Falsafah Dan Metodologi Pengkajian Sejarah Syed Muhammad Naquib al-Attas.
Oleh
Prof. Dr Wan Mohd Nor Wan Daud
Pengarah
Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan
Peradaban (CASIS)
UTM International Campus Kuala Lumpur
Dalam dunia Islam kontemporari, pada pandangan saya, hanya
dua orang sarjana yang benar dapat dimartabatkan sebagai ahli falsafah sejarah,
yakni almarhum Malek Bennabi dari Algeria (meninggal 1973) terutama melalui
karyanya Islam in Society and History, dan sarjana kita Tan Sri Syed Muhamad
Naquib al-Attas, melalui pelbagai karyanya terutama yang terakhir ini. Ramai
yang menulis tentang sejarah dan menggunakan fakta-fakta sejarah, tetapi hanya
dua orang ini yang cuba
mengutarakan gagasan mereka mengenai sejarah yang bermakna dan berdaya-cipta.
Di antara keduanya, Syed Muhammad Naquib ternyata lebih komprehensif dan luas
dari segi falsafah dan kaedahnya yang juga membantu menyelesai beberapa masalah
penting dan memutarakan tafsiran baru mengenai sejarah Islam di Alam Melayu.
Dalam buku terbaru Historical fact and Fiction ini, al-Attas
telah mengemukakan tafsiran baru mengenai kisah Merah Silau; keterangan sejarah
yang membuktikan Semut Besar adalah suatu yang benar, bukan rekaan; identiti
raja Muslim pertama bagi kerajaan Samudra-Pasai; asal-asul perkataan Melayu
bagi nama Sumatra; adat resam Melayu dalam amalan mewariskan takhta diraja
ketika pertengahan abad ke-14 Masehi. Beliau juga memberi suatu penjelasan baru
bila dan bagaimana Parameswara memperoleh gelaran diraja Jawa, iaitu
Parameswara; apakah nama gelaran diraja Melayu ketika beliau memberontak
menentang Majapahit; bila dan di mana beliau memeluk Islam, dan siapakah
mubaligh yang mengIslamkannya; nama Muslimnya yang sebenar; peranannya yang
utama berbanding dengan Adityawarman dalam menetapkan asas bagi kelahiran
kerajaan Melayu yang baru; penubuhan Melaka, asal usul nama Melaka dan
maknanya; cerita rekaan mengenai pohon melaka yang kononnya menjadi punca
kepada penubuhan Melaka; makna sejarah dan faham utama tentang sejarah.
Di dalam buku ini Al-Attas juga menjelaskan bahawa identiti
orang Arab adalah berasaskan silsilah, bukan berasaskan suku kaum; para pelopor
yang membawa dan menyebarkan Islam di Alam Melayu pada zaman awal dan zaman
kemudiannya serta nama-nama dan silsilah-silsilah mereka yang diperolehi
melalui sumber-sumber Melayu, Jawa, Sulu, Moro, dan Arab (Hadrami);
penyelesaian terhadap masalah mengenani sejarah Sulu dan Mindanao yang selama
ini tidak dapat diselesaikan serta identiti sebenar Tuan Masha’ika dan Tuhan
Maqbalu; kenyataan sejarah dan bukti yang bersifat badihi yang menunjukkan
bahawa Islam yang tersebar di Alam Melayu adalah berasal dari Selatan Tanah
Arab (Hadramaut); mubaligh-mubaligh Islam tersohor di Alam Melayu ketika abad
ke-12 hingga abad ke-16; dan penciptaan abjad Melayu-Arab dan tulisan Jawi
berasaskan sistem bunyi (vokal) Arab (Hadrami).
Sifat Istiqamah dalam
Pemikiran dan Kaedah
Makalah ini cuba
meringkaskan falsafah dan kaedah pengkajian sejarah seorang sarjana terbesar
kita ini. Justeru kerana kesuntukan masa, makalah ini hanya mengutip beberapa
contoh bagi membuktikan titik-titik persoalan yang dibincangkan. Buku terbaru
beliau ini sesungguhnya menegaskan dan menambahbaiki lagi semua dasar-dasar
penting yang dipeganginya selama lebih 40 tahun secara penuh istiqamah. Sikap
istiqamah untuk sekian lama dalam kehidupan seseorang, terutama dalam kehidupan
sarjana semasa memang jarang terdapat. Pegangan terhadap dasar-dasar penting
kehidupan termasuk ilmu dan agama sering berubah-ubah, kononnya kerana berdepan
dengan penemuan data-data baru dari seluruh pelusuk dunia dengan jumlah yang
banyak dan kadar yang cepat.
