai oleh Ahli Sunah untuk menolak pegangan mereka terhadap hadith ini kerana bagi mereka hadith sahih adalah apa yang disahihkan oleh ulama mereka sahaja.

Banyak lagi penyelewengan-penyelewangan yang berlaku di dalam mazhab Syiah yang diamalkan di Malaysia dan khususnya di Selangor ini. Penyelewengan yang dilakukan oleh golongan Syiah ini adalah bersumberkan dari kitab-kitab yang dikarang oleh ulama Syiah sendiri serta apa yang diajarkan oleh ulama-ulama Syiah yang datang dari Iran dan tempat-tempat lain ke Malaysia. Sehubungan dengan itu bagi membendung gejala ajaran sesat yang memang sudah banyak di Malaysia ini, beberapa pihak perlu memainkan peranan penting. Antaranya seperti Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, dan jabatan-jabatan agama lain perlu memainkan peranan yang sangat penting dalam membendung gejala ajaran sesat ini. Jika tidak dimulakan dari sekarang, atau ditangguh-tangguhkan tindakan terhadap ajaran-ajaran ini maka generasi akan datang akan menerima akibatnya sehingga berlakulah apa yang telah berlaku di Iran pada tahun 1979, iaitu penggulingan kerajaan Ahli Sunah kepada kerajaan Syiah.

Penyelewengan dan penyebaran ajaran Syiah ini menjadi mudah berkembang adalah kerana ceteknya ilmu dan kurangnya penggunaan akal fikiran serta kemahuan untuk mengambil jalan mudah dalam memahami agama dikalangan individu Muslim yang ada di Malaysia ini. Mungkin kerana sikap malas mahu belajar, kurangnya menghadiri kelas agama dan ketidakmahuan dalam menuntut ilmu fardu ain dalam diri umat Islam sendiri menyebabkan mereka mudah membiarkan kegelapan masuk ke dalam hati mereka sehingga mencampakkan cahaya Iman keluar dari hati mereka. Kerana itu kerajaan Malaysia juga perlu memainkan perana yang penting dalam mendidik rakyat yang berilmu pengetahuan dari sudut agama serta kebijaksanaan menggunakan akal supaya mereka ini tidak mudah untuk terjebak dalam aliran-aliran yang tidak harus mereka anuti ini. Moga-moga kajian yang telah penulis lakukan ini sedikit sebanyak dapat membantu pelabagai pihak sama ada Polis, atau mana-mana jabatan agama Islam yang lain dalam membendung masalah-masalah yang terdapat dalam masyarakat di Selangor khususnya dan di Malaysia umumnya.

Bibliografi

Abdul Rahim al-Dahlawi. 1995. Hujjat al-Balighah. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.

Aboe Bakar Ajteh. 1977. Aliran Syi'ah Di Nusantara. Jakarta: Islamic Research Institute.

al-Baihaqi, Ahmad ibn al-Husain. 1980. Sunan al-Kubra. Jil. 10. Kaherah. Dar al-Fikr.

al-Dimasyqi, Abi Bakar. Dufi’a Syibh min Syibh wa tamarud wa nasb zalik ila al-Sayyid al-Jalil al-Imam Ahmad. Bab Qissah al-Rahibin ma’a Abi ‘Abd Allah.

al-Hakim al-Naisaburi, Muhamad bin Abd Allah. 1986. Al-Mustadrak ‘ala Sahihain. Juz 3. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.

Ibn Babawaih, Muhammad bin Ali bin Husain. 1985. Man la yahdhurhu al-Faqih. Juz 1. Beirut: Dar al-Adwa’.

Ibnu Kathir, Ismail bin Umar bin Kathir al-Qurasyi. 1966. Al-Bidayah wa al-Nihayah. 14 Juz. Beirut: Dar al-Ma’arif.

Ibn Taimiyyah, Ahmad Ibn Abd al-Halim. 1322. Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah fi Naqd Kalam Syiah al-Qadariyyah. Baihaq: Matbaah Amiriyyah.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. 2010. Portal e-Fatwa.

http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/perkembangan-fahaman-syiah-di-selangor [14 Disember 2010]

al-Kulaini, Abu Jaafar Muhammad bin Yaakub. 1992. Usul al-Kafi. Beirut: Dar al-Adwai.