Sebenarnya sikap istiqamah mencerminkan dua kemungkinan
saling berlawanan. Satu yang tidak baik, satu lagi sebaliknya. Pertama ialah
kejumudan luar biasa yang degil berubah walau diasak oleh data, tafsiran dan
kebenaran baru yang lebih baik; kedua ialah kebenaran mutlak yang diyakini
berdasarkan kerangka keilmuan lengkap dan mendalam sehingga tidak tergugat oleh
segala maklumat dan tafsiran baru: malah data-data dan tafsiran baru hanya
meneguhkan lagi tafsiran dan kebenaran sebahagian besar yang dipegangi selama
ini. Perobahan dalam hal ini hanya melibatkan penghuraian, pemurnian, dan
penghalusan dasar-dasar pemikiran dahulu, bukan melibatkan penukaran dasar.
Terdapat kemungkinan ketiga yang sentiasa berobah-robah mengikut maklumat dan
tafsiran terkini. Hal ini memang kerap berlaku yang menandakan kekeliruan dalam
kerangka ilmu pengetahuan hasil dari pengelutan jiwa yang berada dalam keadaan
syak dan zan.
Dalam konteks ini sikap istiqamah SMN al-Attas tentang
falsafah dan kaedah pengajian sejarah termasuk dalam golongan kedua yang baik
tadi. Sikap ini kerap digelar oleh pengkritiknya sebagai berfikiran sempit dan
tidak dinamik kerana mereka gagal menumbangkan hujjah-hujjahnya secara ilmiah
dan lebih munasabah.
Hubungan Pandangan
Alam dengan Epistemologi
Tidak dapat dinafikan bahawa falsafah sejarah SMN al-Attas
adalah cerminan dari pandangan alam serta epistemologi Islam, yakni kerangka
ilmu yang muncul darinya. Islam menerima keupayaan panca-indera yang sejahtera,
akal sihat dan laporan yang benar sebagai saluran ilmu pengetahuan yang sah
bagi manusia. Hakikat ini jelas terakam dalam al-Qur’an dan hadis Rasullulah
SAW dan di dalam kupasan akidah Islamiah khususnya yang disimpulkan oleh Abu
Hafs Najmuddin al-Nasafi (kurun ke 12M) yang digunapakai di Alam Melayu selama
ratusan tahun.
Seperti semua ilmuwan dan sarjana Islam yang berakar dalam
tradisi Ahlussunnah Wal Jamaah ini, Syed Muhammad Naquib al-Attas juga
menayangkan kerangka keilmuan ini dan diterapkan kepada falsafah dan metodologi
pensejarahannya. Beliau menggunakan hujjah-hujjah yang berasaskan data emfiris,
logika yang sangat berbekas, dan pengalaman-pengetahuan pribadi serta intuisi
yang mencerahkan. Kerangka dan kaedah ini bukanlah sesuatu yang harus
dipetak-petakkan, malah bagi al-Attas, pendekatan keilmuan yang difahami dan
diamalkannya ialah bersifat tawhid (mempersatukan). (al-Attas, Prolegomena to
the Metaphysics of Islam, 1995, ms 3-4)
Kedudukan Sejarah Yang
Penting
Sejarah adalah suatu bidang yang amat penting bagi SMN
al-Attas. Inilah yang pernah diisyaratkan sekitar 40 tahun lalu dalam muka
Dedikasi bukunya yang sangat bermakna dan berpengaruh, Islam Dalam Sejarah dan
Kebudayaan Melayu (1972). Ketetapan pegangannya itu terbukti apabila beliau
mengulanginya dalam muka Dedikasi dalam buku terbarunya ini, Historical Fact
and Fiction (2011):
“He in whose heart no History is enscrolled,
Cannot discern in life’s alloy the gold
But he that keeps the records of the Dead
Adds to his life new lives a hundredfold.”
“Hati yang hampa tiada mengandung Sejarah Bangsa
Tiadakan dapat tahu menilai hidup yang mulia
Penyimpan Khabar Zaman yang Lalu menambah lagi
Pada umurnya umur berulang berkali ganda”
(Dalam muka Dedikasi, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan
Melayu, 1972)
Beliau menganggap Sejarah sangat penting dari sudut memahami
dengan sebenarnya perjalanan jauh sesuatu bangsa, memahami
pencapaian-pencapaian agung dan mengelak kesilapan-kesilapan masa lalu, dan
mengambil iktibar yang juga dianjurkan oleh Allah SWT dalam al-Qur’an dan ramai
sarjana.