Lutpi Ibrahim. 1993. Minhaj Kebenaran dan Pendedahan (Fiqh Lima Mazhab di antara Nas dan Ijtihad). Cet. I. al-Wahdah Publication.

al-Mufid, al-Imam Abi Abd Allah bin Muhamad bin Muhamad bin al-Nu’man. 413H. al-Irsyad. Beirut: Muassasah al-‘Alami li al-Matbu’at.

Muhammad Jawad. 1979. Syiah fi al-Mizan. Beirut: Dar Ta’aruf Lil Matbu’at.

Muslim, Muslim bin al-Hajjaj Abu al-Hasin al-Qasyiri al-Naisaburi. Sahih Muslim. Kitab al-Iman. Bab Bayan Arkan al-Islam wa da’aimahu al-‘Izham.

al-Muzaffar, Muhamad Redha. 1961. Aqaid Imamiah. Kaherah: Matba’ah Nur al-Amal.

Said bin Mansur. Sunan Said bin Mansur. Bab Ma Ja’a Fi al-Mut’ah.

Al-Tirmizi, Muhammad bin Isa Abu Isa. Sunan al-Tirmizi. Kitab al-Manaqib. Bab Manaqib Ahli al-Nabiyy Sallallahu ‘alaihi Wa Sallam.

Al-Tirmizi, Muhammad bin Isa Abu Isa. Sunan al-Tirmizi. Kitab al-Iman. Bab Wasafa Jibril Li al-Nabiyy Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam al-Iman Wa al-Islam.

al-Tusi, Muhamad bin al-Hasan. 1980. al-Nihayah fi Mujarrad al-Fiqh wa al-Fatawa. Beirut: Dar al-Kitab al-Arabi.

nota Kaki

1. Al-Quran. Al-Maidah. 5: 3

2. Tirmizi, Muhammad bin Isa Abu Isa. Sunan al-Tirmizi. Kitab al-Manaqib. Bab Manaqib Ahli al-Nabiyy Sallallahu ‘alaihi Wa Sallam. Juz 5. Hlm. 662.

3. Al-Quran. Al-Ahzab. 33 : 33

4. Al-Quran. Al-Ahzab. 33 : 33

5. Al-Quran. Al-Kahfi. 18: 9

6. Al-Quran. Al-Taubah. 9: 30

7. Al-Tirmizi, Muhammad bin Isa Abu Isa. Sunan al-Tirmizi. Kitab al-Iman. Bab Wasafa Jibril Li al-Nabiyy Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam al-Iman Wa al-Islam. Juz 5. Hlm. 6.

8. Muslim, Muslim bin al-Hajjaj Abu al-Hasin al-Qasyiri al-Naisaburi. Sahih Muslim. Kitab al-Iman. Bab Bayan Arkan al-Islam wa da’aimahu al-‘Izham. Juz 1. Hlm. 45.

9. Muslim, Muslim bin al-Hajjaj Abu al-Hasin al-Qasyiri al-Naisaburi. Sahih Muslim. Kitab al-Iman. Bab Bayan Arkan al-Islam wa da’aimahu al-‘Izham. Juz 1. Hlm. 45.

10. Ibnu Kathir, Ismail bin Umar bin Kathir al-Qurasyi. 1966. Al-Bidayah wa al-Nihayah. 14 Juz. Beirut: Dar al-Ma’arif. Hlm. 299

11. Al-Quran. Al-Nisa. 4: 24

12. Said bin Mansur. Sunan Said bin Mansur. Bab Ma Ja’a Fi al-Mut’ah. Juz 1. Hlm. 219.

13. Al-Quran. Al-Nisa. 4: 24

14. al-Dimasyqi, Abi Bakar. Dufi’a Syibh min Syibh wa tamarud wa Nasb Zalik ila al-Sayyid al-Jalil al-Imam Ahmad. Bab Qissah al-Rahibin ma’a Abi ‘Abd Allah. Juz.1. Hlm. 95.

2 ulasan:

  1. Terima kasih saudara kerana kembangkan penulisan saya

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya berninat dalam isu ini bolehkah kita berkenalan lebih dekat dan berdiskusi lebih lanjut.

      Padam