Sejarah begitu penting bagi beliau khususnya bagi para
pemimpin umat Islam sejak beberapa abad kebelakangan ini kerana kejahilan dan
kekeliruan tentang sejarah sebenar peranan Islam boleh menimbulkan keraguan
tentang kebenaran ajaran Islam serta kebaikannya kepada manusia dan seluruh
makhluk di Alam Raya ini. Bagi beliau sejarah Islam sebagai sejarah pengislahan
manusia sejagat (Islam as World History) adalah fardu ain bagi golongan
terdidik dari kalangan umat Islam bagi membuktikan dengan tepat bahawa Islam
telah menyumbang secara bermakna dan berterusan bagi kebaikan umat manusia
samada Muslim atau tidak, secara langsung atau tidak langsung.
Malah beliau juga menekankan peri pentingnya golongan
terdidik Islam memahami sejarah bangsa-bangsa besar di dunia. Selain itu
apabila beliau merencana dan melaksanakan kurikulum pasca-sarjana di ISTAC dari
1988-2002, sejarah bidang-bidang ilmu yang penting, di samping metodologi
masing-masing, juga diajarkan kepada mahasiswa di Institut itu. Sikap ini
tertayang pada jenis dan jumlah koleksi perpustakaan ISTAC yang sangat unik di
negara Islam itu.
Keperihatinan tentang peri-pentingnya sejarah yang benar ini
menjadi lebih berat apabila Islam dipersalahkan bagi menjelaskan kemunduran dan
kelemahan Umat Islam sedunia sejak beberapa abad kebelakangan ini. Terakhir,
Islam pula dikaitkan dengan keganasan. Perkaitan Islam dengan hal-hal negatif
ini tidak pernah dilakukan terhadap agama-agama lain oleh sarjana dan media massa moden.
Justeru itu, beliau mensyaratkan agar seseorang sejarawan
harus memiliki sejumlah ilmu, kemahiran dan kaedah berfikir yang komprehensif.
Beliau menyatakan keperluan syarat-syarat yang jarang-jarang ditunjukkan oleh
sebahagian besar sejarawan mengenai Islam di Alam Melayu:
Rational estimation is not mere conjecture. It
pre-supposes…an authoritative knowledge of the religion under investigation,
its worldview and the languages that project (it)…, its symbols and their
correct meanings; its adherents and their cultural and traditional ways, its
religious and intellectual tradition, and sound imagination and method of
rational and empirical analysis….” (Historical Fact and Fiction, ms xiv)
Dalam semua karyanya tentang pelbagai perkara berkaitan
Islam di Alam Melayu, terutama dalam karya terbaru yang amat penting ini,
al-Attas membuktikan peranan positif agama ini kepada pengislahan jiwa dan rupa
umat Islam di Rantau. Islam telah berjaya menyatukan ribuan pulau dan daerah
serta suku bangsa di bawah suatu lingua franca ilmiah, Bahasa Melayu, suatu
mazhab fikah Shafii dan mazhab akidah al-Asyaari; membawa perubahan kemanusiaan
dan peradaban akli dan lebih sejagat; serta semangat kebangsaan yang lebih inklusif,
tidak tribalistik dan jarang menzalimi orang-orang lain yang tak seagama.
Sejarah adalah Satu
Bidang Ilmu
Salah satu teras Pandangan Alam Islam serta akidahnya ialah
penekanan tegas keupayaan manusia mencapai keyakinan dalam ilmu, mengikut
saluran-salurannya yang khusus. Pandangan Alam ini juga menolak
sekeras-kerasnya sikap yang menafikan keupayaan manusia mencapai keyakinan, dan
yang memuja agnotisisme, relativisme dan subjektivisme yang dida’ayahkan
golongan Sofis dulu dan semasa. Aspek ini sangat mempengaruhi kaedah ilmiah
al-Attas dalam semua bidang kajiannya termasuk bidang sejarah.
Dalam satu karya sejarahnya yang awal, The Correct Date of
the Terengganu Inscription (1970), beliau menegur keras sikap yang memasarkan
“keraguan yang merimaskan” (“pestilential doubt”) beberapa sejarawan Barat
seperti C.O Blagden dan G.W.J Drewes mengenai tarikh sebenar yang tercatat pada
Batu Bersurat Terengganu yang sangat penting dan bermakna itu. (Terengganu
Inscription, ms 4).
Tentang laporan yang benar sebagai satu saluran ilmu
pengetahuan yang menyakinkan, al-Attas contohnya menerima hadis yang sangat
terkenal walaupun ditolak sebahagian ahli Hadis sebagai sahih dan historis.
Bagi beliau, hadis “Tuntutlah ilmu walau ke negeri Cina” adalah sahih kerena “
tiada sebab yang sah bagi sejarawan menolak bahawa Baginda ( SAW) pernah
melafazkan kata-kata yang membawa makna tersebut, kerana khabar yang datang
dari para sarjana berwibawa dan terpecaya adalah termasuk bukti sejarah.” (HFF,
33). Di samping itu, negara Cina sudah terkenal sebagai sebuah tamadun ulung
yang diketahui oleh orang Arab sejak dari zaman Nabi lagi. (HFF, 33).
Kaedah Emfiris-logika
Dalam buku ini al-Attas sekali lagi membuktikan
penguasaannya tentang fakta empirik yang “self evident” atau badihi (HFF, ms
135) serta kehebatan pemikiran logik dan analisanya apabila beliau menghuraikan
mengenai nama-nama bagi hari-hari dalam seminggu dalam bahasa Melayu, huruf
Jawi yang bersifat Arab-Melayu, nama-nama orang Islam tempatan di Alam Melayu,
bunyi bacaan bahasa Arab orang Islam tempatan, dan jumlah penduduk Arab dari
keturunan Rasulullah SAW khususnya melalui Imam Ahmad Isa al-Muhajir (meninggal
961M) dan Imam Muhammad Sahib Marbat (m. 1156M) yang sangat ramai di Alam
Melayu: semuanya membuktikan peranan pengislaman yang awal dan efektif oleh
golongan mereka dari Hadhramaut terutama sejak kurun ke 12M. Terdapat
sebahagian dari mereka yang datang melalui Campa, dan India.
Begitu juga tentang kesilapan sejarawan yang mengatakan
bahawa al-Malik al-Salih ( wafat 1296M) adalah pemerentah Islam pertama
Samudra-Pasai (HFF, ms 16), sedangkan al-Attas menggunakan laporan seorang
sejarawan tempatan berwibawa Sayyid Alawi bin Tahir al-Haddad yang menziarahi
perkuburan al-Malik al-Salih itu dan menemui sebuah kubor al-Malik al-Kamil
berdekatan di situ yang wafat lebih awal, yaitu pada tahun 1210M. (HFF, ms
16-17).
Al-Attas juga mendedahkan bagaimana seorang sejarawan
berpengaruh seperti SQ Fatimi yang memasukkan gambar batu nisan yang mengukir
nama al-Malik al-Zahir dan tarikh wafatnya bersamaan 1326 M boleh menulis
bahawa batu nisan itu menandakan kubur al-Malik al-Salih yang wafat 30 tahun
terdahulu! (HFF ms 29-30)
Tentang asal nama Sumatra
dari Semutraya yang terkaitkan dengan kisah Merah Silau melihat semut sebesar
kucing. Al-Attas menggunakan bentuk-bentuk ejaan nama itu dalam teks-teks lama
berbahasa Arab dan bukan Arab (HFF, ms 6-12). Beliau juga menggunaka laporan
dari teks Arab, yaitu Ajaib al-Hind oleh Buzurg ibn Shahriyar dari abad ke 10M
yang merakamkan laporan seorang yang bernama Muhammad ibn Babishah bahawa
terdapat semut-semut yang sangat besar di utara Sumatera terutama di Pulau
Lamri. (HFF, ms 12).
Cara mereka-cipta lima foneme Melayu dalam huruf Jawi: nya,
ga, cha, nga, pa yang terilham olehnya dari huraian Ibn Khaldun dalam
Muqaddimah, tentang penyebutan suara “g” dalam loghat bahasa Berber sebagai
huruf Arab “kaf” dengan menambahkan satu titik dari huruf “jim.” (HFF ms
137-138).
Beliau menujukkan bunyi ch dalam abjad Melayu-Arab berada di
antara huruf ta dan jim: 2 titik dari ta ditambah pada 1 titik di bawah jim
menjadikan cha. Bunyi ng berada di antara huruf ghayn, nun dan kaf bertitik
(yakni ga). Dengan menambahkan 1 titik dari nun dan 1 dari kaf bertitik (ga)
pada 1 titik diatas gyan, maka terciptalah nga. Beliau juga menghuraikan
bagaimana huruf-huruf lain diciptakan seperti nya, dan pa. (HFF, 137-138).
Kaedah Luas Pandangan Alam Islam dan Adat Resam Kebudayaan
Islam dan Kerajaan Melayu Awal
Penguasaan beliau tentang tradisi dan kebudayaan Islam
dipergunakannya bagi menyelesai beberapa perkara asas yang sekian lama
dipermasalahkan oleh sebahagian sarjana.
Hadith pengislaman Alam Melayu yg terdapat dalam hikayat
terawal berbahasa Melayu, Hikayat Raja Pasai, tidak diambil serius oleh sarjana
samada Muslim atau bukan Muslim. Hadith ini mengisahkan Rasulullah SAW
memerintahkan para sahabat membawa agama Islam ke Samudra selepas wafatnya SAW
dengan membawa alat perkakas kerajaan. Mereka disuruh singgah ke Mengiri dan
mengambil seorang fakir untuk di bawa bersama. Hikayat itu juga menceritakan
selepas kewafatan Baginda Rasulullah SAW, Syarif yang di Mekkah mendapat berita
tentang Samudra. Syarif itu diperintahkan oleh “Khalifah Syarif” membuat
persiapan menghantar rombongan memenuhi suruhan Nabi itu (HFF, 3-4; Hikayat
Raja Pasai, Yayasan Karyawan, ms 13-14).
Al-Attas menerima laporan ini dengan pegangan yang
meyakinkan berdasarkan ajaran agama Islam tentang dakwah Islamiah dan tentang
pengetahuan sangat baik orang-orang Arab tentang Alam Melayu lama sebelum
Islam. (HFF, 2-5). Beliau juga memberikan pelbagai bukti bahawa di Mengiri
(Monghyr) di Timur Jauh India sejak kurun 8-9M lagi telah terdapat sangat ramai
orang-orang Arab Islam dari keturunan Abu Bakar dan Ali ibn Abi Talib (HFF,
19-23).
Beliau juga menggunakan ajaran dalam akidah Islam
berteraskan bahawa Imam atau pemimpin haruslah dari golongan Quraish bagi
menyelesaikan identiti dan gelaran beberapa pemerintah Muslim awal di Alam
Melayu termasuk di Semudra-Pasai, yaitu al-Malik Muhammad al-Taymi al-Qurayshi
(HFF, 2) bukannya Sultan Muhammad (HFF, 18-19, 25) , dan bukannya Merah Silau.
Begitu jugalah, pengetahuan mendalam tentang seni tulisan
Jawi membantu beliau menyelesaikan masalah besar tarikh sebenar Batu Bersurat
Terengganu. Apabila sarjana Barat menyatakan terdapat pelbagai kemungkinan
perkataan tambahan selepas frasa tahun Hijiriah “Tujuh Ratus Dua”, beliau
menegaskan bahwa bentuk kelonggaran tulisan “Tujuh Ratus Dua” (yang menyamai
1303M) yang merupakan tiga perkataan terakhir di tepi Batu ini menafikan
kemungkinan adanya perkataan tambahan selepas itu. Ini kerana seni tulisan Jawi
membenarkan penulis mengetatkan huruf-huruf supaya perkataan atau frasa penting
tidak terputus. (Terengganu Inscription, ms, 9, 12)
Pengetahuannya tentang makna shahid yang luas dan mendalam
memberikan keyakinan kepadanya menghuraikan istilah tersebut yang tertulis pada
batu nisan Puteri Fatimah, puteri Raja Cermin, yg terdapat di Leran bertarikh
hijriah bersamaan 1082M, dan yang terdapat pada batu nisan al-Malik al-Zahir
bertarikh hijriah bersamaan1326 M. Beliau menegaskan bahawa istilah shahidah
pada batu nisan Fatimah dan syahid pada batu nisa al-Malik al Zahir itu kerana
mereka wafat jauh dari negeri masing-masing. (HFF, ms 27-28).
Begitu juga pengetahuannya tentang adat pertabalan Raja-Raja
Melayu membantu beliau menyelesaikan masalah kekhilafan dalam teks Ibn Batutah
tentang identiti Raja Samudera-Pasai yang ditemuinya. (HFF ms 31-32) Ibn
Batutah dikatakan melawat Pasai dan menyaksikan perkahwinan seorang putera
al-Malik al-Zahir bernama Ahmad pada tahun 1346M. Al-Attas menegaskan al-Malik
al-Zahir telah wafat pada tahun 1326, tetapi para pembesar menamakan beliau
sebagai Sultan yang memerintah pada waktu itu. Ini kerana mengikut adat
pertabalan Raja-Raja Melayu, seperti di Melaka, seorang putera yang dewasa dari
permaisuri hanya akan ditabalkan sebagai Sultan apabila putera itu melahirkan
seorang anak lelaki yang bakal menggantikan beliau. (HFF, ms 31).
Fakta dan Kebenaran
Dalam karyanya yang sangat penting, Prolegomena to the
Metaphysics of Islam, al-Attas membicarakan tentang Islam dan Falsafah Sains.
Di dalamnya beliau menghuraikan betapa dalam pandangan alam Islam, fakta dan
kebenaran itu tidak semestinya sama. Tidak semua fakta itu benar, jika fakta
tersebut tidak ditafsirkan dan diperlakukan di luar pandangan alam Islam.
Dalam karya itu juga beliau mengutarakan satu gagasan sangat
penting dan berguna dalam perencanaan dan kegiatan ilmiah termasuk bidang
Sejarah. “Terdapat batas-batas kebenaran bagi setiap ilmu pengetahuan” (“There
is a limit of truth to every object of knowledge”).
Gagasan ini memang terinspirasi dari ajaran al-Qur’an dan
tradisi keilmuan Islam yang merumuskan gagasan ilmu bermanfaat dan skop ilmu
kepada fardu ain dan fardu kifayah bagi mengelakkan pembaziran umur seorang
mengkaji ilmu-ilmu yang tidak bermanfaat bagi dirinya dan bagi masyarakat
seluruhnya.
Tentang fakta sejarah lampau, al-Attas menegaskan bahawa
fakta harus ditafsirkan semata-mata bukan pada kehadirannya di luar minda,
sebagai kewujudan yang objektif, tetapi harus diambil-kira nilainya:
“To test the accuracy of the explanation is not necessarily achieved by
seeing whether the fact corresponds to a reality which is already known to us
now. To find coherence in the explanation of facts described by history cannot
be free of judgments that involve value.” ( HFF, ms xii)
Hakikat ini telah dinyatakan beliau pada tahun 1970an dalam
Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu apabila mengkritik tren sesetengah
sejarawan yang asyik mengumpulkan fakta, terutama yang bersifat runcitan.
Katanya:
“ Bahawasanya ternyatalah konsep tugas seorang ahli sejarah itu bukanlah
mengkaji, mencatat, dan melaporkan segala hal yang terjadi dalam meriwayatkan
dan mentafsirkan kehidupan dan nasib sesuatu bangsa; akan tetapi ia harus
memilih apa yang hendak dikajinya, ia harus mengasingkan apa yang hendak
dicatatnya dari bahan-bahan tiada terbatas itu, ia harus merumuskan apa yang
hendak dilaporkannya dengan tujuan bagi menayangkan gambaran yang terdiri
daripada sifat-sifat tertentu yang akan merupakan hakikat bangsa itu.” (IDSKM,
ms-2-3)
Dalam konteks alam Melayu, data-data sejarah lampau sangat
berkurangan, justeru itu beliau mencadangkan bahawa kebanyakan dari tafsiran
dan penjelasan kita tentang peristiwa-pristiwa lampau harus bergantung banyak
kepada kaedah-kaedah akliah dan bukan inderawiah (empirical) (HFF, ms xiv).
Jika tidak, sejarah keagamaan, keilmuan dan kebudayaan tidak akan dapat
ditulis. (Ibid, ms xiv).
Teori Manusia Unggul /
Great Man Theory
Al-Attas berpegang kepada teori Manusia Unggul sebagai aktor
terpenting dalam Sejarah. (HFF, ms 72) Ini kelihatan berlawanan dengan
pandangan seorang ahli fasafah Barat yang dilapor mengatakan: “anyman can
create History, but only great man write History”.
Pegangan al-Attas ini mencerminkan ajaran Islam dan agama
besar lainnya yang memusatkan pengislahan manusia melalui para Rasul. Dan jika
kita mengenepikan akhlak mulia dari takrif keunggulan , greatness, dan
mengekalkan kriteria perubahan dan pencapaian besar saja, maka semua pemimpim
dan sarjana besar dari beberapa orang Firaun, Mesir Kuno, Hannibal, Shih Huang
Ti, Hitler, Karl Marx, Mao Tse Tung, Genghiz Khan, Hulagu dan Lenardo da Vinci,
Bill Gates, Osama bin Laden adalah Manusia Unggul yang mencipta sejarah kerana
merobah kehidupan manusia.
Al-Attas menggunakan teori Manusia Unggul sebagai pelaku
penting dan Pembina Sejarah dengan mengaitkan secara istimewa dengan penggunaan
istilah “Shajarah” ( disebut “Sejarah” dalam bahasa Melayu) berbanding “Tarikh”
dalam bahasa Melayu. Seterusnya beliau menjelaskan, sekali lagi buat pertama
kali dalam sejarah keilmuan di sini, pertautan semantik dan sosial, antara
konsep Shajarah/Sejarah dengan susur galur, urat akar kekeluargaan ulama’ dan
umara’ penting di Alam Melayu yang berasal dari Imam Muhamad Sahib Marbat yang
seterusnya bernasab dari Imam Ahmad Isa al-Muhajir, dan Saiyidina Husyain bin
Ali bin Abi Talib.
Di antara ilmuwan Islam semasa yang kelihatan berfikiran
sama dengan al-Attas tentang Great Man Theory ini mungkin ialah Muhammad Iqbal
(m. 1938) dengan konsep Mard Momin, dan Muhammad Fethullah Gulen (lahir 1945)
dari Turki. Muhammad Iqbal terinspisari dari al-Qur’an tentun, dan menggunakan
gagasan “superman” Friedrich Nietzsche (m. 1900) untuk meneguhkannya. Gulen
pernah menulis dalam Statue of the Human Souls (2009) bahawa kebangkitan umat
memerlukan “a few dozen heroes.” (Statue, ms. 152,). Di tempat sama beliau juga
menulis:
“…all renaissance worldwide have been the result of…few individual
geniuses…; they did not arise from the effort and movement of the masses. Just
as in the years immediately following the advent of Islam, some renewals and
changes were the result of not more than a dozen exceptional souls and their
intelligence and ideas” during the Umayyads down to or time”. (Statue, ms. 27)
Peranan Intuisi
Dalam pandangan alam Islam dan kerangka epsitemologinya,
intuisi adalah sesuatu yang asas dalam mencapai keyakinan dan penerimaan
ide-ide. Jiwa yang serius berfikir menyelesaikan masalah-masalah besar akan
sentiasa memusatkan perhatiannya kepada masalah itu tanpa mengira tempat dan
waktu.
Apabila beliau mahu menulis sesuatu, al-Attas akan sentiasa
berfikir serius tentang hal itu. Selama dua tahun ketika menyiapkan manuskrip buku
terbaru ini beliau akan sentiasa bercakap dan mengulangi tanpa jemu tentang
beberapa aspek yang sedang dikajinya itu setiap kali saya menziarahinya di
kediamannya. Beberapa orang muridnya menyatakan mengalami hal yang sama.
Apabila beliau sedang menyiapkan Syarah tentang karya
Hujjatul Siddiq oleh Syeikh Nurudin al-Raniri pada awal 1980an, al-Attas
membuat kajian di Perpustakaan Universiti Chicago.
Dalam beberapa pertemuan dengan saya di sana
beliau mengakui amat sukar tidur sebab memikirkan maksud penulis asal yang
sedang disyarahkan itu. Dalam usaha bersungguh-sungguh memahami maksud sarjana
aging yang dikajinya itu beliau seakan-akan berbicara dengan al-Raniri sendiri.
Beliau pernah menyatakan kepada saya apabila menulis tentang
episod-episod sejarah, beliau seolah-olah dapat melihat dengan mata hatinya
rentetan-rentetan semua peristiwa penting dalam episod berkenaan. Hal yang sama
juga berlaku apabila beliau merancang dua kampus ISTAC di Jalan Damansara dan
Persiaran Duta yang indah dan berperibadi unik itu. Beliau dapat membayangkan
setiap sudut dari bangunan itu dan semua yang ingin diletakkan di dalamnya
seperti seorang penghias dalaman dan juru lanskap.
Sebenarnya dalam ilmu jiwa Islam, akal insani memiliki
beberapa kekuatan (quwwah) atau fakulti yang saling berkait. Jiwa (roh) adalah
diri insan itu sendiri: akal, nafs, qalb dan roh. Gambaran yang rasional atau
akli tentang sejarah silam dan tentang bangunan berseni terhasil dari kegiatan
jiwa khususnya dari fakulti khayalan akli (cognitive imagination) dan khayalan
seni (sensitive imagination).
Jiwa manusia mencapai ilmu pengetahuan atau ide-ide melalui
proses intuisi. Apabila sesorang manusia memikirkan sesuatu secara
bersungguh-sungguh, yakni memerah tenaga akalnya, menelusuri setiap bukti dan
hujjah dalam fikirannya bagi menyelesai kebuntuan dan kekusutan tentang isu-isu
yang difikirkan. Pembacaan, perbincangan, penyelidikan dan segala usaha memecah
masalah itu sesungguhnya menyediakan jiwanya untuk menerima makna atau ilmu
yang dianugerahkah Allah swt. Usaha-usaha ini disebut sebagai pergerakan jiwa
mencapai makna tersebut.
Adab Ilmiah
Satu ciri falsafah dan kaedah ilmiah al-Attas, termasuk
tentang Sejarah ialah adab yang mencerminkan sikap bijaksana, berani, sederhana
dan adil. Malah inilah yang mencirikan seluruh perjuangan keilmuannya yang
terzahir dari kehidupan peribadi dan kepimpinan institusinya. Beliau tidak
membuang waktu menilai dan mengkritik tokoh dan sumber-sumber kecil, tetapi
memusatkan kepada sumber dan tokoh-tokoh muktabar dalam hal-hal tertentu.
Kritikan-kritikan yang tegas dan kadang-kadang keras terhadap penafsiran
sesetengah sarjana (dari Barat atau Timur) atau aliran pemikiran tidak bermakna
beliau tidak mengiktiraf beberapa kebaikan sumbangan mereka. Hal ini dinyatakan
dengan jelas di awal buku ini:
“European historians of the Malay Archipelago…have
meticulously researched and brilliantly elaborated their cogent findings with
such diligent and inspiring scholarship that evokes due praise. We must
sincerely acknowledge their wonderful intellectual contributions and affirm
what is true in their interpretation of our history which they have gradually
set in the crucible agreed among themselves. But there are certain problems of
knowledge and methodology that we must question which they and their followers
from among our own scholars have caused to arise in our understanding of our
history….” (HFF, ms xi).
Penting ditegaskan bahawa pandangan alam Islam dan kerangka
serta kaedah keilmuan al-Attas membuat beliau berlaku adil kepada
sumber-sumbernya. Beliau tidak bersikap subjektif dan relatif (sofistis).
Penegasannya tentang peranan Islam dalam sejarah dan kebudyaan Melayu bukan
semata mata kerana beliau seorang Islam; pembelaannya kepada peranan orang Arab
dalam pengislaman di Alam Melayu khususnya dari abad 8-16M bukan kerana hanya
beliau berdarah Arab dan dari titisan darah Rasalulullah SAW; kritikannya
terhadap sebahagian ilmuwan Barat yang berpengaruh bukan bermakna beliau
anti-Barat. Yang amat jelas bagi saya, ialah penegasan dan pembelaan tersebut
berdasarkan data-data emfiris, pemikiran logika yang tinggi dan pengalaman
serta pengetahuan pribadi yang unik.
Penutup
Sesungguhnya sarjana yang menghasilkan buku ini adalah aset
besar bagi Umat Islam khususnya bagi bangsa Melayu yang kelihatan baru mula
memahami dan cuba
mengiktiraf sumbangan dan jasanya dalam pelbagai dimensi.
Menghadapi gelombang besar globalisasi tanpa kefahaman
sebenar dan mendalam tentang sejarah bangsa terutama yang melibatakan peranan
Islam di Alam Melayu ini boleh menyumbang kepada kekeliruan kewibawaan Islam
sebagai pemersatu dan pembina bangsa dan tamadun, dan akan merumitkan
langkah-langkah kita ke hadapan dengan tegas dan yakin. Penerbitan hampir semua
buku-bukunya di negara ini membuktikan bahawa karya bertaraf dunia bukan
seharusnya diterbitkan oleh institusi luar Negara dan di Barat, malah oleh
institusi tempatan jua.
Buku Historical Fact and Fiction ini harus diterjemahkan ke
bahasa Melayu dan pelbagai bahasa Islam lainnya dan dibincangkan dengan serius.
Sekian
(CASIS)
UTM International Campus Kuala Lumpur
Kertas kerja yang dibentangkan pada Seminar Khas Sejarah
Alam Melayu: Antara Fakta dan Khayalan, anjuran CASIS di Bilik Jemaah UTM
International Campus Kuala Lumpur, 9hb Sept 2011. Seminar Khas ini bersempena
pelancaran buku terbaru Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, Historical
Fact and Fiction (Skudai: UTM Press, 2011) oleh DYMM Canselor UTM Tuanku Raja
Zarith Sofiah bin Almarhum Sultan Idris Shah pada hari yang sama. Kertas ini
akan dikemaskan lagi untuk tujuan penerbitan dalam waktu terdekat.
SALAM, APA KABAR ? Alhamdulillah saya telah mengunjungi Blog Anda, intinya thema dan uraian materinya sangat bagus. Nah, tidak ada salahnya jika tulisan-tulisan Anda juga untuk dituangkan dalam Jurnal Ilmiyah, dengan beberapa alasan. SUATU HAL YANG SULIT DIPUNGKIRI DENGAN LUASNYA WILAYAH NKRI + ASEAN SANGAT MUNGKIN DATA SEJARAH TERKAIT KEBERADAAN :
BalasPadamPERAN AKTIF TOKOH/TEUNGKU/TUAN GURU/ AJEUNGAN
LEMBAGA PENDIDIKAN (Mis. PESANTREN, DAYAH, SURAU, MADRASAH)
KESULTANAN
MASJID
KEMARITIMAN (Jaringan Sungai, Pelabuhan, dsb)
MAKAM
ISTANA
NASKAH/MANUSKRIP
TATARUANG KOTA
KERAJINAN (gerabah, batik, Kaligrafi, seni pentas, senjata, logam, keramik, dll)
Masing-masing tersebut di atas BELUM BANYAK TERUNGKAP. (Pilih salah satu saja)
Jurnal Ilmiyah KALIJAGA dengan izin terbit ISSN no.2302-6758, (focus Sejarah Kebudayaan & Peradaban Islam di Asia Tenggara) selalu setia menunggu Makalah dan/ atau hasil penelitian dari para PEMERHATI, PENELITI, DOSEN, GURU Pengampu materi SEJARAH KEBUDAYAAN ISLAM. Andai sudah ditulis tolong kirim via email : jurnalkalijaga@ymail.com.